Buah Tangan Baharu Legasi Oakheart

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Sewaktu catatan ini ditulis, saya sedang mendengar alunan lagu daripada kumpulan SIGMA dari Indonesia yang berjudul Istikharah Cinta, selepas melihat perkongsian video daripada seorang rakan di laman FB. Entah, tiba-tiba mahu mendengar lagu sedemikian. (layan perasaan? - ehehehe)

Bukan itu hal yang hendak difokuskan. Fokus utamanya ialah untuk mempromosikan buah tangan baharu Legasi Oakheart (LO) yang menjadi naungan saya selama saya bergelar penulis, walaupun baharu setahun jagung.

Logo rasmi Legasi Oakheart

Kali ini, LO hadir dengan dua siri - buku dan DVD. Buku tersebut ialah sebuah antologi cerpen daripada 18 orang penulis yang menyumbang karyanya. Kemudia, DVD tersebut terkandung 5 buah filem pendek yang diadaptasi daripada cerpen-cerpen yang terpilih. Pihak LO telah menyediakan tiga jenis pakej pembelian yang boleh dilihat menerusi poster di bawah:

Poster pembelian

Untuk keterangan lanjut, bolehlah hubungi saya menerusi:

Emel : fakhaimd@gmail.com

atau terus layari laman maya LO, iaitu

Jaringan perhubungan dan maklumat terkini LO

Dapatkan maklumat-maklumat terbaharu daripada LO dengan melayari laman maya yang tertera di poster di atas.




p/s: Pelupuk mata tidak dapat mengatup...


Kejohanan Balapan dan Padang IPGKI

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Lama rasanya tidak mencoret di sini. Disebabkan beberapa kekangan, saya tangguhkan dahulu untuk mencoret di sini.

Semalam, IPGK Ipoh telah selamat menjalani Kejohanan Balapan dan Padang Kali Ke-28, anjuran Unit Kokurikulum dan PISMP Ambilan Januari 2011 Unit J. Masing-masing bertungkus-lumus untuk menjayakannya semenjak mesyuarat yang pertama lagi, sehinggalah semalam, hari peristiwanya. Selaku mantan Setiausaha JPP, saya tidak terlepas untuk memenuhi kerusi jawatan itu dan saya menerimanya dengan rasa syukur kerana saya sangat seronok bekerja sebagai SETIAUSAHA! Seronok sebenarnya bekerja dengan kawan-kawan yang sama-sama komited dan bersemangat untuk menjayakan kejohanan ini.

Hasil tuaian tahun ini.

Saya menganggotai sayap Bayan, yang mewakili warna biru - warna kegemaran saya. Entah, tidak tahu kenapa warna biru yang digemari, tetapi tidak pula menyukai tampuk barisan yang menaungi jumantara negara ini. Lupakan benda itu.

Pada tahun ini, saya tetap menyertai acara, walaupun sebagai pegawai. Tetapi, itu tidak menghalang saya untuk menyumbang mata dan tenaga kepada sayap sukan saya. Seperti biasa, acara yang disertai ialah 400m dan 4x400m. Tetapi, tahun ini, ketua sayap sukan saya telah meletakkan nama saya dalam acara lompat tinggi dan 4x100m. Mula-mula, terkejut juga sebab sudah lama tidak berlari dan melompat setinggi palang yang melintang. Namun begitu, saya sahut cabaran ketua saya untuk menyertainya. Berkenaan dengan acara yang disertai, tahun lalu saya berjaya merangkul emas untuk acara 4x400m untuk kali kedua selepas kali pertama memenanginya pada 2011. Pada mulanya, saya hanya menguruskan pasukan. Tetapi, selepas diminta oleh rakan, saya menerimanya selaku pelari pertama. Namun demikian, tahun ini sekadar menduduki tempat kedua, tewas kepada sayap Helang. Benar kata-kata seorang rakan kelas; 

Kau menumpang kekuatan orang lain, walaupun kau menang. Tetapi, menumpang pun menyumbang kemenangan.

Bersama-sama jurulatih kokurikulum, Encik Amir dan rakan seperjuangan
Ammar Ahmed dan Muhammad Azharie

Hampir sebulan, pengurusan sukan dijalankan. Sebermulanya daripada mesyuarat pertama untuk pemilihan jawatankuasa sehinggalah hari peristiwa - masa yang memang diperuntukkan selama 24 jam seperti tidak mencukupi, tambahan dengan musim kerja kursus yang semakin mencengkam. Mujur juga, ada tenaga-tenaga yang sudi menghulurkan bantuan untuk memudahkan kerja yang dilakukan.

Kerja-kerja menggelek garisan
(Azahari, Ammar, Zulfahmi, Syed, Adam)

Latihan menyorak untuk pemenang
(Fahmi, Adam, Anwar)

Bersama-sama pasukan kompang sementara menunggu ketibaan VIP

Pada hari kejohanan, saya berkesempatan menyertai pasukan kompang untuk mengiringi para VIP. Meskipun inilah kali pertama bermain kompang, namun semangat itu tetap berkobar. Bersama-sama dengan rakan kumpulan yang 'gila-gila' dan kelakar, saya tidak rasa sedikit pun ketegangan semasa sesi latihan. Berkongsi ketawa, ilmu dan 'cerita-cerita hangat' - itu selingan semasa rehat....

Peserta 100m akhir wanita sedang bersedia untuk dilepaskan
(Garuda - hijau menjuarainya dan Bayan - biru ketiga)

Selepas acara 400m akhir lelaki
(Saya berbaju biru yang sedang berdiri. Baharu tiba di tempat ke-6)

Persaingan sengit antara empat sayap
(Garuda - Nuri - Helang - Bayan)

Pelari 4x100m - Faiq, Saya, Nuing, Fadhil
(Tempat keempat - saya pelari kedua.)

Sebenarnya, terlalu banyak yang hendak dikisahkan di sini. Tetapi, mengalami keterbatasan kata. Mungkin akan dicoret pada entri yang akan datang. Walau bagaimanapun, ucapan tahniah kepada sayap Helang kerana berjaya mempertahankan kejuaraan sebagai juara keseluruhan buat kali kedua berturut-turut. Mengekori di tempat kedua ialah Garuda, ketiga Bayan dan keempat Nuri.

Ucapan tahniah juga kepada semua PISMP Ambilan Januari 2011 Unit J kerana berjaya menganjurkan Kejohanan Balapan dan Padang Kali Ke-28 ini bersama-sama dengan Unit Kokurikulum IPG Kampus Ipoh. Ketetapan kursus WAJ 3111 ini mungkin dapat membantu para mahasiswa guru untuk menguruskan kejohanan sukan ketika di sekolah kelak. Diharapkan juga agar segala ilmu yang ditimba ini dapat dimanfaatkan nanti.