Dalam Sujud Cintaku

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Sujudlah...

Kau berikanku segala-galanya
dan Kau mengujiku dengan cinta dunia
yang sungguh indah dan
Kau hiaskannya dengan intan permata
dengan jua wanita
dan kedudukan yang memalingkanku
daripada-Mu

Dalam menikmati kurniaan-Mu
tak terucap lafaz terima kasihku
namun untuk jadi yang terbaik
juga masih belum kumampu

Dalam sujud cintaku
fanaku diulit rindu
getirnya cemas di kalbu
takut hidup tanpa redha-Mu

Hanya kerna-Mu Tuhanku
aku hidup dan ku akan
kembali pada-Mu
hanya pada-Mu dalam
sujud cintaku.


 ...dalam sebuah sujud itu ada ibrahnya

Mendengar nasyid ini, dalam erti sebuah sujud. Dalam sujudnya, ada cinta yang tiada tanding. Pada Allah dan Rasul.

Sujud - mengajar kita mengenal diri sendiri dan mendekatkan diri kepada Allah. Mengetahui ada kuasa yang besar melainkan Allah.

Sujud - mendidik kita kenal akan siapa kita. Dengan kepala di tanah, lagi rendah kedudukannya berbanding punggung sendiri. Tandanya, bukan sentiasa manusia berada di atas dengan akal fikir yang kadang kala tiada rasional.

Sujud - satu terapi yang sarat dengan kesihatan. Perancangan Allah yang maha rapi...

Sungai Piandang - Fragmen Terpilih

2
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."


III
Sungai Piandang, sejarahnya sudah tertulis dalam kamus hidup masyarakat Kampung Teluk Piandang. Kisahnya berabad dahulu menjadi bualan ramai. Dua abad dahulu, airnya sudah pun menelan ramai penduduk kampung yang jauh dengan bandar ini. Kemusnahan yang berlaku tidak dapat digambarkan dengan akal. Mayat-mayat bergelimpangan. Ternakan menjadi bangkai. Selang beberapa tahun, kampung itu kembali seperti sedia kala. Hujan masih turun, namun air sungai tidak segarang dahulu semenjak terbinanya empangan oleh kerajaan. Namun, kerisauan masih lagi bersarang di hati orang kampung. Sejauh mana kekuatan tebing itu?

(Dapatkan segera cerpen lengkap di Tunas Cipta Januari 2012) 

Karya pertama yang berjaya menembusi media. Alhamdulillah setelah lama mencuba, akhirnya! Entah berapa kali menyuntingnya. Habis dijaja ke serata alam untuk meminta komentar daripada rakan-rakan.

Kaitannya di mana?

Tak Tahu Tajuknya Apa.

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Sekian lama tidak bermain dengan laman ini. Sekadar bermain dengan intuisi sahaja. Maklum sahaja, kekasih PSEUDONIM saya tidak mampu meladeni kehendak aku. Sampai hati...!

Berselang waktu yang entah mana khatimahnya, aku dapat merasakan perhitungan yang dicatur sendiri sedikit tersongsang. Apa tidaknya, hampir semua yang dirangka dan dirancang, punah. Mula-mula, kecewalah juga. Tapi, fikirkan semula, kecewa-kecewa dengan ketentuan Tuhan, macam orang tiada agama pula! Mohon dijauhkan!

Dunia dan waktu yang jitu - 2012. Segala-galanya berubah. Bermulanya dengan pembubaran JPP yang hampir setahun dipegang, sehinggalah PRK yang entah macam mana rencamnya untuk difahami, sampailah penerimaan marsum daripada seorang penulis - surat izin terbit. Punya ironi perjalanan kali ini.

Sungguh, kini bertimpa-timpa di pundak mengusung beban. Setiausaha menjadi pakaian baharu tahun ini. Pakaian yang dicanting baik dengan corak-corak kerja yang bertingkah rona-rona cabaran yang bercempera ke seluruh busana. Analogi yang senang untuk aku lontarkan. Pada mata orang, kelebihan pada diri aku. Ya, aku terima kerana semuanya kurniaan daripada ALLAH. Pada sisi lain, kiri kanan depan belakang atas dan bawah - semua aku bertanggungjawab. Silap di sini, di sana disoal. Kerja-kerja yang diberi, harus diselesai tanpa sebarang halangan, sentana aku akui banyak halangan. Orang lain kata, cabaran itu mematangkan. Ya, aku terima kerana semuanya datang kerana kehendak ALLAH. Benar, cabaran itu mematangkan kerana mengajar manusia perlu sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada dengan keputusan yang dibuat.

Marsum yang diterima - bagai beruk terima bunga. Tersengih dan tersenyum lebar sepanjang hari. Bukan niat untuk meninggi diri. Tapi, ini untuk dikongsi. Rezeki, kalau ALLAH nak beri, semuanya jadi. Yang Islam ataupun bukan, semuanya sama. Alhamdulillah, marsum itu pembuka selera dan pencetus semangat untuk terus kekal berkarya. Insya ALLAH, bakal dirasai semuanya kelak. Namun, di sebalik marsum itu, banyak persoalan yang sering kali dilontarkan oleh semua orang. Menulis kerana hadiah, menulis kerana hendak kaya dan sebagainya. AKU - semuanya ada pada diri aku. Satu perkara yang harus diberi perhatian, sesungguhnya semua yang ditulis adalah tanggungjawab kita di akhirat kelak. Akan ada yang menuntut atas tulisan yang dicipta. Kau ingat senang? Bukan sembarangan kerja tahu!

Tulislah dengan hemah. Janganlah tulis dengan serakah!

Sudahlah. Tak mahu melalut lagi.


*Menyemai cinta di laman citra. Haram dan Halal - masih lagi dijaga batasnya!

Sembilan Pembaziran yang Belum Disedari oleh Manusia

0
COM
Assalamualaikum.

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Betapa panjang waktu yang tidak terluang di muka ini. Syukur, kini kupunya jeda masa yang kubaru temui.

Berhajat untuk berkongsi, sekadar peringatan pada diri sendiri dan untuk yang lain. Bukanlah daripada buah fikirku, tetapi hanya aku salin pada dinding yang lain. Telah kusertakan sumbernya di kaki entri ini...



IBNU Qayyim al-Jauziyah, ulama dan tokoh gerakan dakwah Islamiah ialah murid ulama terbilang, Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah. Beliau mempunyai banyak karya ilmiah yang menjadi panduan dalam gerakan dakwah Islam.

Ibu Qayyim dilahirkan pada tahun 691 Hijrah (1292 Masihi) dan meninggal dunia pada 751 Hijrah (1350 Masihi)

Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan ada sembilan pembaziran yang sering dilakukan manusia iaitu :-


Ilmu pengetahuan.
Membazir jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan.


Amalan.
Membazir jika dilakukan tidak dengan hati yang ikhlas.


Kekayaan.
Membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah.


Hati.
Membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah.


Tubuh badan.
Membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah.


Cinta.
Membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya.


Masa.
Membazir jika tidak diurus sebaiknya.


Akal.
Membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama.


Zikir.
Membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.

Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam Madarij al-Salikin, waktu tidur yang lebih baik adalah pada pertengahan malam yang awal iaitu kira-kira jam 10 malam.

Waktu yang tidak seharusnya kita tidur adalah selepas waktu Subuh sehingga terbit fajar, waktu selepas Asar sebelum terbenam matahari dan dari waktu Maghrib ke Isyak.

Beliau berkata, tidur pada waktu itu tidak memberi manfaat kepada tubuh badan, malah boleh mendatangkan kemudaratan dan makruh hukumnya.


Wallahualam...

Buah Tangan Sepanjang 2011

2
COM
Assalamualaikum...

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Siang sudah. 1 Januari menjejakkan kaki ke pertengahan hari. Alhamdulillah, masih berkudrat untuk berada di sini.

Sepanjang tahun 2011 yang lepas, aku dapat kira berapa sangatlah buah tangan yang berjaya aku hasilkan setelah dimetrai sebagai seorang pengkarya. Mari, tengok.

Cerpen:

1. Buana Jogja (Jun 2011)
2. Kelongsong Ketupat (Julai 2011)
3. Sfera Bersegi Lima dan Sebutir Maruah (November 2011)
4. Nyiur Payung (Disember 2011)

Sebanyak 4 buah cerpen yang berjaya aku hasilkan sepanjang tahun ini, bermulanya selepas pulang daripada MPR. Dalam banyak-banyak cerpen di atas, hanya cerpen kedua yang berjaya diterbitkan sebagai sebuah naskhah antologi IPG Kampus Ipoh. Alhamdulillah! Selain itu, cerpen itu juga antara yang terbaik yang pernah dihasilkan kerana pertama kali mengikut proses penulisan sebuah karya walaupun dalam kadar terpaksa. Cerpen yang ketiga, telah dihantar kepada pihak editor untuk dinilai. Sekiranya sesuai, adalah rezekinya nanti. Namun, aku harus bersabar. Tidak terpilih, tariklah balik. Buat suntingan dan perbetulkan mana-mana yang kurang.

Puisi:

1. Rotan
2. Menjungjung Kasihmu
3. Aku dan Puisi
4. Ilmu
5. Demi Tuanku
6.  Sukma Hati

Puisi...
Dahulunya, aku menulis bermulanya daripada frasa ini. Banyak yang dihasilkan. Tetapi, kini aku terasa seperti lemau! Entah di mana silapnya. Lama aku mencari rentak untuk kembali 'mengganas' seperti dulu, zaman sekolah. Tetapi, tidak ditemui. Hendak tak hendak, aku kekal berusaha. Alhamdulillah, dapatlah 6 buah puisi yang kesemuanya menerima hentaman-hentaman. Wah, proses yang sukar!

Moga diberi kemudahan dan kelapangan untuk melaksanakan tugas-tugas ini sepanjang tahun 2012 ini. Amin! Resolusi baharu sudah dirangka, berhasilkah? Wallahualam...

Buah Tangan Sepanjang 2011 aku tamatkan di sini...

Citra Pertama

0
COM
Assalamualaikum...

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Dum... Dum... Dum...

Malam yang sangat bising dengan dentuman bunga api dari mana entah arah datangnya. Maklum sahaja, sambutan Tahun Baru 2012. Aku tak peduli pun dengan benda-benda itu. Perkiraanku, malam ini bermulalah lolongan-lolongan anak betina yang mengemis si jantan bertanggungjawab atas perkosaan maruah diri mereka. Agak-agak tak dapat orangnya, dilempar ke sana ke mari anak yang tak berdosa. Baguslah, cerah masa depan!

Tutup kisah itu!

1 Januari 2012 bersamaan 7 Safar 1433H.

Tarikh pertama dalam takwim Georgian. Hari kedua dalam bulan kedua takwim Hijri. Membuka lembaran baharu dalam segenap kehidupan mangsa-mangsa kapitalis di dunia. Tidak terkecuali aku sekali. Bagi sesetengah orang, tarikh pertama tahun baru ini membawa seribu satu azam yang harus dicapai, walaupun azam yang lalu tidak selesai lagi. Namun, bagi aku, semuanya sama. Kerana masih lagi berpijak di muka bumi Allah yang dipinjamkan, cuma yang berbeza hanya kepada matlamat dan niat yang ditetapkan oleh setiap orang. (sekadar pendapat aku sahaja.)

Beberapa hari yang lalu, aku telah dimaklumkan oleh seorang rakan penulis aku bahawa karya cerpen aku, iaitu "SUNGAI PIANDANG" telah diterbitkan di dalam majalah Tunas Cipta keluaran Januari 2012. Waktu itu, hanya ALLAH sahaja yang tahu kegirangan yang menyelubungi diri. Cerpen itu merupakan karya pertama aku yang berjaya menembusi media DEWAN BAHASA PUSTAKA. Alhamdulillah. Namun, aku tidak seharusnya bergembira kerana ia baru yang pertama dan harus lakukan penambahbaikan untuk karya-karya akan datang. Insya Allah.



Banyak lagi yang harus aku lakukan sepanjang tahun ini. Perangkaan harus dibuat agar lebih sistematik dan tidak serabut. Bergelumang dengan dunia yang diceburi ini (PENULIS), kadang-kala menuntut pengorbanan. Semua benda harus dikorbankan melainkan keluarga dan agama. Soal hati masih lagi berada di dalam sangkar yang dirahsiakan. Dia juga memahami. Saya juga memahami awak... 

Syukurlah, kerana ALLAH masih lagi memberi kesempatan untuk aku bernafas dan memberi aku peluang menggeluntar untuk mencicipi ilmu-ilmu yang maha luas. Subhanallah! Syukur!

Citra pertama ini aku tamatkan di sini...


* Manuskrip...