Merealitikan Mimpi

2
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena  penanda."

Bakal menjengah Februari yang kali ini dihitung cuma 28 hari sahaja. Dalam Februari juga, ada perkara yang menarik bakal berlaku sekiranya diizinkan oleh Allah akan kelancarannya.

Cantuman Mimpi


Benar. Mimpi boleh dikatakan sebagai dua hal, sama ada mainan syaitan atau ketentuan ilham untuk seseorang. Namun demikian, terpulang kepada insan itu untuk menafsirinya. Mencantum mimpi untuk membentuk lingkungan realiti yang pasti. Daripada mimpi, wujudlah sesuatu yang mampu memberi manfaat kepada dunia manusiawi.

Pada Januari, mimpi ini bersemi. Pada Februari, mimpi ini menemui realitinya. Nantikan kemunculan Cantuman Mimpi, buah tangan baharu daripada Legasi Oakheart pada Februari ini. Antara yang bakal menemui anda:





p/s: Meneruskan kerja-kerja tertangguh.

Hasil Karya

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Hafizie Husairi

Sayed Ahmad Zulhafiz

Ain Azira

Abdul Azim


Hanya sebilangan sahaja. Masih ada lagi yang belum disiapkan. Cadangnya hendak dipamerkan pada suatu majlis Februari nanti. Dan ada tiga buah yang bakal dipamerkan pada pameran di IPG nanti.




Saya Pernah Mati!

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Baharu pulang daripada kursus di Kuala Lumpur. Kantuk dan keletihan tidak dapat dibendung sehingga tewas di jaluran mimpi. Pada mulanya, keberatan mahu berpisah dengan teman sekursus, namun apakan daya. Aturan Allah lebih indah dan Dia lagi Maha Mengetahui. Sudah memasuki 12 Rabiulawal yang dinanti-nantikan.

Entri kali ini, berkait rapat dengan sebuah catatan daripada seorang teman sekelas. Beliau juga menulis benda yang sama, jadi idea penulisan ini tercetus daripada pembacaan blog beliau juga. Semua manusia pernah mati dan akan mati. Pernah mati dalam konteks ini ialah tidur kerana itu ialah mati sebentar. Namun demikian, catatan ini bukanlah menyentuh hal-hal kematian tersebut, tetap lebih menjurus kepada semangat atau minat yang di dalam diri.


MATI I

Jika  mahu diimbau saat pertemuan dengan rakan-rakan sekelas yang semuanya mampu dan mahir dengan mainan pensel, warna air dan sebagainya, saya dapat katakan, saya ialah insan yang begitu kerdil, meskipun rupa fizikal saya lebih besar berbanding mereka. Dengan tiada bekalan bakat dan juga asas dalam bidang Pendidikan Seni, saya hadir mendaftar dengan bekas yang kosong - sifar persediaan dan ilmu awal. Saya pasrah waktu itu. Hal 'kematian' yang hendak diungkap ialah ketika dimarahi dan disindir oleh pensyarah kerana kelayakan saya untuk memasuki kelas Pendidikan Seni sedangkan saya sendiri tiada asasnya. Bagaimana? Terima sahaja sebagai cabaran. Setiap kali menghadiri kelas Pendidikan Seni, jiwa saya kacau dan tidak menentu. Apakala memikirkan karya lukisan yang tidak seberapa jika hendak dibandingkan dengan rakan yang lain, yang sudah pasti menepati piawaian sebagai 'orang seni'. Jangkaan awal bahawasanya bakal dimarahai itu akhirnya menjadi kenyataan apabila proses semakan dilakukan. Saya menerima tempias yang bukan tempias selayaknya. Permulaannya begitu mendebarkan dan sangat menduga. Begitu juga jalan pertengahan yang sungguh mencabar. Saya rasa saya sudah 'mati'. Minat yang cuba ditanam 'mati' dengan cabaran yang disiram. Walaupun demikian, saya tetap mencuba, meskipun hasilnya tidak seberapa.

Saya pernah 'mati' dengan Pendidikan Seni. Hanya kerana dibebani komentar dan ulasan yang tajam, saya sekonyong-konyong menjerumuskan diri ke dalam jurang ketewasan tanpa memikirkan sisi positifnya. Selepas melalui proses 'hibernasi' dengan membuat beberapa lakaran, ditambah juga merujuk dengan pensyarah lain, timbul semangat baharu untuk meneruskannya.

Namun kini, insan yang begitu banyak menyumbang kepada cabaran itu, bakal meninggalkan saya dan rakan-rakan sekelas. Jika dahulu saya begitu gerun dengan tampang jasadnya, kini saya bakal merindui kelibat beliau. Tanggal 8 Februari bakal menyaksikan perpisahan antara kami sekelas dengan beliau. Kini, saya jangkakan beliau sedang bercuti rehat ekoran faktor kesihatan yang tidak mengizinkan. Selamat bersara ayahanda Khairul Anuar Amran...



Menuju Legasi Seni

1
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Terasa begitu lama tidak mencoret di sini, memandangkan sedang menghadapi beberapa siri kekangan kerja yang perlu diutamakan. Dalam sedar tidak sedar, Januari sudah masuk minggu ketiga dan dalam minggu ini juga, Hari Keputeraan Rasulullah bakal disambut oleh seluruh umat Islam di dunia. Tanggal 12 Rabiulawal menjadi titik permulaan syiar kehebatan Islam bermula di Semenanjung Tanah Arab, meski tika kelahiran junjungan besar Muhammad S.A.W sudah menampakkan tanda yang sungguh tidak dijangka.

Melingkungi Januari juga, saya perlu melalui perjalanan yang sangat padat dengan pelbagai tugasan dan tuntutan kerja yang tidak menentu. Tika coretan ini dibuat, saya sedang menanti waktu untuk bertolak ke Kuala Lumpur bagi menghadiri kursus anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia. Dalam tempoh yang sama juga, kelas saya bakal menganjurkan sebuah pameran Pendidikan Seni Visual yang dijadualkan pada 30 Januari hingga 1 Februari ini. Kami diperuntukkan untuk menyediakan tiga buah karya seni sendiri untuk dipamerkan pada pameran tersebut. Ekoran daripada kurang berkemahiran dan sedang mengasahnya, saya tetap menghasilkan tiga buah karya sedaya mampu saya. Bukan catan dan lukisan, tetapi garapan kesenian yang mencerminkan nilai-nilai keislaman.

Poster Pameran
Hasil karya Nur Sakinah Abd. Rauf.

Mengetengahkan tema "Legasi Seni", yang menginterpretasikan perjalanan yang dilalui oleh kami sepanjang bergelar pelajar jurusan Pendidikan Seni Visual selama 4 tahun sejak 2009. Ya, saya akui banyak lagi perkara yang perlu saya perbaiki kerana saya bakal bergelar guru PSV kelak. Dan di sinilah saya jadikannya sebagai platform untuk menajaminya.


Mereka dalam Legasi Seni.


p/s: Meneruskan penukangan.

Rindu Seorang Rafik

3
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Sudah menjangkau jam satu pagi. Namun, kantuk belum lagi bertandang yang pinginkan pelupuk mata ini berehat. Memandangkan petang semalam (5 Januari) sudah dikerjakan seluruh tenaga bermain badminton bersama-sama dengan rakan kelas, kesannya dirasai sekarang. Penat tetapi tidak mampu melelapkan mata.

Kini, saya sedang mengulang baca sebuah kumpulan cerpen yang berjudul "Rindu Seorang Rafik" hasil tulisan Nisah Haron, antara penulis yang saya minati karyanya. Sebenarnya, saya sudah hadami kumpulan cerpen ini pada 2011 yang lalu, tetapi setelah kemarau buku baharu, saya mengambil keputusan untuk mengulang baca mana-mana buku yang menjadi pilihan. Kumpulan cerpen ini memuatkan 16 buah cerpen yang menyingkap pelbagai latar tema. Sekarang, saya sudah berada pada cerpen yang kelima (tebakan sahaja), iaitu pada cerpen yang menjuduli kumpulan ini, Rindu Seorang Rafik.

Kulit Buku

Pembacaan kali ini, saya lebih kepada mengkaji struktur karya dan maksud tersurat yang terdapat pada karya. Hal ini bertujuan untuk memantapkan lagi penulisan dan cara menghasilkan karya dengan baik. Sehingga kini (buat masa ini), cerpen yang memberi kesan kepada saya ialah "Sayap-sayap Kecil Di Grahara Jentayu", dan "Impian Tsu-Ryi I dan II".


p/s: Menuju perjalanan terakhir sebelum noktah.

2013: Harapan dan Sasaran

1
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

2013 sudah pun memasuki hari yang keempat. Setelah berhempas pulas menyambutnya pada 1 Januari lalu, hari ini semuanya berhempas pulas pula untuk mengejar cita-cita dan meneruskan kerja-kerja yang tertangguh atau baharu dimulakan. Sama-sama kita doakan semoga semuanya berjaya dan dipermudahkan segala urusan.

Seperti saya juga. Memasuki 2013 menambah lagi debar dan getar kerana tahun ini juga saya perlu menghadapi sesi praktikum pertama sebagai latihan pengajaran sebelum ditempatkan pada 2015 kelak, insya-Allah. Banyak perkara yang harus diselesaikan sebelum menemui tarikh 1 April nanti. Bercerita mengenai hal penulisan, saya mengharapkan agar tahun 2013 ini dapat mengekalkan momentum yang dicipta pada 2012 dan mungkin lebih baik lagi untuk tahun ini. Insya-Allah.


p/s: Awal 2013 yang sudah disiapsiagakan dengan sebuah tulisan... :)