Lembaran Baharu

3
COM
Assalamualaikum.

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Tinggal beberapa minggu lagi, Disember bakal melabuhkan tirainya untuk memberi peluang 2012 menggantikan tampuk tahun yang baharu. Ya, saat itulah, semua orang di seluruh dunia akan bergembira dengan pertukaran tahun yang aku kira penuh dengan pancaroba dan likunya sepanjang tahun ini. Daripada isu luar negara, hinggalah isu dalam negara, kedua-duanya saling tidak tumpah samanya.

 Aku sangat bertuah dan bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berkumpul semula pada pertemuan kali kedua bersama Alumni MPR untuk berbengkel. Bengkel yang diberi jolokan 'Bengkel Pemantapan Karya Alumni MPR' telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka dan aku berkampung bersama 20 orang alumni MPR yang hadir daripada pelbagai generasi. Ada yang sudah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, penulis novel, penulis skrip dan sebagainya. Aku? Sekadar peserta kecil yang hanya punyai manuskrip tidak diterbitkan.

Alumni MPR bersama penceramah dan urus setia

Tinggalkan.

Aku dan mereka harus menyelesaikan tugasan yang telah diberikan oleh urus setia. Ya. Harus dan wajib. Selain itu, perkara yang telah disepakati dalam kalangan peserta. Itu adalah rahsia.

Dalam sejarah hidup aku, andai ini diizinkan oleh Allah, aku bakal menghasilkan manuskrip aku sendiri. Bukan perkara mudah untuk dihasilkan, tambahan pula aku masih mentah dalam dunia ini. Mendengarkan pernyataan yang diutarakan oleh pihak penganjur, terkedu aku sejenak. Wah, bukan calang-calang kerja yang harus dilakukan. hendak tidak hendak, aku harus melaksanakan juga. Insya Allah, akan diusahakan.

Semoga aku berjaya! Amin...

* Manuskrip pertama - 10 bab yang WAJIB dihantar
* Sebuah rakaman kisah dalam satu citra
* 7 buah fikiran yang harus diteliti
* 60 madah yang harus dikumpulkan
* Sebuah ceritera yang diberikan nafas baru

dan yang paling penting...

* Tiada lagi nama JPP dalam kamus aku...

Ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana memberikan peluang ini kepada aku. Alhamdulillah, mendapat bimbingan yang sangat berguna untuk aku gunakan sepanjang aku bergelar sebagai seorang PENULIS...

Masih Mampu

0
COM
Assalamualaikum.

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Berselang seminggu, tidak dijenguk laman ini. Kesihatan yang tidak mengizinkan dan kesibukan yang melanda - aku tidak bisa mencoret di sini

Walaupun kesihatanku tidak memberangsangkan, namun alhamdulillah aku masih lagi mampu untuk meneruskan aktiviti-aktiviti aku seperti biasa.

* Misi seterusnya - harus disiapkan sinopsis.
* Treatment - sedang dibentuk, Outline - lambat lagi.
* Cinta Sekerdip Embun bakal dihabiskan.

Bengkel Penulisan Skrip Adaptasi Karya Sastera kepada FIlem DBP-FINAS

0
COM
Assalamualaikum.

"CIkgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Alhamdulillah, bengkel penulisan yang bermula pada 3 - 4 Disember 2011 telah pun berakhir. Bengkel yang bernama "Bengkel Penulisan Skrip Adaptasi Karya Sastera kepada Filem DBP-FINAS" telah diadakan di Studio Latihan FINAS, Hulu Kelang. Banyak perkara yang dipelajari sepanjang dua hari itu. Para peserta bengkel telah dibimbing oleh seorang tokoh perfileman dan juga pensyarah penulisan kreatif ASWARA, Encik Zakaria Ariffin, atau dikenali sebagai En. Zack. Beliau sangat ramah dan senang untuk dibawa berbincang.

Ha... Aku peserta yang paling muda dalam kalangan peserta yang lain. Peserta lain semua sudah hasilkan skrip sendiri. Sudah diterbitkan pun ada, malah penulis skrip teater dan drama pentas pun ada. Pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010, penulis sepenuh masa, penulis skrip drama radio RTM, penulis novel, pegawai TV AlHijrah, usahawan, pegawai DBP dan guru. Aku? Duduk di pojok studio latihan sekadar mendengar dan mencatat apa-apa yang kukira sangat penting. Hendak bertanya, jangan diharap.

Usah diulas panjang. Aku sertakan dengan beberapa keping foto yang sempat dirakamkan.








Tak banyak gambar yang diambil, memandangkan sibuk mencatat dan kamera juga tidak dibawa pada hari pertama. Semoga bengkel ini mampu memberi pendedahan kepada aku dan juga rakan-rakan yang lain.


*Projek yang harus diselesaikan.

Panca Jari Di Muka

5
COM
Assalamualaikum...

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Rasa bagaikan ditampar tatkala membaca sebuah entri dan status seseorang di laman 'Facebook' dan laman blognya. Masakan tidak terasa, aku sebagai penutur jati bahasa Melayu dan bakal menjadi seorang guru Bahasa Melayu, tidak mendisiplinkan diri untuk menuturkan setiap patah bicara dengan bahasa Melayu sepenuhnya. Nah, kau! Selepas membaca status perkara itu, hati bagai direnggut, dan mukaku bagai ditampar sekeras-kerasnya.

Puan Nisah Haron, seorang penulis yang prolifik menyatakan keluhannya di laman blog dan laman 'Facebook' beliau. Keluhan berkisar penggunaan bahasa SMS yang berleluasa dalam kalangan penutur bahasa Melayu kita. Habis rancu bahasa Melayu dibuatnya. Terima kasih puan, atas peringatan yang dinyatakan. Moga menjadi pedoman kepada semua yang membaca.


Ayuh, rakan-rakan! Gagahkan lidah untuk tuturkan bahasa Melayu dengan sempurna. Siapa lagi kalau bukan kita untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan?

Perkongsian dan Renungan

4
COM
Assalamualaikum.

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

 Disember sudah melangkah ke gerbang hidup. Muharram pun sudah masuk hari kelima di ruang langit 1433H. Alhamdulillah, masih diberi nikmat untuk bernafas.

Sekarang ini, mata pun sudah digamit layu. Mahu diberi rehat setelah seharian menatap 'cinta' yang susah untuk dikekang. (Cinta yang dicari sendiri...). Seperti biasa, sebelum tidur pekena sebuah hikayat atau cerita. Jadi, bukulah jadi peneman. Namun, ceritanya sudah mencapai khatimah. Nak cari yang baru, semuanya berada di dalam kotak di asrama.

Teringat akan buku yang baharu dibeli semasa lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Alahai, ruginya tidka dibawa pulang sekali... Bukan itu sahaja, buku yang sudah dibaca namun belum dihabiskan juga di sana. Kemaruk lagilah!


Ini senarainya:

1. Juara - S. Othman Kelantan (separuh nyawa mencari, jumpa juga di Sabah).
2. Sangkar - Anwar Ridhwan.
3. Seketul Hati Seorang Pemimpin - Shahnon Ahmad (dua kali beli - padan).
4. Kasino - Saifullizan (penangan pakau kawan-kawan).
5. Tiada Khatimah Cinta - Salina Ibrahim (plastik pun tak berbuka lagi).

Berhabuklah... Cinta Sekerdip Embun - yang wajib dibaca, sedang dalam proses. Agak lambat sebab nak kena faham setiap intipati cerita. Banyak yang aku belajar dan dapat daripada karya yang wajar diangkat sebagai pemenang (aku bila lagi?)

Pesanan aku...

Hendak menulis, banyakkanlah membaca (penangan ceramah semasa di MPR). Tak membaca, macam mana nak menulis. Penulis, kuncinya ialah membaca. Nak menulis cerpen bak kata kak Salina - nak pandai tulis cerpen, kena baca sekurang-kurangnya 20 cerpen.

Jangan mudah putus asa dan jangan terlalu memaksa. Putus asa akan menyebabkan motivasi akan jatuh. Memaksa pula akan menyebabkan ilham dan idea akan menjadi tidak menjadi dan cerita akan kurang berjaya. (nak cakap aku 'power' pula). Bak kata Puan Sri Rahayu Mohd Yusop, ketakutan pada penulis selain penolakan manuskrip, ialah 'WRITER'S BLOCK'.

APA ITU?
Penyakit yang selalu datang kepada penulis apabila sedang menulis. Aku selalu kena. (tak serius pun). Ubatnya, jangan menulis dengan sambungan internet dan sewaktu dengannya. BAHAYA! Akan membawa kepada ketagihan dan menyebabkan manuskrip tidak siap. (macam aku!).

Baik, itu sahaj untuk 1 Disember 2011.

* Proses menyiapkan manuskrip - sakit kepala tu! Buat sikit-sikit...

Jadual Kala Percutian

0
COM
Assalamualaikum...

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Sepanjang bulan Disember ini, jadualku telah penuh dengan aktiviti yang disusun. Nah, tengok di bawah!

3 - 4 Disember 2011
Bengkel Penulisan Skrip Adaptasi Karya Sastera Ke Filem DBP-FINAS
Studio Latihan FINAS, Hulu Kelang.

10 - 11 Disember 2011
Rombongan ke Pulau Pinang

14 - 16 Disember 2011
Bengkel Pemantapan Karya Sastera MPR
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

17 Disember 2011
Walimatul urus Abang Zhafran
Pasir Puteh, Kelantan 

Mungkin, selepas 20 Disember 2011, baru ada kelapangan. Namun, belum ada kepastian lagi.

Kemarau Yang Basah dan Ilham yang Mencurah-curah

2
COM
Assalamualaikum

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Alhamdulillah, aku masih lagi di sini, di samping ujana ini.

Berpeluang becuti dan bejauh (dalam bahasa Iranun - satu etnik Sabah) di negeri Di Bawah Bayu bersama taulan, sangat mengujakan. Saat menapak di bumi yang tersergam indah nama Kinabalu, aku berasa bagaikan diawang-awangan kerana pertama kali aku melepasi garis sempadan Laut China Selatan ini. Banyak yang aku dapati daripada percutian ini.

Satu pengalaman yang belum boleh aku singkirkan daripada kotak memori (walaupun sudah sarat dengan masalah). Bertemu dengan skuad Harimau Muda di LCCT! Kala itu, kami baharu tiba di perkarangan LCCT dan ternyata sesak dengan peminat-peminat bola sepak negara. Sesempat itu, aku berjaya menyaksikannya dengan mata dan kepada aku sendiri barisan pemain yang mengharumkan nama negara di rantau Asia Tenggara ini.

Khairul Fahmi Che Mata

Baik, tamat untuk Sabah.

Setelah lama aku tak punya karya, akhirnya dengan izin Allah, aku berjaya hasilkan satu (lega sangatlah). Menderita aku dibuatnya untuk menyiapkan satu karya. Mujur, idea sudah kujemput awal-awal lagi sebelum berlepas ke Sabah. Kemarau yang menaungi aku, sudah pun dibasahkan dengan idea yang turun dengan lebat! Terima kasih, Ya Allah!

Barangkali, ada benarnya juga amanat Kak Salina pada lewat 'post' di laman Facebook 'KALAM SELAT MELAKA'. "Motivasi manusia ini bukan berkekalan, setakat tiga bulan sahaja. Semangat memang berkobar-kobar." Mengingatkan kata-kata itu, aku bagai ditampar-tampar oleh Kak Salina. Hendak tak hendak, aku harus meneruskan legasi yang aku ciptakan sendiri. Tambahan pula, rakan-rakan penaku sudah pun menggarap karya menembusi media. (Tercabar ni).

IDEA?
Aku dapat dari mana? Carilah sendiri. Idea masing-masing, ada sahaja di sekeliling. Cuma kita sahaja tak tahu nak pakai bagaimana. Bukannya susah mendapatkan idea atau ilham. Kuncinya, mesti ada bahan catatan (buku, pen, pensil, kertas, iPhone, iPad, Galaxy Tab, dll).  Sekarang, semuanya serba-serbi mewah dan mudah. Gunakan dengan sebaiknya.

Tengok orang lalu-lalang pun boleh jadi idea penulisan. Tengok budak menangis pun boleh jadi bahan. Sakit perut pun boleh jadikan jenaka (perlukah disebut?). Macam-macam boleh dibuat. Jangan risau untuk memukat ilham. Kumpulkan sebanyak yang mungkin. Kemudian, saringlah mana-mana yang sesuai. Ikut cerita yang hendak ditulis.

Kalau aku, menulis cerita sangat seronok tapi menyeksakan kalau terputus talian hayat. Aku akan rangkakan dahulu wataknya. (Kadang-kadang belasah saja). Watak main peranan dalam cerita selain plot cerita. Susun plot pun kena diberi perhatian. Plot yang tersusun, akan menjadikan cerita lebih tersusun dan menarik. (Kerja yang paling leceh bagi aku - menyusun plot).

SEBAB?
Kena perah otak sampai kering tak ada air, untuk janakan cerita. Kalau tak kena gayanya, mahu demam terduduk. Dalam sejarah aku menulis cerpen, baru sekali aku susun plot. Cerpen 'KELONGSONG KETUPAT' yang pernah aku hasilkan. Bagi aku, cerpen itulah yang terbaik dalam kalangan karya yang tersimpan. (Jenuh nak susun ikut kronologi). Ditambah lagi dengan idea-idea asing yang mengganggu, cukup menyenakkan kepala! Tapi, ikutlah keselesaan penulis itu sendiri. Buatlah mana-mana yang dirasakan mudah.

Kerja menulis ini bukanlah suatu kerja yang sia-sia dan mudah. Hendak dibandingkan dengan kira-kira (kenapa harus KIRA-KIRA?), menulislah yang bagi aku paling susah walaupun aku susah dalam KIRA-KIRA! Mana tidaknya, seorang penulis akan tersepit dengan banyak perkara. Tanggungjawab untuk menyekolahkan masyarakat dengan menyampaikan ilmu yang betul dan tidak menyesatkan. Menghadapi karenah penyunting yang pelbagai. (Walaupun bukan selalu aku hantar ke media - cerita daripada orang sahaja). Hendak menulis, kenalah bersabar.

Kepada yang menulis dan baru berjinak-jinak untuk menulis, semoga tekal dengan dunia yang misteri ini (Pak AGI yang cakap). Untuk taulan IPG Kampus Ipoh yang mengambil kursus elektif PERSURATAN DAN KESENIAN MELAYU, harap dapat mulakan penulisan anda kerana anda bakal terseksa dengan cabaran semasa di semester 4. (Semester yang aku tunggu-tunggu walaupun aku tidak berjaya mempertahankan kursus itu daripada terlepas). Kita boleh berkongsi-kongsi dan andai ada kesulitan, aku sudi menghulurkan bantuan...

* Sfera Bersegi Lima dan Sebutir Maruah sudah selesai. Misi seterusnya.

Citra Sebiji Bola dan Darjat Sebutir Pingat

1
COM
Assalamualaikum...

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."


Alhamdulillah, semarak jaya pasukan Harimau Muda mengekalkan pingat yang dirangkul pada edisi lepas temasya Sukan SEA 2011 di Indonesi lewat malam semalam. Tahniah dan syabas.

Sukan SEA Jakarta-Palembang 2011


Skuad Harimau Muda yang dikepalai Badrool Bakhtiar

Bangga dengan perkembangan sukan bola sepak negara. Hasil daripada motivasi kemenangan pada Pialan AFF Suzuki yang lalu. Moga akan terus komited mengekalkan penguasaan ini.!


(Encik Cermin Mata Renang: terima kasih)

Insya Allah, kali ini (cetusan ini) menjadi satira kebanggan rakyat Malaysia!

*Menghitung detik untuk bertolak ke LCCT...!



Selesai Sudah

2
COM
Assalamualaikum...

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Alhamdulillah. Hanya itu sahaja yang mampu aku ungkapkan setelah selesainya Pertandingan Forum Institut Pendidikan Guru Peringkat Kebangsaan 2011 Piala Y.A.B Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd. Kadir. Sepanjang tiga hari bermula dari 18 November hinggalah 20 Novermber 2011, sebanyak 9 buah IPG dari seluruh negara telah berkampung di IPG Kampus Ipoh, selaku tuan rumah untuk pertandingan forum yang julung-julung kali diadakan.

(asalnya aku sekadar AJK Buletin Pertandingan)

Di sebalik penganjurannya, ada tersingkap sebuah cerita yang kukira sangat memberi kesan kepadaku selaku salah seorang AJK yang terlibat.

Ya Allah! Pertandingan sudah hendak dimulakan, namun peserta masih belum dilatih dan bersedia lagi. Dengan ketiadaan pelajar yang sudi merelakan diri menjadi peserta, akhirnya, ada juga yang sudi mengorbankan cuti semata-mata hendak berkhidmat untuk IPG. Nama-nama mereka tidak perlulah kusebut kerana sudah banyak ditulis di ruang anjung Facebook. Hendak dijadikan cerita, akulah yang mencari peserta semuanya. Mungkin sudah berputus asa, ada seorang rakan yang mempelawa aku untuk bertanding. Agak mustahil perkara itu, kerana aku belum pernah melibatkan diri dalam pertandingan ini. Hendak tak hendak, kau merelakan sahaja. Tutup cerita itu.

Alhamdulillah, pertandingan berjalan dengan lancar dan baik. Aku bersama rakan kumpulan berada dalam kumpulan yang kukira 'maut' kerana berada dalam kumpulan yang mempunyai legasi di antero IPG Malaysia. (IPG KAMPUS GAYA dan IPG KAMPUS BAHASA MELAYU). Bertanding dalam kalangan mereka, sangat mendebarkan. Mula-mula lagi, sudah mahu terkeluar jantungku.

Malas hendka aku menulis lagi, kumpulan kami kecundang di pusingan pertama. Memberi laluan kepada dua kumpulan yang lain untuk ke pusingan kedua yang berlangsung pada waktu petang. 

PUSINGAN AKHIR

Pusingan akhir berlangsung pada 20 November. Diterajui kumpulan dari IPG KAMPUS SULTAN ABDUL HALIM, IPG KAMPUS TUANKU AMPUAN AFZAN, IPG KAMPUS ILMU KHAS dan IPG KAMPUS GAYA. Masing-masing begitu hebat di atas pentas akhir. Kagum!

Keputusannya berpihak kepada IPG KAMPUS GAYA. Berikut keputusannya:

Johan: IPG Kampus Gaya
Naib Johan: IPG Kampus Tuanku Ampuan Afzan
Ketiga: IPG Kampus Ilmu Khas
Keempat: IPG Kampus Sultan Abdul Halim.
Panel terbaik: IPG Kampus Gaya
Moderator terbaik: Hafifi Hafidz Horace

Sekitar Pertandingan:





Misi Kamikaze

0
COM

Assalamualaikum...
"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Misi kamikaze yang bakal dilunas. Usai kertas Pergerakan Asas, terus lanjutkan kerja untuk persiapan pertandingan ini. 

Moga dipermudahkan oleh Allah.

Posted by Picasa


Pulmonari Optimistik: Sel-selnya Sedang Mengalir

0
COM
Assalamualaikum...

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Sekian lama blog ini tidak ditulis dengan perkara-perkara yang aku hendak tuliskan. Mujur waktu masih bersisa untuk aku mencoret di sini. Alhamdulillah. Biarpun peperiksaan sedang 'menjajahi' ruang lingkup hidup aku, betah lagi aku bergelintar di ruang maya.

Berjalan-jalan di ruang maya, sedikit banyak membuka lembaran baharu dalam dunia penulisan yang aku sendiri cipta. Entah, tidak semena-mena semangat membugar kembali, setelah diserang kecewa tempoh bulan. Meneliti setiap ruang penulis yang berjaya, jiwa berdetik.

"Jangan jadikan kekecewaan sebagai batu penghalang." Aku memujuk sendiri.

Pujukan demi pujukan diberi untuk merawat hati yang lara. Aku berlapang dada sahaja. Peluang berguru dengan 'sifu' sastera muda, wajib aku teruskan legasinya. Apatah lagi, nasihat dan panduan yang dipinta daripada pemenang HSKU 2010, menjulang lagi api semangat yang kukira mahu terpadam.

Aku sangat optimis untuk mencuba satu perkara yang begitu mustahil untuk aku capai sebelum ini. Hari demi hari, aku cuba untuk dapatkan semangat optimis itu. Peluang dan persekitaran membantu walaupun sedikit. Ikhtiar dan usaha juga diadun sekali. Kukira, memang langkahnya sangat sukar, namun tidak mustahil untuk aku capai. Insya Allah.

Misi yang seterusnya, sebuah satira panjang! Sempat untuk 30 hari? Insya Allah, andai diikut petua yang diberi, ditambah usaha dan doa, dan pengorbanan setiap perkara yang aku perlukan.

MISI MUSTAHIL

Tulis
(tak mahu sakit, jangan tulis)
Tempoh 30 hari
(tulis sampai lebam)
Hadam rujukan
(kamus + tesaurus + kitab-kitab)
Jilid
(lepas 30 hari - sanggup?) 

Hantar
(tak lega lagi)

Doa + Usaha + Tawakal + Insya Allah!

Secoret Tinta

0
COM
Assalamualaikum...

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Kubilang, sudah hampir seminggu tidak diusik 'teman'ku ini. Maaflah, ruang waktu yang tidak mengizinkan aku menjengukmu. Lebih-lebih lagi, kini aku sedang liburan di samping keluarga yang tercinta. Alhamdulillah.

Alhamdulillah juga, kerana aku sudah pun selesai menyertai satu kursus tempoh minggu. Semuanya bercerita perihal kepimpinan. Walaupun, aku sedari masih jauh untuk aku memimpin orang lain sedangkan diri aku masih kekurangan. Namun, kepercayaan dan amanah harus diseiringkan. Sedikit terubat duka yang menyengkelit benak yang entah bila mahu hilang... Maaf sahabat, aku terpaksa mengatakan perkara lain untuk melupakan gusar itu...


Mercu Jaya!

6
COM
Assalamualaikum...

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Setelah berhempas pulas berjuang dalam medan berbalas pantun, akhirnya aku temui JOHAN bersama tiga lagi rakan. Kumpulan kami diberi nama CAKNA MUSTIKA, hasil kreatif ideanya daripada HASIF PADZIL, lewat pendaftaran peserta lalu. CAKNA MUSTIKA berjaya menewaskan pasukan unggul IPG KAMPUS IPOH, iaitu PAWANA SALJU kerana mereka merupakan pasukan pemantun IPG KAMPUS IPOH. Boleh dikatakan, mereka ialah pasukan elit dan berpengalaman dalam bidang ini.

Cakna Mustika dianggotai:

1. Mohd Fathul Khair bin Mohd Dahlan
2. Muhammad Nur Hasif bin Mohd Padzil
3. Hamizah binti Jaafar
4. Siti Nur 'Afiqah binti Maelah

Berikut rakaman pertandingan tersebut.

AKU sedang mengungkap pantun

 Pertemuan CAKNA MUSTIKA dan PAWANA SALJU

Sang Juara: CAKNA MUSTIKA

 Pasukan Elit: PAWANA SALJU

Legasi Guru J3: Pewaris Bahasa Peneraju Bangsa

Pada hari yang sama juga, kelas aku turut memenangi Pertandingan Pidato Bukan Melayu Peringkat IPG Kampus Ipoh menerusi wakil kami, Sanisha a/p Bogaraja. Pada mulanya, dia menolak pelawaanku, namun terima juga. Bantuan rakan-rakan, dia berjaya dinobatkan JOHAN menewaskan empat peserta yang lain.

Sang Juara: Sanisha A/P Bogaraja

Aku dan Sanisha

Alhamdulillah, semester ini dua kejuaraan lagi berjaya dirangkul oleh kelas aku, Legasi Guru J3. Tahniah diucapkan. Kepada Ketua Unit, Mohamad Saufi bin Aris, dan Penolong Ketua Unitnya, Nurfatin binti Jamal tahniah kerana berjaya membawa kelas kita ke mercu jaya!

Tidak lupa juga kepada semua yang terlibat [Syahirah, Husna, Fatimah, Azrul, Najib Ibrahim, Najib Hassan, Syamsuri, Na'ilah, Hanani, Akmal, Namira, Sakinah, Zulhilmi] kerana memberikan sokongan kepada kami.

Mudik ke Lahat singgah di Serendah,
Bawa bekalan satira sayat;
Kenangan terpahat tersemat indah,
Moga berkekalan ke akhir hayat.

Senarai semak kerja:

1. Menyambung cerita.
2. Antologi Kelongsong Ketupat.
3. Fail MQA dan ISO.
4. Majalah DEDIKASI 2011.

Otakku Berkecibak

4
COM
Assalamualaikum...

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Masih tercari-cari idea yang ideal untuk digarap. Terkial-kial aku menyusun cerita, payahnya bukan main! Rangka dan ilmu bantu sudah dihimpun. Bagaimana mahu dimulakan?

Ah!

Aku rasa, beginilah cara-cara mereka yang menulis cerita yang tebal [novel] buat kali pertama. Barangkali juga tidak. Mungkin aku sahaja yang silap. Teruskan sahaja usaha!

Tidak lama lagi, aku bakal punyai antologi cerpen sendiri. Alhamdulillah, rezeki Allah! Lelah hendak usahakan perkara itu. Mujur, ada bantuan pensyarah yang juga penulis novel Biarkan Ia Terbang dan Nohan. Semangat aku menjangkau mercu gunung yang memasak. Lebih-lebih lagi, aku baharu sahaja disekolahkan dengan penulis-penulis prolifik di tanah air.

Sedikit lelah. Lelah sebab sudah dihantar tulisanku ke muka media. Entah bilakah waktunya akan disiarkan. Tunggu sahajalah!

Senarai semak kerja:

1. Siapkan satu hingga dua bab.
2. 'Update' antologi - minta karya yang belum dihantar.
3. Semak karya rakan [walaupun aku bukan hebat sangat dalam berpuisi].

Wassalam...

Sunyi

0
COM
Assalamualaikum...

"Guru bukan sahaja dengan buku dan pena penanda."

Dengan nama-Mu Allah, yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, aku mulakan coretan ini...

Sedang berteleku sendirian, kesunyian tidak semena-mena menerpa benak. Terus merentap tangkai hati yang memerlukan pengisian. Biarpun sedetik sebelum itu, aku gembira di samping rakan-rakan yang mengisi kekosongan itu. Namun, itu seketika cuma. 

Sebenak, membutuhkan isi. "Law Kana Bainana" telah kujumpai. Alunan puisi Arab itu cukup menyentuh. Gemersik suara kanak-kanak itu cukup menyentuh kalbu. Terasa diri ini jauh di samping Rasulullah... Tiadakan satu, malah kurasakan tiada satu pun yang kuikut inti patinya. 





Melarik Ilham

3
COM
Assalamualaikum..

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Malam yang baru sampai destinasi. Aku masih di kampung halaman. Tidak lagi pulang ke Perak. Saat ini, terasa kerinduan di hujung benak. Tak apa, Khamis ini masih boleh pulang lagi...

Melarik Ilham.

Terlintas satu imbasan. Watak-watak yang terbina secara spontan. Ah, pantas dicatat! Takut-takut hilang. Hm, boleh tahan. Sakit mengingat kembali. Aku cuba sedaya upaya. Kali ini, aku sudah melanggar petua Puan Sri Rahayu Mohd Yusop.

"Jangan canang kerja-kerja kita".

Maaf puan. Terlanjur kata.

Usaha, akan kuteruskan. Jalan sudah ada, pintu sahaja belum terkuak. Berilah kelapangan, ya Allah..


*mahu pulang ke Perak bersama ETS...!



Belasungkawa Sukma Di Ranahku

1
COM
Assalamualaikum...

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pena penanda".

Waktunya begitu lama tidak berdamping dengan makalah ini. Saat itulah, berkali sukmaku berasa begitu remuk-redam. Entah kenapa terasa begitu. Mahu tumpah sahaja untaian jernih ke latar bumi.

"Belasungkawa Sukma Di Ranahku".

Tajuknya persis dedikasi buat orang yang sudah meninggalkan kita. Namun, bukan! Belasungkawa sengaja aku paterikan kerana simbolika pada jiwa yang tiada noktah luluhnya.

Mungkin, jiwaku luluh sejak jatuhnya aku pada dasar bumi tempoh bulan. Tika itulah, segala perkara yang kubuat, kuandaikan tiada lagi bermakna. Orang selalu bilang padaku, teruskan sahaja usaha! Begitu juga aku bilang pada orang lain. Namun, aku juga tumpas sendiri!

"Girang, suka, gembira."

Berbaur di dalam satu adunan rasa. Bukan untukku, cuma buat teman-teman lain. Yang kurasakan sangat hebat. Mereka sungguh ampuh dan utuh pada paksi citanya. Sejuk mata dan hatiku! Cuma aku tiada halanya. Masih terkontang-kanting di sini. Mungkinkah rasaku cuma? Bukan, memang. Mereka kekal pantas, aku sahaja lemau!

Ceritera kujatuh ke dasar bumi.

Tiada yang tahu kenapa kugarap begitu wacananya. Kerana aku sahaj yang mengerti bilahan kata itu. Ya, aku memang sudah jatuh ke dasar bumi! Aku tidak nafikan! Tiada lagi jiwa segagah guntur atau halilintar persis dahulu. Yang tinggal cuma sisa-sisa yang lama sahaja.

Impaknya cukup besar. Berubah laku mendadak. Satu anjakan paradigma negatif mulai menyusup ke hujung bening hati hingga ke puncak taakul! Alang-alang sahaja semuanya. Itulah kesannya. Tiada lagi seperti dahulu.

Tewas di Ranah Sendiri.

Aku berasa sudah tewas pada permulaan jalan. Tiada kesanggupan untuk berjuang habis-habisan. Setakat dikit-dikit, aku masih mampu. Untuk dikejar gunung melangit, untuk disalak bukit yang memuncak, aku tiada kudrat lagi. Aku hanya persis semut yang menggelaintar jalan-jalan untuk dilalui. Mengikut gerak nubari sahaja. Aku tewas di ranah sendiri. Ranah yang kucipta dahulu. Konon sahaja mahu berjuang demi nusa, tapi nuansa langsung tiada tercipta. Hanya terkejang sahaja!

"Belasungkawa Sukma Di Ranahku". Bingkisan jiwaku. Aku tiada lagi seperti dulu. Senyapku, sedang dihurung sunyi. Girangku, sedang dihurung sunyi. Jadi? Biarlah kutahu sendiri...


Kosong tiada bertambah!

0
COM
Assalamualaikum.

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pen marker."


Berpeluang menelaah beberapa helaian artikel yang dicetak pagi semalam. Banyak perkara yang tidak diketahui selama ini. Asal usul rumpun bahasa tercinta, biarpun hamba hanya menjadi penutur. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit pengetahuan terbina juga.

Hari ini, sebenarnya tiada apa-apa yang penting untuk dicoret. Disebabkan kekontangan idea untuk membuat coretan. Meski hamba sudah berdaya upaya mencari pucuk pangkalnya, namun tiada ditemui. Bersabarlah wahai hati. Satu demi satu perkara menghambat masuk ke kotak kognitif. Menjadi mainan dalam tidur, acap kali. Sesekali menjadi igauan di hujung pena, saban hari. Cabaran buat hamba untuk menulis. Rasakan. Hanya yang hamba mampu? Mencatat dan mencatat. Usainya, teruskan membaca petikan demi petikan daripada buku yang dibeli dari toko di kota. Kerjanya cuma itu sahaja.

Demi sahaja kebosanan menular, hamba persis orang yang bergelandangan tiada apa-apa yang mampu dilaksana. Cuma satu sahaja, terlentang membungkam muka, menekup seraga ke muka. Hanyut di samudera igauan. Hah! Jadi, hamba mesti mencuba laksanakan misi yang dirangka.

Kosong tiada bertambah....


Senarai pendek kerja:

1. Jumpa taulan di kota.

Perihal Bahasa: Mereka Bertutur Bahasa Kita

2
COM
Assalamualaikum.

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pen marker."


Kisah orang asing yang berambut putih, bermata hazel, hijau, biru dan sebagainya, berkulit putih, dan tinggi lampai bertutur bahasa Melayu, bukanlah satu perkara yang asing. Sejarah sudah pun tercatat semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Baik orang China, orang India dari Goa, orang Arab dan orang Barat yang datang ke bumi Melaka ketika itu, semuanya bertutur bahasa Melayu. Dahulunya, bahasa Melayu menjadi lingua franca bagi pedagang-pedagang yang menyinggah di pelabuhan Melaka. Alangkah berbangganya hamba mendengarkan kisah itu yang pernah dilipurlarakan gu-guru hamba semasa bersekolah dahulu.

Kendatipun demikian, hamba berasa agak jelek dan geli apabila melihat anak bangsa kini, anak MELAYU sendiri, lidahnya begitu susah mengucapkan kata-kata indah bahasa Melayu. Mereka lebih bangga dan senang bercakap dalam bahasa Inggeris. Tidak salah bercakap dalam bahasa Inggeris, namun andai mahu bercakap dalam bahasa Inggeris, biarlah sepenuhnya bahasa itu. Kenapa perlu mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Hamba berasa segan dengan bangsa bukan Melayu yang sekarang ini berkejaran mempelajari bahasa Melayu, semata-mata untuk mendalami kebudayaan kita. Dalam keghairahan anak-anak muda kita terkinja-kinja dengan tarian hip-hop dan shuffle, mereka begitu ghairah mempelajari tarian zapin dan inang. Dalam ketaksuban anak-anak muda menyanyi lagu-lagu Justin Bieber, Rihanna dan Bruno Mars, mereka begitu taksub mendendangkan Syair Siti Zubaidah dan lagu-lagu rakyat kita.

Kali ini, hamba mahu berkongsi perihal umat manusia yang bukan Melayu ini, berupaya berturut bahasa Melayu dengan baik. Saksikan bingkisan ini:




Bukan niat hamba untuk menafikan kepentingan bahasa Inggeris, namun biarlah sempurna pertuturan itu. Hamba mengingatkan diri hamba dengan yang lain juga, agar tidak mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Bagi hamba, bahasa itu bersifat murni. Penuturnya yang melestarikan penggunaannya. Cela bahasa itu, cerminan kepada penuturnya. Harum bahasa itu, tamsilan penuturnya juga. Siapa lagi yang hendak mempertahankan bahasa kita, andai bukan kita?


"Kerja yang paling mulia di atas muka bumi ini ialah mendidik anak bangsa." - Cikgu Talib, Gemilang.



Senarai pendek kerja:

1. Belajar membuat kelarai.



Wassalam

Saat dan Tika Ini

0
COM
Assalamualaikum.

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pen marker."


Malam kian melarut zulmatnya. Embun mulai menzahirkan jasadnya, menimpa latar dedaun yang teruntai di hujung ranting. Saat dan tika ini, hamba merindukan handai yang kutinggalkan beberapa hari yang lalu. Saat terhimpun di sebuah hamparan pantai yang saujana mata memandang, saat terpaut temali ukhuwah di samping puputan bayu Selat Melaka, saat nyiur melambai mesra kepada kita, saat itulah yang aku rindui kini. Biarpun kucuba gagahkan, namun tiap bait kata yang terungkap dahulu menjadi igauan aku sekarang ini.

Tibalah waktu, hamba melayan syahdu. Kantuk bukan lagi teman, selepas merobek benak menghadam karya-karya yang hebat. Terlintas di ruang gema akal hamba, memori-memori yang tercipta semasa di landasan yang mulai kita cipta sedikit demi sedikit. Riang tawa, bergurau canda dan sebagainya, cuma menjadi lipatan sejarah sahaja.


Kalian di hati, MPR 2011 [Kalam Selat Melaka]


Sang arjuna


Sang kirana

*****************************************
Memandangkan seorang sahabat MPR 2011 hamba sudah meminta untuk mana-mana rakan MPR 2011 yang ada laman blog, mencoretkan ceritera cinta sepanjang 6 hari berkampung di Melaka. Maka, hamba mahu memenuhi hajat beliau yang serba rindu akan kami.

Maka dengan ini, hamba mahu isytiharkan bahawa hamba berasa amat bertuah menyertai Mingggu Penulis Remaja 2011 (MPR 2011) ini. Belum pernah sangka dalam kamus hidup hamba, hamba akan menyertai bengkel ini. Meski hamba sudah mencubanya beberapa kali, alhamdulillah hamba berjaya kali ini. Setelah menerima panggilan dan surat rasmi daripada pihak DBP, barulah hamba percaya. Alhamdulillah.

Dari sinilah, hamba banyak belajar mengenai peranan sebagai seorang penulis. Bukan itu sahaja, hamba juga dapat mengenali ramai rakan penulis yang hebat-hebat dan mempunyai bakat yang sangat menyerlah dalam bidang yang hamba ceburi kini.

Rasanya bagai bukan berkenalan selama sedekad, namun persahabatan bagaikan sudah lama berkenalan. Hubungan akrab antara peserta lelaki dan perempuan cukup mengingatkan hamba semasa zaman persekolahan dan era guru pelatih kini. Hamba cukup terkesan dan hiba mengenangkan persahabatan ini sebenarnya tidak lama, namun tetap kekal di pojok kalbu biar rantau berbatu jauh, biar duduk sepelaung tiada.

Izinkan kumencuri bayangan wajahmu
Izinkan kumencuri khayalan denganmu
Maafkanlah oh...
Andai lagu ini
Mengganggu ruangan hidupmu
Kau senyumlah oh...
Sekadar memori
Kita di arena ini
Kau ilhamku
Kau ilhamku...

Semoga bersahabatan yang terjalin kekal sehingga terputusnya kehidupan di atas muka bumi ini. Teruskan menulis demi tanggungjawab dan amanah kepada masyarakat.

Kalam Selat Melaka Memacu Penulisan Mapan. TAHAN!

Oh, tidak!

0
COM
Assalamualaikum.

"Cikgu bukan sekadar dengan buku dan pen marker."


Hambar berkesempatan mendengar beberapa ulasan daripada khalayak umum berkaitan cinta siber di TV9. Bagus ulasan yang diberikan. Tetapi, jeliknya, mengapa perlu mencampuradukkan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu? Contohnya:

"I think cinta siber banyak negatif than negatif."

"Bagi saya, cinta siber ini boleh membina hubungan antara lelaki dan perempuan. And once kalau tak mahu teruskan, boleh abaikan. And once kalau nak, still go on."

Ah, berasap! Wibawa bahasa Melayu sudah dijajah dan dinoda penuturnya sendiri. Bukan hambatan budaya luar yang memberi banyak faktor. Kenapa perlu salahkan orang lain? Kenapa tidak salahkan diri sendiri? Hamba juga terkesan dengan fenomena ini, sebab hamba juga seorang bakal guru yang akan mengajarkan anak-anak murid hamba Bahasa Melayu kelak. Aduhai, malangnya dengan bahasaku ini!

Semenjak kelmarin hingga hari ini, Berita Harian mengulas secara serius perihal penggunaan bahasa SMS dalam kalangan pelajar sekolah, yang dilihat banyak menyumbang kepada kepincangan penggunaan bahasa yang betul dalam peperiksaan, lebih-lebih lagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Bahasa yang dicampuradukkan dengan bahasa rojak, bahasa singkatan dan sebagainya secara tidak langsung memberikan impak kepada para pelajar sekolah.

Apa nak jadi dengan bahasa Melayu sekarang?

Perihal Bahasa: Menguji Kata

0
COM
Assalamualaikum.

"Cikgu bukan sahaja dengan buku dan pen marker."


Entri kali ini, hamba ingin berkongsi mengenai cara-cara menguji sesuatu kata, sama ada kata itu tergolong dalam golongan kata nama (KN), kata kerja (KK) dan kata adjektif (KA). Hal ini merupakan perkara baharu yang hamba pelajari semasa mengikuti bengkel penulisan kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka, Minggu Penulis Remaja 2011 (MPR 2011). Oleh hal yang demikian, hamba rasa terpanggil untuk berkongsi ilmu ini bersama rakan pembaca yang lain, agar kalian tidak lagi terkeliru.

Hal ini cukup mudah. Rumus yang perlu diketahui dan dikuasai seperti berikut:

1. Kata Nama.

- kata arah (itu/ini).
- kata bilangan atau penjodoh bilangan.

Contoh:

- Kereta itu/kereta ini.
- Sebuah kereta/banyak kereta.

2. Kata Kerja.

- kata bantu (belum, sudah, telah, akan, masih)

Contoh:

- belum tidur/sudah makan/telah datang/akan tiba/masih tunggu.

3. Kata Adjektif.

- kata penguat (paling, amat, sekali)

Contoh:

- paling besar/amat tinggi/panjang sekali.

Hamba rasa dengan kaedah ini, sedikit banyak dapat membantu kalian untuk mengenal pasti perbezaan sesuatu kata dengan menguji setiap kata itu dengan kaedah ini.

Selamat mencuba!



Senarai pendek kerja:

1. Menyiapkan karya.
2. Menghabiskan bacaan.

Kenangan Di Shah's Beach Resort, Tanjung Kling.

4
COM
Assalamualaikum...

Alhamdulillah, akhirnya selesai juga berbengkel selama seminggu di Shah's Beach Resort (SBR). Minggu yang sangat mengujakan serta memberi impak yang sangat besar kepada aku. Ya, sangat terkesan kata-kata yang dilontarkan oleh para fasilitator yang juga merupakan penulis-penulis mapan dah punya nama di arena sastera negara. Banyak benda dan perkara yang dipelajari daripada mereka serta rakan-rakan MPR 2011 yang lain.

Semuanya bermula tatkala Kak Zeti menghubungi aku ketika menjawab soalan kuiz PKK Dr. Meor. Dapat panggilan daripada DBP. Teruja! Dimaklumkan aku terpilih sertai MPR ini. Alhamdulillah, tak sia-sia percubaan selama ini, berhasil untuk detik-detik terakhir ini.

Lupakan kisah yang lepas. Sekarang, kenangan hanya tinggal kenangan. Aku dan mereka sudah pun berjauhan kini. Namun, tanggungjawab dan amanah yang terpikul, tetap menyatukan kami. Insya Allah, kita ada harapan itu. Dapat kawan yang sangat mesra, kepala layan dan sebagainya. Serba serbi hebat. Semuanya punya kejayaan masing-masing. Aku turut cemburu... Kalian bertuah...

Karak: Apa yang ada?

1
COM
Assalamualaikum...

"Encik... Boleh tolong saya encik.... Encik nampak anak saya tak?"

Sedutan daripada filem Karak: Laluan Puaka.

Semalam, aku berpeluang menonton filem baharu terbitan produksi KRU. Kejayaan menghasilkan filem berbajet tinggi, Hikayat Merong Mahawangsa sedikit banyak memberikan suntikan baharu kepada penghasilan filem genre seram ini. Filem yang dianggotai pelakon-pelakon baru dan lama ini sudah pun menhiasai panggung-panggung wayang di serata Malaysia sejak dibuka pada 26 Mei 2011.


Poster Karak: Jalan Puaka
Hantu yang persis cerita Harry Potter..


Bagi aku, filem yang mengangkat kisah benar daripada pengalaman-pengalaman lepas pengguna laluan ke Kuantan ini adalah satu usaha yang baik. Sebabapa? Sebab penggunaan kesan khas (CGI) pada keseluruhan cerita amat memberangsangkan, memandangkan aku juga minat dalam bidang ini. Alangkah baik jika aku dapat belajar semuanya. Berbalik kepada filem, CGI yang digunakan bermulanya montaj pembukaan sehinggalah tamat filem, bagi aku tiada cacat celanya dan sangat mengujakan. Satu usaha yang baik dalam meningkatkan mutu perfileman tanah air. Tidaklah skeptikal, klise dan statik sahaja...

Melihat kepada mutu lakonan, aku bukanlah tahu sangatkan. Tetapi, berbekalkan ilmu yang ada ini, penghayatan watak para pelakon ini sedikit pincang dan ada kekurangan serta boleh diperbaiki. Pelakon-pelakon yang terdiri daripada Shahir AF8, Shera Aiyob, Kilafairy, Md. Eyzendy, Sidek Hussain, Sobri Anuar. Namun demikian, kehadiran pelakon veteran Sidek Hussin dilihat mengimbangi penceritaan filem ini. Walau apa-apapun, mereka sudah menjalankan watak mereka dengan baik.

Walau bagaimanapun, ada rasa sedikit terkilan menerusi filem ini. Filem ini telah menunjukkan hakikat sebenar kehidupan seorang remaja yang dahulunya baik, sufi, alim dan macam-macam lagi yang boleh diinterpretasikan kepadanya. Luahan daripada seorang rakan yang menonton, filem ini seakan-akan cuba mempermainkan kedudukan Islam itu. Jawapan aku, cerita mana yang tidak mempermainkan Islam. Walaupun pengarah cuba membawakan filem yang berunsurkan Islamik seperti Nur Kasih The Movie, Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbihnamun unsur berpegangan antara lelaki dan perempuan tetap ada. Aku tertarik dengan wacana baharu Dr. Faisal Tehrani yang berjudul "Sebongkah Batu di Kuala Nerang" yang menceritakan tatacara dan panduan lakonan menerusi perspektif Islam.

Berbalik kepada filem ini, kehidupan yang berteraskan agama Islam adalah yang terbaik. Islam adalah cara hidup. Tak kisahlah orang itu qariah ke, ustaz ke, doktor ke, arkitek ke dan sebagainya, Islam tetap menjadi ikutan. Tak boleh pisahkan daripada hidup kita. Nak dikaitkan dengan cerita, watak Zura yang dikatakan dahulunya seorang 'ustazah' dan juga 'johan qariah' dalam pertandingan musabaqah al-Quran berubah dengan serta-merta disebabkan 'cinta kudus sampai mati' dengan Nik, lakonan Shahir AF8. Jadi, wajarkah dia mengorbankan identitinya yang baik dahulu, semata-mata cabaran dan godaan teman lelakinya?

Sebagai konklusi, filem ini masih lagi pada tahap yang sederhana. Masih ada pengajaran dan mesej yang cuba dibawakan oleh pengarah tentang bahan pengamalan ilmu songsang serta ketidakprihatinan dengan amalan-amalan agama Islam.

Sekian sahaja... Wassalam...



*Mahu pulang ke kampung halaman hari ini. Esok kena pergi Melaka, ada porgram dengan Dewan Bahasa dan Pustaka.

J3: Rakan Guru IPG Kampus Ipoh

0
COM

Cuti Sudah Hampir

0
COM
Assalamualaikum...

Pagi yang cerah, cuaca yang cantik...

Pagi-pagi lagi aku dah dengar kicauan burung di belakang blok asrama. Harmoni. Dengan keadaan blok aku yang menghadap ke arah hutan dan tasik, suasana dingin terbentuk dengan nyamannya. Alhamdulillah, masih dikurniakan nikmat ini lagi!

Hari ini, kalau nak dilihat, akan berbondong-bonglah segenap warga IPG Kampus Ipoh pulang ke kampung halaman. Kalau semalam, ramai yang pulang, aku rasakan hari ini lagi ramai. Budak-budak kelas aku antaranya yang akan mengisi kekosongan yang ada pada hari ini. Masing-masing nak balik kampung. Siapa yang tak mahu balik kampung? Walaupun kampung dia di sebelah IPG aku saja! Haha...

Ada yang kata balik kampung, nak rehat sepuas-puasnya. Ada pula yang cakap balik kampung, nak kerja, cari duit. Yalah, memandangkan duit pun dah tak ada di tangan dan di dalam bank, terpaksalah kerja cuti-cuti ini. Pasal duit, kau kenalah tunggu semester depan ya. Aku tak boleh nak buat apa-apa. Aku bukan MENTERI KEWANGAN...

Satu lagi kerja nak kena selesaikan. Hantar fail kepada pensyarah. Semalam satu, hari ini dua pula. Ya Allah, UAK dah habis, fail pula jadi tumpuan. Bukannya apa-apa. Nanti kalau ada apa-apa masalah, boleh tambah markah...!!! Haha.

Alahai cuti. Nak cuti pun, kena buat kerja. Dah cuti pun, susah sebab tak ada duit. Badanlah badan. Jadi, kepada kawan-kawan yang balik, selamat pulang ke kampung. Ingatlah kepada orang yang tersayang...



Senarai pendek kerja:

1. Hantar fail BMM 3101 dan BMM 3117.
2. Hantar nota.
3. Sambung kemas.

Protokol dan Etiket Sosial

2
COM
Assalamualaikum...

Malam yang kian menyinsing, gelita langit makin memekat...

Hari ini, aku nak kongsi dengan anda sekalian mengenai satu nota yang aku rasa amat penting kepada semua, terutamanya kepada bakal-bakal guru dari IPG atau IPTA. Perihalnya aku berikan sebagai 'Protokol dan Etiket Sosial'.

Protokol dan etiket sosial sekarang ini, diamalkan di serata dunia. Jadi, aku ras terpanggil untuk berkongsi dengan anda tentang protokol dan etiket sosial ini. Kepada yang terasa hendak memuat turun, dipersilakan. Selepas memuat turun nota ini, sila baca pada akhir halaman. Penting untuk anda dan rakan-rakan anda.

Sila klik pada pautan di bawah:Protokol Dan Etiket Sosial

Sampaikanlah walau satu ayat. Renung-renungkan...

Bosan Punya Angkara

0
COM
Assalamualaikum...

Petang yang nyaman, setelah hujan turun dengan renyai.

Aku tengok, semua rakyat IPG Kampus Ipoh sudah berpusu-pusu pulang ke kampung halaman. Dengan menyeret bagasi, membimbit beg, menggendong beg, mengelek buku dan sebagainya. Tak cukup itu, ada yang menjunjung kotak. Macam-macam. Kalau nak tahu, itulah hakikat kalau dah sampai cuti semester. Bilik dan almari memang kena kosong. Duduk dalam, duduk luar, memang kena kosong. Bukan IPG aku saja, aku rasa semua macam yang aku lalui sekarang.

Asrama makin sunyi. Penghuni makin berkurangan. Alamat tidur nyenyak malam ni. Bilik habis dikemas. Tinggal nak punggah barang. Buku, jangan dicakap. Berkotak-kotak. Sakitlah aku nak angkat seorang.

Nak maghrib, bersiap-siap dulu...



Senarai pendek kerja:


1. Siapkan nota powerpoint, nak hantar esok.
2. Buletin Rimbun.
3. Fail BMM 3117 dan BMM 3101.
4. Jumpa pensyarah.
5. Siapkan karya.

Gerbang Baru

0
COM
Assalamualaikum...

Blog ini, blog baru. Punyalah tensi mengedit blog yang lama, alih-alih tak boleh. Lama-lama, aku buang. Terasa amat rugi. Sedih tak sedihlah...

Tapi, tidak mengapa. Aku perlu terima. Aku pun bukanlah hebat sangat macam blogger yang lain. Proses belajar. Kali ini, tak mahu buat 'background' pelik-pelik. Susah nak edit balik. Padan muka aku.