Surat Cinta dari Kuala Lumpur

2
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Selama ini, belum pernah lagi menerima sebarang surat cinta daripada sesiapa walau sekali. Tetapi, hari ini, berjaya juga menerima sepucuk surat dari Kuala Lumpur. Setelah berhari-hari menanti, akhirnya kiriman marsum itu tiba juga daripada tangan posmen yang senantiasa menyinggah ke rumah!


Nah!

Nampak macam tak siuman, tapi bagi saya itu sangat siuman. Cinta hati selama menjadi hamba Allah di muka bumi! Ya, minat kepada bidang penulisan tiada tolok bandingnya! hahaha..

Menerima surat jemputan (sebenarnya jawapan daripada permohonan yang dibuat) untuk menghadiri Perhimpunan Alumni MPR Ke-2. Buat pertama kalinya hadir ke perhimpunan ini. 

8 - 9 Disember 2012 menjadi tarikhnya untuk 'diijab kabul'... Ya, bertemu dengan kekasih-kekasih lama dan kekasih baharu, siapa yang tidak mahu!



p/s: Tidak sabar! Legowo kang!

Tulisan Yang Entah Kenapa...

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Sudah genap minggu ketiga percutian hujung tahun. Terasa begitu lama dan buat pertama kalinya berasa seperti ini. Sebelum ini, percutian hujung minggu pada tiga minggu pertama pasti akan dihabiskan di kampus untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang masih berbaki sama ada bersama-sama rakan sekuliah, program anjuran IPG dan sebagainya. Jika tahun lepas, awal percutian hujung tahun diisikan dengan Pertandingan Forum yang buat julung kalinya diadakan di kampus Ipoh serta menjadi mimpi ngeri kepada diri sendiri (hahaha). Hari berikutnya, mengikuti percutian lima hari empat malam ke Negeri Di Bawah Bayu bersama-sama rakan sekelas. Perancangan yang dibuat sejak awal tahun, akhirnya menjadi kenyataan. Alhamdulillah dan saya seperti biasa menjadi jurukamera yang senantiasa menjadi tumpuan orang ramai (dengan membawa kamera DSLR yang sebesar pelancar roket, beg merah dan gaya mengambil gambar yang entah apa-apa - kadang-kadang tertonggek-tonggek, terbaring-baring dan sebagainya).

Kenal?

Budak-budak Batch 11 SMKA Kuala Selangor 2004 - 2008. Kalau dah jumpa, entah apa-apa perangai yang keluar. Saling tak tumpah sejak zaman sekolah lagi. Dan mereka ini sangat menggembirakan dan susah nak dapat macam mereka... Serius ni!

Terima kasih atas program yang dijalankan (walaupun sudah berbulan-bulan berlalu)...


p/s: Kepala masuk air!


Logo Nama

2
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Lelah selepas menukangi beberapa perenggan penulisan. Mengambil keputusan untuk beristirahat seketika. Terasa seperti kebosanan tanpa ada sebarang aktiviti janaan minda. Lalu, mengambil keputusan untuk bermain-main dengan petak-petak dan gabungan garisan - menghasilkan kaligrafi, umpama kerasukan dengan garisan-garisan itu.

Hasilnya selepas seharian.

Terlintas idea untuk mencipta sebuah logo nama (bukan untuk komersial). Sakit juga kepala hendak mencari reka letak yang sesuai memandangkan nama saya sepanjang orangnya (panjang tak ingat). Jadi, inilah hasilnya selepas hentam sana-sini...


p/s: Secara tidak sengaja, ada orang mahukannya...

Seharian Yang Termanfaat

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Setelah seharian, berjaya menghabiskan sebuah lakaran kufi. Durasinya yang paling lama saya kira kerana perlu ketelitian dan susun letak yang sesuai tambahan pula dengan tiada guideline yang boleh dirujuk. Hari ini, hanya berkesempatan dengan kertas graf sahaja. Masih mencuba-cuba untuk dipindahkan ke bentuk grafik...

Paling terkini

Semalam

Paling panjang

Beberapa lagi masih dalam pembikinan dan rasanya mahu berhenti seketika untuk kembali kepada latar penulisan, seperti sudah memperoleh kekuatan dan momentum yang lepas-lepas. Alhamdulillah!

p/s: Memikirkan sekuel yang hendak dimulakan. Oh, Tuah Sujana! Kau hadirkan sebuah idea yang paling bernas yang pernah aku dengar daripadamu... :P





Setelah Lama Ditinggalkan

2
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dengan pena penanda."

Setelah menemui kebuntuan dalam penulisan, saya berhenti untuk dapatkan momentum yang sudah hilang. Ya, hendak menulisa bukannya boleh dipaksa-paksa dan semberono kerana setiap penulis mempunyai tanggungjawab terhadap karya penulisannya. Hendak memandaikan diri sendiri dan pembaca bukan suatu perkara yang mudah kerana kedua-duanya perlu seimbang dan saling berkaitan.

Dalam tempoh berhibernasi itu, saya mengambil keputusan untuk menyelak laman-laman maya yang boleh dijadikan santapan mata dan bahan bacaan. Terdetik untuk mengunjungi laman sesawang yang menghidangkan karya-karya kaligrafi Islam. Kecenderungan itu semakin membuak tatkala melihat hasil-hasil seni kaligrafi itu dipaparkan. Subhanallah!

Dahulu kala (dahulu lagi), saya memang menulis khat sewaktu di bangku sekolah. Sekian lama tidak menulis, serasanya kekok untuk menulis kembali. Jadi, kali ini mengambil keputusan untuk kembali kepada dunia keinginan yang membuak suatu ketika dahulu. Melihat tutorial yang dibuat oleh seseorang, saya mencuba sedaya upaya untuk menghasilkan sebuah karya kufi murabba yang belum pernah saya hasilkan sebelum ini.

Sewaktu proses penghasilan menggunakan perisian Adobe Photoshop CS5

Sebelum dipindahkan menjadi grafik, terlebih dahulu dilakar di atas permukaan kertas graf - barangkali itulah proses mentah yang dilakukan khattat (ahli mahir khat). Saya masih amatur... hehe.

Prosesnya cukup rumit buat pertama kalinya menggunakan perisian Adobe Photoshop ini. Sebelum ini, saya hanya menggunakan perisian Microsoft Powerpoint 2010, berhasil tetapi kurang memuaskan kerana perlu disunting menggunakan perisian CS5. Setelah terbaca tutorial penghasilannya di sebuah laman sesawang itu, saya mencuba untuk menghasilkannya. Satu persatu saya lakukan dengan melakar setiap batang aksara Jawinya. 

Hasil akhir

"Bismillahirrahmanirrahim"

Masih banyak lagi yang harus diperbaiki untuk menghasilkan yang terbaik. Lupakan watermark yang tertera di kaki foto. Sekadar perkongsian yang tidak seberapa yang boleh diberikan kepada kalian yang membaca (jika ada yang membaca) catatan kecil ini.



p/s: Berhelai-helai lakaran yang belum dipindahkan kepada bentuk grafik



Inilah...

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Maka, bermulalah lembaran baharu hari ini, tatkala tirai 1434H sudah tersingkap menjengah anak-anak generasi Adam di muka bumi ini. Salam Maal Hijrah diucapkan kepada seluruh umat Islam...

...dan...


Tidak tahu untuk menulis apa-apa, ekoran sudah banyak ditumpahkan pada kajang-kajang yang sedang bersepahan. Oh, hanya gambar ini sahaja menjadi pengganti!

Mereka...

Ada kekuatan yang tersendiri. Mempunyai kepakaran dan ketelitian dalam sebarang kerja yang dilakukan dan sukar hendak diungkapkan dengan kata-kata.

Semalam...

Berkesempatan melapangkan waktu bersama-sama rakan ke kota raya. Melihat gelagat manusia dan menjadi manusia pemerhati. Kadang-kadang sering kali diperhatikan oleh orang lain. Ketelanjuran itu jugalah Istanbul Aku Datang menjadi penamat perjumpaan malam itu. Terima kasih kepada rakan-rakan yang terlibat!

Apa yang ada pada kawan selain keakraban!


p/s: Sudah 'bingung' sebenarnya!

Murtad Seorang Melayu

3
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

September yang lalu, berkesempatan untuk membuat persembahan sempena dengan Sambutan Bulan Kemerdekaan Kali Ke-55 di IPG Kampus Ipoh. Seperti biasa, saya ditugaskan untuk membuat persembahan deklamasi puisi, seperti tahun yang lalu. Jadi, untuk tahun ini, saya mengambil keputusan untuk membacakan puisi tulisan Marjan S. yang berjudul Murtad Seorang Melayu. Disertakan juga rakaman video yang sempat dirakam oleh seorang pensyarah.

video

Masih banyak yang perlu diperbaiki untuk menyampaikan sebuah sajak. Oh, barangkali harus berguru atau bertapa dengan pendeklamator!

Contoh Surat Iringan Untuk Penulis

3
COM

Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."



Berikut, disertakan contoh surat iringan yang sering saya gunakan untuk penerbitan karya di mana-mana media. Mungkin ada format lain untuk surat iringan kepada pihak editor dan ini saya dapatkan daripada seorang rakan penulis juga. Terima kasih untuk perkongsian ini...


**********


Kepada: EDITOR (nyatakan media yang hendak dituju, sebaiknya sertakan nama)

Tarikh: (tarikh surat dihantar, sebaiknya pada waktu mahu diemel/pos)


Tuan,

Bersama dengan ini, dilampirkan (sertakan genre kreatif/bukan kreatif) bertajuk (tajuk kataya yang hendak dihantar) untuk diterbitkan dalam (nama media) sekiranya bersesuaian di bawah pengelolaan pihak tuan. Maklumat tentang diri saya seperti berikut:

Nama                          :
Nama Pena                 :
Alamat Rumah           :
No. Kad Pengenalan  :
No. Telefon                :
No Akaun                   : (andai dihantar untuk terbitan DBP, gunakan akaun Bank Islam. Jika kepada pihak Berita Harian, gunakan akaun CIMB atau Maybank)


*Proses penciptaan karya dan maklumat lanjut mengenai saya boleh dirujuk pada bahagian lampiran.

Segala kerjasama daripada pihak tuan, amat saya hargai dan didahulukan ucapan terima kasih.

Salam hormat,


..........................................................................*
(nama penuh penulis)

*WAJIB ditandatangani penulis.

Sekiranya dihantar melalui emel, cetak surat ini dan tanda tangan. Kemudian, imbaskan (scan) seterusnya sertakan dalam kantung pesanan emel anda.


Mudahkan hendak menghantar karya?




p/s: Sama sahaj dalam Sebuah Wilayah Kata...

Mengajarnya Pokok Itu

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Semalam, semenjak petangnya hadir ke muka hari, seluruhnya hinggakan malam menemui rumahnya, hujan melebat membasahi bumi. Orang kata, hujan-hujan begini ada rahmat yang hadir. Ada juga yang katakan, boleh rimpuh segala kerja. Itulah persepsi yang dihadirkan kerana hujan yang turun. Suka untuk saya memetik bait lirik Allahyarham Sudirman, "hujan yang turun bagaikan mutiara". Ya, bagaikan mutiara. Sangat indah dan menyamankan.

Namun, bukan hujan yang hendak saya fokuskan pada penulisan kali ini. Akan tetapi, sebatang pokok yang sangat mengakrabi peribadi manusia. Dan manusia perlu mempelajari hakikat hidup daripada sebatang pokok yang merendang dahannya, lebat buah dan daunnya, dan akar yang kukur memasak ke dalam bumi untuk memastikan kehadirannya bukan semata-mata pokok, tetapi ada manfaat kepada setiap makhluk di muka bumi ini.

Pokok Oak

Dengan setiap incinya penuh keunikan, pokok ini tumbuh dengan cantik. Kitarannya cukup indah. Daripada sebiji benih, disiram atau dibasahi air, lalu tumbuhlah akarnya ke bawah dan pucuk yang menjulang ke langit. Cukup matang seminggu dua, keluarlah beberapa helai daun yang kehijauan. Maka, berlalulah fasa perkembangan yang menjanjikan kehidupan. Pokok itu membesar dan terus membesar dengan batangnya yang sasa, dahan yang rendang dan rimbun. Daun-daun yang cukup lebat dan ada musimnya, berhasillah buah-buahan yang masak ranum - manis dan memikat. Untuk memastikan pkok itu terus berdiri, akarnya bekerja keras untuk mencengkam dasar tanah untuk mencari asas yang terbaik.

Begitulah.

Manusia dengan pokok, bukan entiti yang berbeza. Adalah juga perbezaannya, manusia boleh berjalan, bercakap, menari dan sebagainya. Tetapi, manusia tidak boleh lakukan apa-apa yang dapat dilakukan oleh pokok. Pokok boleh berdiri tegak meski angin menyerang, mengeluarkan buah, boleh gugurkan daun dan tumbuhkan daun dan sebagainya. Bukan untuk mempersoal kejadian dan ciptaan makhluk Allah, tetapi untuk kesedaran bagi sebarang manusia yang angkuh...

Daripada pokoklah dapat belajar erti pasrah dan menerima. Hendak melawan ada waktunya yang sesuai. Adakalanya, menerima hakikat itu perlu dan sangat diperlukan. Ya, kentalkan jiwa seperti akarnya pokok terus mencengkam dasar tanah untuk menampung batang dan dahan-dahan yang besar. Akar itulah mencerminkan akal budi dan peribadi seseorang manusia. Baik akarnya, baiklah budinya. Rosak akarnya, rosaklah seluruh jasadnya.

Begitulah.

Apabila rendangnya dahan, semua boleh memanfaatkannya. Berteduh, berehat dan menemui ilham untuk sesiapa yang dihurung kebuntuan. Ya, itulah manfaatnya! 

Oh, indahnya! 
Subhanallah!

...dan sudah tidak tahu untuk mengungkapkannya lagi. Apa yang perlu, saya harus taakul, anda juga harus taakul. Taakul untuk tujuan hidup, meneruskan perjalanan yang serba-serbi mencabar. 

Waalhualam.



p/s: Sebuah Wilayah Kata akan dikemas kini dengan maklumat-maklumat yang boleh dirujuk. Tamatnya permainan sebut-menyebut, menguji bundar-hampar, depan-belakang, atas-bawah, lembut-keras, letup-letus, geser-getar dan sebagainya. Tinggal untuk lakar, apresiasi, kraf dan sebagainya!


Akhirnya...

2
COM
Assalamualaikum..

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Segenap usia malamku, seluruhnya diluangkan untuk ini:

RIMBUN - tiada yang mewakili latarnya. Tersiratkah? 
Tanyalah sendiri untuk pelaku bahasa ibunda (BM)

Akhirnya, selesai! Setelah berhempa pulas, mengorek sana-sini hal-hal yang boleh dimuatkan. Alhamdulillah, walaupun kudratnya tidaklah segagah tenaga seribu umat manusia. Perkara yang tidak perlu dimustahilkan kerana itulah namanya hakikat. Pantang dengarkan khabar-kahabar 'gembira', berbatu-batu larinya. Selamat...

Tidak mengapa, melalui proses belajar banyak perkara yang dienapkan dalam jiwa. Ada kalanya, mengguris,  memadukan rasa dan sebagainya. Wah, sungguh indah percaturan rasa itu!

...dan 'temasya' pelontaran idea dan kepetahan hujah pada akan datang, tenaga soldadunya saya sudah tahu siapa gerangannya. 

...dan keluh-kesah untuk pelbagai ragam, pasti ada jari, ada juihan, ada piuhan, ada kerlingan, ada tujuan dan sebagainya - melalui deria yang sangat 'indah'. Sayangnya kalau begitu! Tiada proklamasi kerelaan yang akan diluah. Oh, manisnya dalam kalangan 'ADA' tadi.

...dan sangguplah dikorban, terkorban, dikorban, mengorbankan untuk setiap halnya - akan dikatakan pengorbanan untuk mengutip pengalaman, meski afaalnya bertujuan untuk berkorban!

...dan seterusnya dan...

tak terkata lagi untuk lanjutkan 'DAN' ini. Cuma yang perlu, tidak usah bersedu-sedan untuk menghadapinya. Sebab, setiap urusan yang bertindan itu ada sebabnya. Ya, ada sebab! Sebab untuk membantu dan menghulurkan tenaga..... meski itu dalam rangkaian minat dan passion.

Mungkin sebab itu, ada yang menolak untuk P******TAN...

Oh! Hanya dihambat kesah dan terbungkam mendengarkan kata-kata mereka. Fuh, apakah ini persis luahan yang terbuku? Bukan, ini hanya coretan - untuk segala kelegaan yang diidam. Sekian kalinya, tidak terkesan untuk itu - langli dan mangli meski linglung langkahnya.

...dan (lagi-lagi)...

Saya pasrah. Persis apa yang harus dirasakan pasrah? Untuk semuanya...

"RIMBUN - rendang pohonnya dengan juntaian buah bahasa dan katanya. Teguh akarnya dengan mencengkam ranah budaya dan akal budi bangsanya."

p/s : Mencetak dan menjilid - sendiri-sendiri. Puas dan hantar - tunjuk untuk pengesahan (mungkin ditolak ke dalam gaung atau diangkat ke petala langit). Nantikan bahananya... Pasrah sekali lagi...




Untuk sebaang terkaan dan tukasan - ini hanya sebahagian daripada draf awal penulisan saya. Bukan bermakna menghidangkan sembilu untuk ditangisi pedihnya. Hehehe... :P

Sebuah Wilayah Kata

0
COM

Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Catatan pertama untuk bulan November. Bulan yang dimulakan dengan cabaran dan dugaan. Apakala bermulanya hari pertama ini, aku harus menyelesaikan soalan Linguistik yang khabarnya sukar untuk ditangani. Sementelah hari itu juga hujan mengguyur sederas-derasnya. Menggamit kantuk yang tidak mampu dikilas lagi.

SEBUAH WILAYAH KATA - satu lagi laman kendalianku. Harapnya, aku boleh komited dengan penulisan dan perkongsian di lama sosial ini. Ya, untuk menerbitkan naskhah berbentuk buku, masih dalam proses dan entah bila 'kan selesai. Asyik tertangguh dan tergendala. Banyak halangan dan cabaran kala menulis.

Print Screen Blog

Insya-Allah menerusi blog ini, aku berharap dapat berkongsi apa-apa perkara yang baik dan memberi manfaat kepada pembaca (walaupun sukar untuk mencapai bilangan pengikut dan aku juga tidak berfikir untuk itu). Moga semuanya bermanfaat dan dapat dimanfaatkan, khususnya buat mereka yang sedang menuntut ilmu.

Boleh klik di sini untuk masuk ke laman tersebut.


p/s: Sedang menyelesaikan penulisan buletin dan kisah yang terbantut.