#Fragmen: Dalam Mandala Julai

2
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Dengan langkau masa yang tidak lama, baru pagi ini mampu kurenggang-renggangkan seluruh temulang jariku untuk menaip sesuatu. Baik di muka kertas, mahupun di ruang ini. 

Dalam Julai ini, hari kelmarin (Jumaat), berakhirlah episod cinta dua insan fiksyen yang direka hayatnya menerusi senaskhah novel apabila diadaptasi menjadi tontonan rakyat Malaysia. Ya, sudah menjadi fenomena hari ini - pengadaptasian karya novel ke layar perak mahupun di kaca televisyen. Aku juga tidak terlepas daripada menonton kisah ini yang sentiasa dinanti-nanti oleh ramai orang. Setiap kali sedutan episod akan datang ditayangkan, maka termuatlah segala pertanyaan dan persoalan dalam kalangan penonton setianya. Apakah yang berlaku kali ini? Sesudah sahaja tiba waktunya, maka bersusunlah mata-mata untuk menontonnya di hadapan kaca televisyen. Aku juga menontonnya. Usai sahaja ditayangkan, pasti akan menunggu sejam atau dua jam daripada waktu siarannya untuk memuat turun videonya disebabkan mahu dijadikan koleksi ataupun memenuhi permintaan insan yang belum berkesempatan untuk menontonnya secara langsung. Tinggallah dalam kenangan para pencinta dan penonton setia drama cinta yang dianggap klise dan 'basi' ceritanya. Biarlah, tanggapan orang.

Fenomena cinta daripada manusia fiksyen - Firash Arshad dan Syafa Aqira
*Kredit daripada Google Images

Dalam mandala Julai ini juga, banyak perkara yang menjadi penantianku. Penantian maha setia ialah ketibaan Ramadan - penghulu segala bulan. Bulan yang dilimpahi seluruh rahmat dan pahala. Tertutupnya pintu neraka dan terbukalah pintu syurga seluas-luasnya. Segala kerja dan amal ibadat yang dilakukan, dilipatgandakan ganjarannya. Maha Pemurah Allah yang satu. Semoga kehadiran Ramadan pada tahun ini, menjadi batu loncatan untuk aku dan mukminin serta mukminat mengerjakan ibadat semaksimum mungkin. Moga aku sempat mengecapi nikmat kehadiran bulan yang penuh keberkatan ini.

Menuju Ramadan Mubarak - medan perjuangan dan penuaian amal.
*Kredit daripada Google Images

Dalam mandala Julai ini juga, tuntutan tugas juga menjadi cabaran. Bertimpa dan bertimbunan tidak mengenal waktu dan ruang. Jika ada peluang dan ruang senggang, tibalah ia dari segenap penjuru yang menumpu diri. Baik langsung mahupun tidak langsung. Tambahan pula, kini sedang berada dalam zon persediaan sebelum menjalani tempoh praktikum kedua selama 4 minggu. Ya, satu cabaran kerana perlu bermain dan beraksi di padang dalam bulan Ramadan. Tetapi, itu bukan satu halangan, malah menjadi satu medan latihan pengukuhan jiwa dan rohani khususnya. Pemupukan erti kesabaran, ujian menduga, memacu tenaga dan sebagainya. Syukur, kawasan yang ditempatkan tidak sejauh praktikum yang lepas.

Kerja dan kerja - tiada penghabisan dan pengakhiran
*Kredit daripada Google Images.

*Menulis dan terus menulis.

Kehilangan, Abang Kedidi dan Buah Nyonya.

2
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Sejurus hari semalam menerusi entri yang lalu, semangat pula hendak mengimbau dan mencoret segala kenangan bersama-sama kawan baharu. Maklum sajalah, hanya sesingkat waktu bertemu, perpisahannya pula beribu batu.

Bertemakan 'Ilmu' sebagai panduan persembahan, aku dan pasangan iaitu Saiful dari IPG Kampus Raja Melewar, N. Sembilan diberikan masa selama 10 minit untuk berbual dan berbalas pantun di atas pentas utama Dewan Za'ba. Sebenarnya, pertandingan ini berlangsung di Dewan Hamzah Fansuri (dewan syarahan), tetapi disebabkan pertandingan dondang sayang sudah tamat dengan lebih awal, pertandingan pantun diubah di dewan ini. Soal kehilangan yang dimaksudkan ialah sewaktu giliran aku untuk membuat persembahan. Sedang ralit menonton persembahan sambil membuat persediaan, Saiful datang di sebelah dengan mengingatkan aku bahawa selepas ini giliran kami. Wah, waktu itu rasa dunia sedang gelap!

Sebelum naik ke pentas. A 19.10 dan A 20.10 sedang bersedia.
(Entah apa yang diketawakan mereka waktu ini?)
*Terima kasih Aiza Mira Maya untuk rakaman fotonya.

Saat nombor giliran peserta dipanggil, aku jadi serba gugup. Melangkah pun jadi serba tidak teratur. Berjalanlah dan kedengaran juga tepukan daripada para penonton. Lagi bertambah sukar untuk mengawal kegugupan yang semakin memuncak. Tangga pentas aku naiki. Ketika itulah, segala rangkap pantun yang dikarang dan diingat satu persatu hilang daripada simpanan memori. Oh, Saiful sudah berada jauh di hadapan! Bertawakal sahajalah. Mikrofon sudah berada dalam genggaman. Dalam perancangan, aku akan memulakan persembahan.Sudah, pantun perkenalan diri pun aku terlupa. Lalu, sengaja aku lengah-lengahkan. Loceng hanya dibunyikan sekiranya pantun pertama dilafazkan oleh peserta. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan aku waktu itu!

Sewaktu membuat persembahan di pentas utama bersama-sama Saiful dari IPG Kampus Raja Melewar.
*Terima kasih urus setia pertandingan untuk gambarnya.

Perasaan berada di atas pentas tidak sama perasaan menanti giliran membuat persembahan. Jika di bawah, akan ada orang yang akan tenangkan, tetapi bagaimana pula di atas? Mengharapkan pasangan, mereka juga sama. Saiful mempunyai bantuan catatan pantun di atas kepingan kertas kecil yang dipotong-potong. Aku hanya berbekalkan air liur dan modal untuk mengarang pantun secara spontan. Ekoran kehilangan, boleh aku katakan semua kosa kata yang tersimpan, hilang seketika waktu itu. Allah! Maka, aku merapu dan berpantun dengan entah apa-apa benda aku sendiri pun tak tahu. Sehinggakan ada beberapa bahagian, aku terpaksa mengulang binaan pantun itu, dan para penonton boleh ketawa! Ah, itu jenaka tak sengaja! Disebabkan binaan rima yang hendak sama, terpaksa menokok kata-kata yang boleh dipadankan. Apabila menonton semula rakaman, terasa seperti 'membogelkan' diri sendiri pun ada. Tak mengapalah, itulah dinamakan pengalaman. Aku juga sempat 'membahan' orang yang ada di dewan itu bagi menutup segala KEHILANGAN yang beraja. Nasiblah!

Ainun Nasibah [IPSAH] dan Wan Mohd Hadidi [IPIS]
(Hadidi yang menjadi bahan dalam persembahan aku)
*Terima kasih kepada urus setia untuk gambarnya.

Selepas giliran aku, dua orang di atas ini pula mengambil giliran. Kedua-duanya sudah mahu tamat pengajian. Datangnya dari dua kawasan geografi yang berbeza. Namun, temasya ini menemukan mereka. Seronok melihat persembahan mereka. Mencuit hati. Hendak dijadikan ceritanya, si Ainun Nasibah mahu menyebut 'Hadidi', tetapi boleh tersasul menjadi 'Abang Kedidi'. Disebabkan peristiwa itu, seluruh dewan ketawa dan dalam kalangan peserta pantun yang terapat, tidak habis-habis mengulangi panggilan Abang Kedidi itu. Hadidi, terimalah hakikat! Mengenali Hadidi dan Nasibah ini tidak merugikan. Ada sahaja cerita yang hendak disampaikan. Lebih-lebih lagi Hadidi atau Abang Kedidi. Waktu hari pertama perkenalan, berborak sakan sehingga jam 4.00 pagi, seperti sudah kenal lama. Celoteh dan bahan membahan usahlah cakap. Tak tahan perut nak gelak.

Affan [IP Tuanku Bainun] dan Farhan [IPDRI]
(Kisah yang tidak akan dilupakan)
*Terima kasih urus setia untuk gambarnya.

Mereka di atas pasangan persembahan sebelum aku. Geng berborak sampai tengah malam. Affan sudah kenal sebab beliau juga JPP seperti aku juga. Pernah jumpa di IPG Kampus Tuanku Bainun tahun lalu ketika lawatan penanda aras JPP ke IPG Zon Utara. Farhan hanya kenal di tempat penginapan, itupun ketika bersembang-sembang di ruang legar asrama.

Buah Nyonya?

Pernah dengar? Semuanya gara-gara Affan tersasul mahu menyebut 'NONA' tetapi menjadi 'NYONYA'. Apa lagi, ketawalah hadirin dan hakimnya sekali. Apabila gugup dan gubra, semuanya boleh jadi. Mereka berborak dalam situasi 'PENDIDIKAN', antara guru dan murid yang sudah lama tidak berjumpa. Paling pelik, Farhan boleh bertanya, "Manis ya buah nyonya tu, cikgu?". Oh, sangat tak boleh diterima! Tetapi, mereka tetap memberikan persembahan yang terbaik. Dari kaca mata aku yang menonton, mereka sudah mencuba sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik untuk semua , lebih-lebih lagi untuk IPG mereka. Tabiklah Affan dan Farhan! Meskipun kali pertama, namun kalian tetap terbaik!

Benarlah kata orang, apabila sudah gugup, semuanya boleh terjadi tanpa dijangka. Semua yang yang dirancang pada awalnya, akhirnya tidak menjadi seperti yang dijangka. Yang dirancang entah ke mana, yang tidak merancang apatah lagi. Akulah terutamanya. Setiap kali menyertai pertandingan, tidak kiralah secara individu atau berkumpulan, pasti yang diungkap akan lain daripada yang dirancang! 

Kemungkinan, gila-gila menjadi hal utamanya... selepas ini.

*Teringat ungkapan aku sewaktu persembahan, "Mereka ini (penonton) memang suka lihat kita di atas pentas. Boleh tepuk-tepuk tangan, gelak-gelak. Mereka tak tahu macam mana perasaan di atas ini."