Inspirasi: Guru yang Menulis.

3
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda"

Pada saat catatan pertama tahun 2014 ini digarap, di luar jendela sedang turunnya hujan yang mengheningi bumi sejak pagi. Alhamdulillah, rahmat Allah untuk sekalian alam. Januari sudah memasuki hari yang ke-10. Hari ini juga, hari yang ke-8 aku sudah kembali ke laman pengajian tahun akhir. Tahun yang memungkinkan aku bergerak pantas untuk mengejar segala yang telah disasarkan. Tidak banyak.

Tahun ini, boleh aku katakan sebagai tahun kegembiraan dan kebesaran kepada semua rakan penulis kerana ramai yang berjaya merangkul kejayaan, baik penerbitan buku baharu dan penerimaan hadiah sayembara. Sebagai rakan dan juga pendatang baharu di dalam dunia abstrak ini, tidak terlambat untuk diucapkan tahniah dan selamat maju jaya dalam lapangan yang dilalui kini. Amat berbangga, tatkala sastera tempatan kini sudah mendapat perhatian pihak yang terlibat dan penguasa negara.

Terlanjur catatan ini, sebenarnya aku ingin mengungkapkan rasa kekaguman kepada beberapa orang rakan yang sama-sama dalam bidang pendidikan ini. Antaranya ialah Helmi Ahmad dan Sri Rahayu Mohd Yusop. Kedua-dua individu ini boleh aku katakan sebagai inspirasi dalam kerjaya penulis yang bergelar guru.

Helmi Ahmad - pemilik blog Tetamu Istimewa, aku kenali hampir tiga tahun sejak pertemuan kali pertama pada malam penganugerahan HSKU 2011 di Seri Pacific Ballroom. Beliau seorang guru yang begitu aktif menghasilkan karya-karya yang bermutu (baik cerpen, puisi, rencana) di media-media tempatan. Penerima HSKU tiga tahun berturut-turut (bermula 2010 hingga 2012) ini, sudahpun menghasilkan sebuah kumpulan cerpen yang berjudul "Tetamu Istimewa" terbitan Insitut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM). Karya-karya beliau sangat aku akrabi dan gemari kerana penggunaan bahasa dan cerita yang disampaikan begitu menarik.

(imej daripada Google & blog beliau)

Sri Rahayu Mohd Yusop - penulis sayembara dan pemilik blog Sri Rahayu Mohd Yusop, telah aku kenali sejak pemilikan judul "Bukan Legasi Lalang" dan ketika itu aku sedang berada di tingkatan satu. Seorang guru Bahasa Inggeris yang boleh aku perikan sebagai guru yang cemerlang kerana boleh membahagikan masa untuk tugasan di sekolah dan juga masa untuk berkarya. Sehingga kini, beliau sudah menghasilkan 10 buah novel (terkini Qalbu Kalam). Pertemuan pertama kali ketika malam penganugerahan HSKU 2011 (ketika beliau memenangi tempat ketiga novel remaja) tidak aku sangka-sangkakan kerana selama ini hanya berbalas komen di blog beliau sahaja. Alhamdulillah, dapat juga bertemu dengan orang hebat seperti beliau. Kesemua karya beliau sudah berada dalam simpanan, kecuali Qalbu Kalam yang baharu sahaja diumumkan sebagai pemenang kedua sayembara anjuran ITBM-PENA-BH yang lepas.

(imej daripada Google & KOSMO)

Dalam hal ini, kadang-kadang aku berasa seperti tercabar kerana mereka yang sudah bekerja sebagai guru mampu menghasilkan karya-karya yang bermutu, meski terhambat tugasan-tugasan yang bertindan. Kedua-dua individu ini menjadi inspirasi untuk aku terus bertahan di dunia pengarangan ini.


P.S:

1. Sedang menanti khabar daripada penerbit.
2. Misi tiga puluh judul, untuk dua puluh empat belas.
3. Tiga serangkai, dalam tahun yang sama.
4. Menyambung kerja yang tertangguh.