2012: Memberi Kesan Kepada Diri

2
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Hanya dipisahkan satu hari sahaja, 2012 bakal melabuhkan tirainya, sebelum tibanya 2013 yang senantiasa dinanti-nantikan oleh semua masyarakat bumi. Ketika entri ini dinukil, saya sudah pun berada di kampus dan sedang bersendirian hampir dua hari sambil menanti kepulangan rakan-rakan seperjuangan yang bakal meneruskan pengajian semester baharu. Sekarang juga, rakan-rakan yang berada di IPT-IPT seluruh negara, sedang berjuang untuk menghadapi peperiksaan akhir semester. Buat seorang yang teristimewa ini, selamat menjawab peperiksaan dengan jayanya dan insya-Allah mampu memperoleh keputusan yang cemerlang. 

Bagi saya, 2012 merupakan tahun yang saya dapat katakan sebagai 'tahun rezeki' buat saya. Hal ini bermula pada awal tahun lagi. Pada Januari yang lalu, karya pertama saya berjaya tersiar di majalah Tunas Cipta. Karya cerpen yang berjudul 'Sungai Piandang' ini saya tukangi pada tahun 2009 dan diperam hampir setahun setengah. Setelah berasa yakin dan puas memeram, saya mencuba untuk menghantar di media. Alhamdulillah, cerpen ini diterima oleh editor yang menangani majalah Tunas Cipta. Kepuasan bagi seorang penulis (lebih-lebih lagi muda remaja seperti saya ini) ialah apabila karya yang dihantar disiarkan oleh editor. Alhamdulillah juga, karya ini menerima ulasan positif daripada Tuan S.M Zakir selaku pengulas karya cerpen di Tunas Cipta. 

Seterusnya, pada Februari yang lepas, saya telah dimaklumkan oleh Editor Dewan Siswa bahawa karya 'Sfera Bersegi Lima, Sebutir Maruah' telah diterima dan disiarkan untuk keluaran April. Waktu itu, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika dimaklumkan sendiri oleh editor tersebut. Cerpen 'Sfera Bersegi Lima, Sebutir Maruah' ini saya nukilkan pada akhir bulan Disember 2011 selepas pulangnya dari Sabah. Kebetulan, rombongan kami bertemu dengan barisan pemain Malaysia yang berjaya merangkul pingat emas pada temasya Sukan SEA di Indonesia. Cerpen ini juga diulas oleh Dr. Mawar Safei yang banyak menceritakan mengenai aspek penulisan dan juga gaya penulisan. Biarpun ada yang mengatakan cerpen ini sebagai karya bermusim, saya menganggap dakwaan tersebut sebagai cabaran dan pembakar semangat untuk saya terus untuk menulis.

Detik yang paling memberikan kesan kepada saya sepanjang tahun 2012 ini ialah apabila cerpen 'Marga Ranah Rusuhan' yang saya tulis pada Mei 2012 berjaya menembusi tembok akhbar Mingguan Malaysia untuk edisi 8 Julai 2012. Berita penyiaran ini saya terima daripada abang sulung saya yang banyak memberikan dorongan dan semangat untuk saya terus menulis. Kesahihannya bertambah utuh apabila menerima pesanan khidmat pesanan ringkas daripada pensyarah dan beberapa orang rakan penulis. Cerpen 'Marga Ranah Rusuhan' ini telah saya hantar kepada pihak editor sastera akhbar ini pada 15 Jun 2012 dan berselang hampis sebulan, akhirnya diterima dan disiarkan oleh pihak editor. Saya begitu teruja apabila berjaya menembusi media arus perdana yang masing-masing tahu betapa sukarnya untuk melepasi standard untuk akhbar Mingguan Malaysia ini.

Julai 2012 memperlihatkan karya 'Kelongsong Ketupat' berjaya menempatkan 'dirinya' di majalah Dewan Budaya. Cerpen yang mengangkat ketupat sebagai latar penceritaan ini telah saya garapi selepas pulang daripada MPR 2011. Penghasilan cerpen ini dibantu oleh seorang penulis yang prolifik untuk memberikan pandangan dan cadangan untuk proses penambahbaikan. Alhamdulillah!

Pada September 2012 merupakan bulan terakhir karya saya disiarkan. Kali ini, dua buah karya berjaya disiarkan di Tunas Cipta menerusi cerpen 'Nyiur Payung' dan puisi 'Bendang Juang'. Alhamdulillah, puisi tersebut kali pertama disiarkan kerana saya begitu sukar untuk menulis puisi dengan baik walaupun sudah banyak membaca dan berguru dengan pandai puisi.

2012 amat memberikan kesan kepada saya sepanjang 21 tahun saya menetap di bumi Allah ini. Moga dapat diteruskan dengan jayanya pada tahun akan datang.


Wassalam.


p/s: Mengadaptasi dan merangka gerak kerja untuk '13 pula.

Jadual Terbaharu

1
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Jadual Semester Baharu

Alhamdulillah, jadual semester akan datang sudah dikeluarkan oleh pihak pengurusan. Terima kasih. Melihat kepada peruntuka jam kredit semester ini, kami perlu berkejar untuk menghabiskan jam kerana tuntutan praktikum (agaknya). 

Jadi, buat rakan sekelas, bolehlah bersiap sedia untuk menghadapinya bermula 2 Januari 2013 ini dengan program yang dirangka untuk kita ya... 

Jika untuk mengetahui jadual yang lengkap, boleh klik di sini.



p/s: Proses menghurai. Sabtu malam ada kenduri. Ye!

Kenapa Saya Membaca Karya Beliau?

1
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Kenal Mohd. Faizal bin Musa? Ini dia:


Tidak menjadi satu kesalahan kalau anda tidak mengenali nama tersebut, kerana hampir semua rakyat Malaysia (barangkali) mengenali beliau dengan nama penanya, Faisal Tehrani. Jika hendak mengenali dengan lebih lanjut, sila klik di sini. Kenapa saya tulis mengenai beliau? Sebab karya sastera yang pertama dibaca ialah cerpen beliau, iaitu 'Bulan dan Wira' yang menerima Hadiah Utama Kategori Cerpen Remaja untuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 1999. Untuk membaca karya cerpen ini, boleh didapati Kumpulan Cerpen Tiga Kali Seminggu, Antologi Cerpen Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 1999 Cinta Sekerdip Embun. Jujur saya katakan, mulai saat itu, saya 'jatuh cinta' dengan karya-karya sastera tempatan dan juga karya-karya Faisal Tehrani. Beliau disifatkan sebagai penulis generasi muda yang menzahirkan sisi kematangan yang luar biasa menerusi karya yang dihasilkan. Kebanyakan karya beliau mengangkat isu semasa dan juga isu yang tidak dijangkakan oleh pembaca. Karya novel pertama beliau yang saya hadami ialah Manikam Kalbu dan orang kata itu terlalu lambat untuk mengenali karya novel beliau. Tidak menjadi masalah besar sebenarnya.

Antara yang ada dalam simpanan rak buku

FT juga pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan untuk tiga tahun berturut-turut, bemula daripada tahun 2002 hinggalah 2004. 

HSKU 2002 :  1515
HSKU 2003 : 1511 [Kombat]
HSKU 2004 : Advencer Si Peniup Ney dan Detektif Indigo

KENAPA SAYA BACA KARYA BELIAU?

Ada yang bertanya kepada saya apakah sebabnya. Saya katakan, menerusi karya beliau, saya mula kenal karya-karya sastera yang lain, kenal sayembara sastera yang ada, nama-nama besar dalam arena kesusasteraan. Biarpun ada yang melabelnya sebagai penulis pembugar ideologi Syiah, saya tetap akan membaca karya beliau untuk melihat gaya penulisan, penyebaran idea dan bahasa-bahasa yang digunakan. Mengenai Syiah, Wahabi dan sewaktu dengannya, saya masih berkira juga, tetapi bukan sampai tahap eksterimis. Kerana nama saya masih muda dan setahun jagung dalam mandala ini, saya mengambil langkah untuk membacanya juga untuk tujuan kepengarangan saya.

Lagi satu hal, isu yang dibawa. Kadang-kadang (bukan kadang-kadang juga), banyak yang tidak saya ketahui mengenai isu sebelum ini. Sejarah Melayu, isu murtad, hedonisme yang melampau, Melaka, pertanian dan sebagainya saya boleh dapati menerusi karya beliau walaupun saya boleh mengambil inisiatif lain untuk mendalami isu-isu ini. Tetapi, saya menjadikan karya beliau sebagai permulaan langkah pertama untuk mencari dan mengkaji isu-isu tersebut. Dan banyak sebab sebenarnya untuk diturunkan di sini. Jika mahu tahu, anda bacalah sendiri karyanya.

Okey?



p/s: Tersangkut pada halaman kedua. Panthera masih bercakaran dengan Felis Leo. Hari ini, isu kiasan menjadi bualan. Siapa punca? Baca di sumber yang boleh dipercayai...

Koleksi Tulisan Seorang Guru

4
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Jika entri sebelum ini, saya menulis berkaitan senarai buku yang hendak disambar pada 2013 sekiranya diizinkan oleh Allah. Saya teruskan sahaja dan tak perlu untuk berbunga-bunga. Kali ini saya hendak berkongsi berkenaan dengan seorang penulis yang juga seorang guru. Beliau dikenali sebagai 'Penulis Sayembara' kerana hanya mengeluarkan novelnya setahun sekali. Saya mengenali beliau menerusi novel 'Bukan Legasi Lalang' yang mengangkat latar Melaka sebagai asas penceritaannya. Selain itu, 'Bukan Legasi Lalang' diangkat sebagai johan pada tahun 2000 sewaktu beliau masih bergelar penuntut di sebuah universiti terkemuka di New Zealand. Selepas membaca karya beliau yang pertama, saya berhasrat untuk mengumpul semua karya beliau sehinggalah yang terkini. 

Punca atau faktornya cukup mudah, karyanya yang mudah difahami, mesej yang jelas dan isu yang diangkat. Tidak bermaksud novel lain tidak mempunyai citi-ciri ini, tetapi saya lebih mudah untuk mendalami intipati yang terdapat dalam karya beliau ini, selain harganya yang berpatutan dengan nilai karyanya. 

Sri Rahayu Mohd Yusop

Boleh dikatakan, setiap tahun beliau akan mengungguli senarai pemenang sayembara ini. Beliau pernah mempertahankan gelaran juara untuk kategori novel remaja selama lima  tahun berturut-turut. Yang terbaru, beliau menempah tempat ketiga untuk HSKU 2011 dengan judulnya 'Rimba Jiwa'.

Himpunan Novel HSKU Sri Rahayu Mohd Yusop

Untuk membaca karya-karya Sri Rahayu Mohd Yusop ini, boleh klik di sini.


p/s: Hasrat 2012 untuk menghantar naskhah tidak kesampaian dan tumpuan seterusnya untuk 2013. Barangkali ada laluannya. Selepas ini, akan ditulis berkaitan dengan seorang lagi yang mengungguli tempat selama tiga tahun berturut-turut.