Inspirasi: Guru yang Menulis.

3
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda"

Pada saat catatan pertama tahun 2014 ini digarap, di luar jendela sedang turunnya hujan yang mengheningi bumi sejak pagi. Alhamdulillah, rahmat Allah untuk sekalian alam. Januari sudah memasuki hari yang ke-10. Hari ini juga, hari yang ke-8 aku sudah kembali ke laman pengajian tahun akhir. Tahun yang memungkinkan aku bergerak pantas untuk mengejar segala yang telah disasarkan. Tidak banyak.

Tahun ini, boleh aku katakan sebagai tahun kegembiraan dan kebesaran kepada semua rakan penulis kerana ramai yang berjaya merangkul kejayaan, baik penerbitan buku baharu dan penerimaan hadiah sayembara. Sebagai rakan dan juga pendatang baharu di dalam dunia abstrak ini, tidak terlambat untuk diucapkan tahniah dan selamat maju jaya dalam lapangan yang dilalui kini. Amat berbangga, tatkala sastera tempatan kini sudah mendapat perhatian pihak yang terlibat dan penguasa negara.

Terlanjur catatan ini, sebenarnya aku ingin mengungkapkan rasa kekaguman kepada beberapa orang rakan yang sama-sama dalam bidang pendidikan ini. Antaranya ialah Helmi Ahmad dan Sri Rahayu Mohd Yusop. Kedua-dua individu ini boleh aku katakan sebagai inspirasi dalam kerjaya penulis yang bergelar guru.

Helmi Ahmad - pemilik blog Tetamu Istimewa, aku kenali hampir tiga tahun sejak pertemuan kali pertama pada malam penganugerahan HSKU 2011 di Seri Pacific Ballroom. Beliau seorang guru yang begitu aktif menghasilkan karya-karya yang bermutu (baik cerpen, puisi, rencana) di media-media tempatan. Penerima HSKU tiga tahun berturut-turut (bermula 2010 hingga 2012) ini, sudahpun menghasilkan sebuah kumpulan cerpen yang berjudul "Tetamu Istimewa" terbitan Insitut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM). Karya-karya beliau sangat aku akrabi dan gemari kerana penggunaan bahasa dan cerita yang disampaikan begitu menarik.

(imej daripada Google & blog beliau)

Sri Rahayu Mohd Yusop - penulis sayembara dan pemilik blog Sri Rahayu Mohd Yusop, telah aku kenali sejak pemilikan judul "Bukan Legasi Lalang" dan ketika itu aku sedang berada di tingkatan satu. Seorang guru Bahasa Inggeris yang boleh aku perikan sebagai guru yang cemerlang kerana boleh membahagikan masa untuk tugasan di sekolah dan juga masa untuk berkarya. Sehingga kini, beliau sudah menghasilkan 10 buah novel (terkini Qalbu Kalam). Pertemuan pertama kali ketika malam penganugerahan HSKU 2011 (ketika beliau memenangi tempat ketiga novel remaja) tidak aku sangka-sangkakan kerana selama ini hanya berbalas komen di blog beliau sahaja. Alhamdulillah, dapat juga bertemu dengan orang hebat seperti beliau. Kesemua karya beliau sudah berada dalam simpanan, kecuali Qalbu Kalam yang baharu sahaja diumumkan sebagai pemenang kedua sayembara anjuran ITBM-PENA-BH yang lepas.

(imej daripada Google & KOSMO)

Dalam hal ini, kadang-kadang aku berasa seperti tercabar kerana mereka yang sudah bekerja sebagai guru mampu menghasilkan karya-karya yang bermutu, meski terhambat tugasan-tugasan yang bertindan. Kedua-dua individu ini menjadi inspirasi untuk aku terus bertahan di dunia pengarangan ini.


P.S:

1. Sedang menanti khabar daripada penerbit.
2. Misi tiga puluh judul, untuk dua puluh empat belas.
3. Tiga serangkai, dalam tahun yang sama.
4. Menyambung kerja yang tertangguh.

Sedang Berlaku: Tanda Yang Allah Mahu Kita Tahu.

8
COM

Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda sahaja."

Masih lagi dibungkus dingin. Sejak dua hari lepas, langit semacam sedih  sehingga mencurah air ke darat. Hari ini, kisah dan warta tentang banjir menjadi topik utama akhbar-akhbar tempatan, malahan di corong radio dan televisyen juga begitu.

Tahun ini, Pahang menjadi tumpuan para wartawan. Khabarnya, bah kali ini dilaporkan paling buruk pernah dicatatkan dalam sejarah. Paras air Sungai Pahang dan Sungai Tembeling sudah melepasi garis merah (ancaman bahaya).

Selain kisah bah yang melanda, dunia kini bertumpu kepada Taufan Haiyan yang menyerang bumi Filipina (Tacclooban kalau tak silap). Seluruh dunia berasa simpati akan keadaan yang dihadapi oleh rakyat Filipina.

Begitulah.

Lewat beberapa tahun belakangan ini, beberapa siri benana alam (molek juga disebut sebagai fenomena alam) berlaku di beberapa negara. Antara yang mendapat liputan meluas; tsunami di Jepun, letusan Gunung Merapi di Indonesia, banjir kilat di kawasan peranginan Tanah Tinggi Cameron (menyebut beberapa kejadian).

Teringat sewaktu belajar Tauhid ketika di bangku sekolah rendah (sekolah agama). Ustazah pernah beritahu, salah satu tanda kiamat yang paling hampir dan ketara ialah banyak berlakunya bencana alam di dunia. Satu persatu Allah zahirkan tanda-tanda itu. Sesungguhnya, Allah itu Maha Kuasa dan Maha Besar.

Sama-sama kita doakan keselamatan mangsa banjir dan anggota penyelamat yang bertugas, agar sentiasa dilindungi Allah...

Wallahualam....

*Mungkin ini tunai untuk kita yang sedang dilambung dosa-dosa...

Dalam Waktu Cuti

0
COM

Assalamualaikum.

'Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda sahaja.'

Ini entri pertama dalam bulan Disember dengan menggunakan aplikasi Blogspot dalam telefon. Suatu permulaan untuk aku terus menulis di sini.

Bulan ini, boleh katakan bulan yang padat dengan aktiviti-aktiviti. Minggu hadapan akan diadakan satu persidangan bahasa di DBP dan ekspo buku di PWTC. Seterusnya, konvensyen pendidikan di Menara TM. Kemudian, kembara antara negeri.

Teringat kata-kata mantan Timb. Pengarah, "kalau hendak berjaya, sibukkanlah diri dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah."

Aktiviti penulisan berjalan seperti biasa.

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil 2012

3
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda"

Jumaat malam. Malam penganugerahan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil 2012 telah diadakan dengan jayanya. Debaran penerima hadiah sastera ini akhirnya terjawab. Malam itu, alhamdulillah saya merupakan salah seorang penerima hadiah. 

Senarai Pemenang Kategori Cerpen Remaja. Saya di atas.

Saya antara sembilan orang penerima hadiah pada malam itu bagi kategori cerpen remaja. Dalam kategori ini, hampir kesemuanya ialah guru! Alhamdulillah!

Antologi Sejujur Manggis
(Kredit kepada FB Syuhada Salleh)

Antologi ini dijudulkan sebagai "Sejujur Manggis", cerpen Khalil Zaini yang sangat perlu dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Kisahnya, kenalah baca sendiri! (hehehe). Antologi ini juga boleh didapati di Ujana Ilmu atau mana-mana toko buku yang berdekatan.

Abaikan senyuman itu!

Khabar sebagai pemenang hadiah utama, hanya diketahui pada malam itu semasa mendaftarkan kehadiran di meja urus setia. Dalam keadaan yang masih tidak percaya, terlintas dalam benak. Ah, biar betul! Tak fasal-fasal kena penapak dengan pengiring. Nak tahu siapa, sila klik di sini. Semasa melihat senarai pemenang, saya seperti tidak percaya kerana berada bersama dengan penulis yang sudah lama menempa nama. Ya Allah! Rezeki yang Kaulimpahkan, amat bermakna padaku. Alhamdulillah!

Sejurus tamat acara.
Bergambar dengan Kak Eja, tulang belakang Legasi Oakheart.
(kredit gambar FB Sayidah Mui'izzah)

Malam itu, tidak sempat untuk bergambar bersama-sama penulis yang lain. Agak terkilan, tetapi disebabkan tuntutan tugas, saya perlu bergegas ke Nilai pada malam itu juga. 

Naskhah-naskhah pemenang HSKU 2012.

Walau apa-apa pun, ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para pemenang. Semoga dengan kemenangan ini, dapat memacu lagi sastera tempatan ke mercu yang lebih tinggi. 


Barisan pemenang.
(kredit foto laman sesawang Utusan)


Nota: Meneruskan perjalanan sebelum mencapai noktah. Oh, bersisa sebulan lagi!