Berdayung di Sungai Linguistik dan Membaca Catatan Kembara

4
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Alhamdulillah, selesai sudah dua kertas yang serasanya bagai mencengkam tangkai jantung! Sudah cukup sudah untuk diimbau lagi perkara lalu. Beri peluang untuk kertas-kertas akan datang.

Esok - hari yang sungguh mendebarkan. Pengantar Linguistik bakal mengambil tempat untuk diuji. Oh, melihatkan kodnya sahaja, meremang segala bulu di seluruh badan. Satu demi satu harus diteliti. Sejarah, struktur, tokoh dan sebagainya. Ya, menjadi kewajipan untuk menyelak satu persatu kajang-kajang nota dan beberapa kitab rujukan demi mencari kunci kepada persoalan yang bakal timbul. Entahkan kena ataupun tidak, tunggu sahaja dan moga bermanfaat pada hari muka.

Ferdinand de Saussure

Seorang lagi umat manusia yang menjadi igauan sepanjang pembelajaran semester ini, Ferdinand de Saussure. Namanya tidak lekang disebut dalam banyak buku linguistik. Maklum sahaja, perannya sebagai Bapa Pemodenan Ilmu Linguistik tidak disangkal lagi. Berubah aliran daripada aliran deskriptif kepada struktural setelah melihat beberap kepincangan inti pati perbincangan ahli linguistik berkenaan bahasa. Alangkah geniusnya beliau sehingga boleh menggubah persepsi masyarakat linguistik ketika itu (bukan menyanjung) yang menyatakan bahasa itu harus ditafsir dari segi semua aspek bukan sahaja melibatkan proses sinkronik dan diakronik sahaja (sudah, apa itu?). Pemikiran beliau menyebabkan berlakunya pembaharuan atau pemodenan ilmu kajian linguistik di Barat waktu itu. Banyak gagasan yang dibawa oleh beliau dalam aliran struktural. Antara yang menjadi perhatian, skop signifier dan signified (penanda dan petanda), rumus sintagmatik dan paradigmatik (nahu dan wibawa dalam berbahasa) dan lague dan parole (hubungan bahasa dan sosial serta masyarakat yang menuturkan bahasa). Hendak diperikan di sini, mahu disalin seluruh isi projek yang dikarang! Kemudianlah.

Bukan sahaja Ferdinand, malah Leonard Bloomfield, Edward Sapir, Panini, Avram Noam Chomsky dan segala konco-konco linguistik yang memberi pengaruh dalam perkembangan ilmu nahu di dunia, lebih-lebih lagi  bahasa Melayu. Hasil daripada refleksi pemikiran yang dilakukan bersama-sama rakan sepanjang tempoh kajian kerja projek lalu, betapa besar sumbangan mereka dalam perkembangan ilmu linguistik di dunia. Walaupun sudah berkembang sejak zaman Yunani, kemudian masuk ke era Romawi, merentasi Tanah Arab dan India sehinggalah kembali ke Barat yang kononnya yang menyumbang kepada transformasi keilmuan dunia. Tiba-tiba teringat akan ceramah Ustaz Don Daniyal awal tahun ini. Beliau katakan, pemilik HP, Hawlett Parkett mengatakan, "Barat akan sentiasa berhutang  dengan dunia Islam." Oh, bagai ditempelak rasanya waktu itu. Ya, memang dunia Islam yang menyumbang kepada perkembangan keilmuan dunia, tetapi dek kealpaan dan kelalain kita, mereka dengan wewenangnya menciplak, memplagiat dan sebagainya yang berkaitan dengan peniruan dan curi ilmu-ilmu yang diteroka oleh ilmuan-ilmuan Islam suatu masa dahulu. Iktibar yang tidak boleh ditangisi kerana sejarah tidak boleh dikembalikan, melainkan sejarah itu mengembalikan. Apa bezanya? Ada. Fikir-fikirkan. Manusia diciptakan untuk berfikir dan bukan untuk belaku kikir!

Merujuk kepada Pengantar Linguistik, aku simbolkannya dengan sungai kerana seakan-akan menarik aku untuk menelesuri mengikut arusnya. Ada yang katakan susah dan sukar untuk difahami, masakan ada benda  di muka bumi ini semudah membaca ABC. Mahu membaca Alif Ba Ta pun, kukira perlu mengambil masa juga. Oh, hakikat belajar dan menuntut ilmu! Yang susah itulah dikaji dan dipelajari, dan yang senang itulah yang diperhalusi dan diteliti. Tiada yang senang, jika datangnya daripada hal-hal yang susah dan sukar bukan?

Kulit buku Kembara Sastera, karya Nisah Haron.

Sementelah aku menguliti kitab dan kajang-kajang nota Linguistik, terlintas untuk menarik sebuah naskhah kembara yang sudah dikhatami sejak Jun dahulu. Kali ini, aku ingin meneliti setiap rajah perjalanan yang dititipkan pada setiap helaian ini. Penulisnya tidak asing lagi pada aku. Jikalau dahulu, aku membaca dan mengkaji cerpen beliau, Annyss Sophilea yang termuat dalam Antologi Anak Laut, dan hari ini, alhamdulillah, Allah menunjukkan jalan dan lorongku untuk mengenali dan belajar sendiri dengan baliau, Nisah Haron. Ya, andai difikir semula, langsung tidak pernah sekali terlintas untuk menghadirkan diri dalam dunia penulisan ini. Percaturan daripada Allah itu Maha Indah. Siapa yang mampu menepis atau mengilas anugerah dan nikmat ini? Allahu Rabbi!

Berbalik kepada naskhah di atas, terdetik untuk aku ladeni dan teliti setiap catatan yang digarap. Daripada mula pengembaraan dan hinggalah tamat kembara, semuanya membantu. Sungguh, membaca kembara ini persis mendalami (lebih tepat membaca sebenarnya) Hikayat Abdullah yang dikarang sendiri oleh Abdullah Kadir Munsyi. Walaupun ada perbezaan antara kedua-duanya, tapi tetap ada persamaan - catatan perjalanan seorang penulis terhadap persepsi dan pandangan kepada dunia lain. Tamsilan pemikiran yang jitu dan menyeluruh menyedarkan aku betapa luasnya bumi Allah ini dan penuhnya ilmu yang terkandung di dalamnya! Maha Suci Allah yang menciptakan langit dan  bumi, yang menciptakan Adam dan Hawa, yang memberi indah pada hubungan Yusuf dan Zulaikha, yang memberi kebahagiaan pada Muhammad dan Khadijah!

Bilakah lagi?

Minggu lalu, Jumaat yang rimpuh! Kakakku berangkat ke Beijing, China untuk kerja projek sarjana yang sedang diduduki kini. Ya, berbunga kuntuman cemburu di situ! Tahun lepas, sahabat sekolah menengah, berjaya terbang ke Jepun, Jordan, Mesir, India dan sebagainya untuk menyambung pelajaran ke sana. Junior di sekolah juga berjaya ke Korea. Kawan sekolah rendah ada ke Australia, UK, Amerika, Ireland dan sebagainya. Yang paling dekat, abangku berjaya ke Mesir untuk menimba segenap ilmu syariah di Bumi Anbiya'. Allah! Memang membugar cemburu yang tak dapat dipempan lagi. Aku? Sabar... Tidak lama lagi! Jika ada peluang dan ruang, insya-Allah akan tiba jua!

Dan...

Moga dengan perancangan yang dibuat bermula hari ini dan hari seterusnya berhasil dan menjadi kenyataan. Insya-Allah.

p/s: Kembali telusuri sungai yang penuh dengan teori dan kebahasaan demi mencari erti dan hakikat ilmu itu sendiri.


Maka Bermulalah Perjuangan

2
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena  penanda."

Tersingkap sahaja fajar Subuh hari ini, maka bermulalah perjuangan di medan peperiksaan. Sekian lama bertimba-timba ilmu ditimba, berkajang-kajang nota digarap, bertingkat-tingkat kitab dipinjam untuk proses mengarang kerja kursus, akhirnya tibalah hari yang menentukan potensi seseorang (walaupun masih ada yang mempertikai kewibaannya).

Sepanjang dua minggu ini, aku dan rakan dari seluruh IPG di Malaysia bakal menjadi prajurit di medan pertempuran segala rencam dan mehnah dalam tempoh pembelajaran sepanjang semester ini. Entah kenapa tiba-tiba aku dibuai rasa cuak (sedangkan setiap semester dihadap dengan benda ini). Petandanya apa itu? Ah, sekadar perasaan sahaja!

Kelmarin, semalam dan hari-hari seterusnya, banyak disuakan dengan pelbagai dapatan soalan ramalan daripada rakan-rakan. Ingatkan di sekolah sahaja menerima habuan ini, rupanya di sini juga begitu. Kadar kebergantungannya tidaklah seratus peratus, tetapi menjadikan rujukan tidak menjadi masalah.

29 Oktober 2012
PJM 3110 - Kurikulum dan Pedagogi Pendidikan Jasmani
2.30 petang - 5.00 petang

31 Oktober 2012
EDU 3105 - Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran
8.30 pagi - 11.00 pagi

1 November 2012
BMM 3107 - Pengantar Linguistik Bahasa Melayu
2.30 petang - 5.00 petang

5 November 2012
BMM 3108 - Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu
8.30 pagi - 11.00 pagi

7 November 2012
PSV 3105 - Pengajaran dan Pembelajara Pendidikan Seni Visual
2.30 petang - 5.00 petang

Nah, aku sertakan jadual 'peperangan' yang bakal ditempuhi sepanjang dua minggu ini! Maka, ada waktu senggang untuk proses pecutan akhir mengubah suai strategi yang perlu digembleng. Jadi, diucapkan semoga berjaya kepada semua rakan mahasiswa pendidik di IPG seluruh Malaysia, terutamanya rakan-rakan di IPG Kampus Ipoh. Jawablah dengan berhemah.

Sumber: Google Images

p/s: Mungkin menangguhkan kerja-kerja penulisan untuk memberi laluan kepada peperiksaan...

Tangguh dahulu!
(Ingat pesan mak semester lepas)

Pancawarna 28 Oktober 2012 dan Detektif Indigo

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Serasanya, sudah lama tidak diluah segala rasa di sini. Hari ini, baru berkesempatan untuk menulis kembali. Maklum sahaja, sepanjang minggu-minggu yang lalu, dihujani dengan segala program dan aktiviti.

Hari ini, berkesempatan membaca ruangan Pancawarna hari ini, perihal manusia genius yang ada di muka bumi. Terimbau saat menguliti naskhah Faisal Tehrani, Detektif Indigo yang menerima hadiah kedua kategori novel remaja HSKU 2004 yang mengaduni dunia remaja genius (remaja indigo). Semangat waja yang ditonjolkan lima orang remaja genius ini, persis seorang dewasa menyelesaikan masalah yang rumit (walaupun yang dewasa pun tidak berupaya menyelesaikannya). Dalam naskhah ini juga, Faisal Terhrani seakan-akan (tanggapan aku) menempelak kelompok masyarakat yang masih berpegang dengan prinsip "Budak-budak tidak boleh masuk campur urusan orang tua". Melihat senario hari ini, 'budak'budak' atau dikelaskan hari ini sebagai remaja, wajar dan mesti mencampur tangan dalam apa-apa hal yang berkaitan dengan orang tua (dewasa) untuk membantu menyelesaikan masalah yang semakin meruncing saban hari. Merujuk semula kepada naskhah Detektif Indigo ini juga, aku dapati peranan Generasi Y (orang muda atau remaja yang lahir dalam lingkungan tahun 80-an hingga penghujung 90-an) amat penting dalam pembangunan dan menjana kepada kemajuan negara.


Lagi mengenai Detektif Indigo, buah tangan Faisal Tehrani seperti ini sedikit sebanyak memberikan impak kepada aku sebagai pembaca (agaknya sebab rasa kagum dan terkesan) bagaimana galakan seorang guru kepada murid-muridnya untuk melakukan penyiasatan dan mencari justifikasi khusus untuk meleraikan kes-kes jenayah yang berprofil tinggi. Mungkin ada yang katakan, semuanya berlaku secara dalam fantasi. Tetapi harus ingat, menerusi fantasilah bahan-bahan maujud yang ada kini terhasil. Membaca peribadi atau sosok yang ditonjolkan oleh Dr. Mama, Cikgu Nordin, Ustaz Nazree, Kak Lya (lupa namanya) serba sedikit menzahirkan ciri-ciri guru yang baik untuk dijadikan suri tauladan kepada murid. Hal ini kerana gurulah model konkrit kepada murid-murid dan tamsilan kepada legasi bangsa akan datang dan hasil kepada ajaran yang disampaikan oleh guru itu sendiri.

Berbalik kepada fokus hari ini, iaitu Pancawarna. Ramai genius yang telah dilahirkan sejak dahulu lagi. Sehinggakan kita juga pernah melahirkan genius yang pernah suatu ketika menggemparkan antero alma mater Malaysia. Dengan warta berkenaan Mohd Shukri Hadafi yang sudah mampu membaca akhbar sewaktu usia tiga tahun dan lahirnya genius muda Adi Putra yang bercita-cita untuk menjadi ahli matematik Islam yang unggul. Secara tidak langsung, hal ini membuka mata masyarakat betapa negara kita juga mampu menyaingi negara-negara lain. Dan apa yang jeleknya masyarakat hari ini, kedengkelan mentaliti masyarakat yang tidak mahu keluar dari tempurung yang ditelangkup. Apa yang menarik dalam laporan Pancawarna hari ini, bingkisan daripada seorang genius Korea, Kim Ung-Yong yang memperoleh markah 210 dalam ujian IQ yang dijalankan oleh Guinness World Records. Beliau katakan,

"Saya gembira dengan kehidupan saya yang serba sederhana berbanding dengan hidup sunyi sepi ketika berkhidmat di NASA dan sentiasa menjadi perhatian, umpama monyet di dalam zoo. Bagi saya, masyarakat tidak boleh menilai seseorang hanya kerana dia memiliki kelebihan tertentu sebagai contoh mempunyai IQ yang tinggi hanyalah salah satu elemen dalam keupayaan manusia. Saya tidak pandai bertukang atau bermain muzik, yang membuktikan saya tidaklah sehebat mana kerana manusia ada kekurangan dan kelebihan. Yang penting bagi saya, adalah kebahagiaan kerana ini kejayaan sebenar dalam hidup."


Oleh hal yang demikian, insan yang biasa (contohnya aku) tidak semestinya tidak sehebat genius-genius yang ada di muka bumi. Mungkin kita tidak tahu apa yang mereka tahu dan barangkali juga mereka tidak tahu apa yang kita tahu hari ini. Hal ini demikian kerana, tiada manusia yang sempurna dan cantik semuanya hal melainkan Rasulullah dan rasul-rasul Allah yang lain. Kita punyai kelemahan yang perlu dimuhasabahkan kerana nikmat yang ada semuanya dipinjamkan dan bersifat sementara. Secara tidak langsung, aku bersetuju dengan pendapat yang dilontarkan oleh Kim kerana tidak semua manusia ini sempurna.

Tuntasnya, belum pernah kecewa dengan buah tangan Faisal Tehrani yang banyak menghidangkan permasalahan semasa kendatipun ramai yang melabel beliau sebagai Syiah. Wallahualam, sejauh mana kesahihannya.

p/s: Meladeni beberapa halaman nota untuk dimuat turun di atas lembaran kertas yang bergaris-garis. Adakah mampu mengekalkan momentum semester lepas? Bergantung kepada soalan dan keadaan psikologi nanti.

*Penulisan ini sekadar buah fikiran atau pendapat penulis semata-mata. Sebarang penambahbaikan atau cadangan, boleh diusulkan dalam ruangan komentar. Syarat utama, gunakan BAHASA MELAYU STANDARD dan tiada sebarang unsur PENYINGKATAN KATA atau BAHASA SMS dalam laman ini.



Konsert 1 Malaysia, 1 Irama, 1 Perjuangan 2012

1
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Kali ini, ingin berkongsi dan mempromosikan trailer konsert orkestra IPG Kampus Ipoh anjuran PISMP H3. Penganjuran konsert ini merupakan sebahagian daripada proforma kursus Pendidikan Muzik yang diambil oleh mereka. Jadi, aku menjalankan tanggungjawab ini untuk menguar-uarkan dan mempromosi iklan konsert yang dibangunkan oleh saudar Firdaus Md. Fadzil.



Mana-mana yang berkesempatan, bolehlah hadirkan diri. Pas masuk berharga RM 5 sahaja.

p/s: Bersedia untuk penulisan sayembara, pembangunan portfolio kursus, penganjuran makan malam perpisahan, pertandingan forum, penulisan cerpen dan sebagainya...

Seputar Bersama Pengkarya

5
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Laporan berkaitan dengan malam HSKU 2011 akan dikemas kini akan datang. Sedang dieram dalam kotak suntingan. Sekarang, hendak dikongsikan beberapa gambar yang sempat dirakam pada malam acara HSKU 2011.

Suasana di ruang legar dewan - menanti ketibaan KSN.

Sedang menunggu tetamu jemputan.

Persembahan selingan daripada Adibah Noor - vokal yang mantap

Penyampaian hadiah kepada pemenang

Barisan pemenang - sebahagian sahaja

Salina Ibrahim - pengkarya Hantu Osama (cerpen) dan Menuai Emas (cerpen remaja)

Nisah Haron - Penulis (Muda) Tunggu Pengiktirafan (rencana sastera)

Rahimah Muda (paling kiri) - pengkarya Mem Bercoker Emas (hadiah utama cerpen)

Aya Sophia dan Suhada Sayuti - pengkarya Penghujung Nyawa (kategori cerpen)

Bersama-sama Helmi Ahmad - pengkarya Kuih Bakul Limau Mandarin (kategori cerpen remaja)

Tuah Sujana - pengkarya Kudup Perang (hadiah utama kategori puisi)

Bersama-sama Sri Rahayu Mohd Yusop - pengkarya Rimba Jiwa (ketiga kategori novel remaja)


Begitulah serba sedikit gambar yang sempat dirakam bersama-sama pemenang HSKU 2011 malam tadi. Sesungguhnya, untuk 2011 didominasi oleh golongan Hawa. Ya, mungkin rezeki mereka untuk 2011. Dunia sastera tidak diukur perbezaan jantina. Ada kalanya seimbang dan bertukar-tukar era. Tahniah kepada para pemenang!

Sempat juga ada yang berpesan malam tadi, mungkin tahun 2012 rezeki aku. Insya-Allah, jika ada rezeki, adalah. Allah yang menetapkan. Soal rezeki antara perkara yang tidak akan diketahui oleh manusia. Tunggu dan lihat sahaja. Melepasi tembok Mingguan Malaysia sudah rasa bersyukur, dan jika berjaya untuk anugerah, berlipat kali ganda kesyukuran... Nikmat Allah!

p/s Sesi bersama-sama SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan bakal berlangsung petang ini pada jam 2.30 petang untuk slot penulisan novel. Sebentar tadi, dibengkelkan gaya penerbitan ITBM dan soal jawab bersama-sama Presiden PENA dan Presiden ITBM. Banyak input yang diperoleh dan membuatkan aku berkobar untuk menembusinya. Perihal sayembara, akan diteruskan perjalanannya... Insya-Allah...











Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena  penanda."

Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk menulis di laman ini. Setelah memberi laluan kepada urusan yang lebih penting, akhirnya kutemui juga waktu untuk entri kali ini. Sewaktu aku menulis entri ini, aku sedang berada di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur untuk menghadiri satu bengkel penulisan anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama PENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama 3 hari 2 malam. Bersendikan minat dan kegilaan dalam dunia ini, aku dengan segala hormatnya mengambil keputusan untuk mengangkat kaki dengan lebih awal pulang ke rumah Khamis lalu. Oh, berilah aku peluang untuk lakukannya! Apa yang pasti, program yang dijalankan ini menampilkan tenaga pengajar dan penceramah yang pakar dan luas pengalaman dalam bidang penulisan ini. Antara yang menjadi penceramahnya ialah, SN Dato' Anwar Ridhwan, Prof. Madya Lim Swee Tim, Zaen Kasturi dan SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh.

Rentetan bengkel ini, malam ini juga akan diadakan malam kemuncak Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2011 yang akan diadakan di Seri Pacific Hotel, bersebelahan dengan tempat penginapan aku sekarang. Selepas selesai sesi taklimat bersama Presiden PENA dan Ketua Jabatan Penerbitan DBP, aku telah berjaya menerima jemputan/kad undangan ke majlis itu.

Kad undangan HKSU 2011

Malam ini juga, debaran yang dinanti-nantikan oleh pengkarya sastera tempatan bakal terjawab. Keputusan yang bakal diumumkan pada malam ini, barangkali menjadi polemik penggiat sastera tanah air. Ada pro dan kontra yang akan diketahui oleh khalayak sastera. Apakah hal itu? Nantikan ulasannya!

Bagi aku, kategori yang menjadi tumpuan ialah kategori novel remaja dan cerpen. Sebabnya, aku lebih cenderung kepada dua genre ini berbanding puisi (walaupun aku juga boleh berpuisi, namun daya ciptanya masih tumpul dan perlu diasah dengan jayanya). Sama ada Sri Rahayu Mohd Yusop beroleh kejayaan yang sama dengan mengekalkan kejuaraan enam tahun berturut-turut atau bakal dirampas oleh penulis lain, jawapannya malam ini dan akan aku kemas kini dari semasa ke semasa. Berkesempatan berbual dan berdiskusi dengan pemenang HSKU 2011 malam ini (nama dirahsiakan), bau-bau pemenang masih tidak daat dihidu kerana masing-masing merahsiakan keputusannya. 

Ada juga yang bertanyakan pada aku, menang atau tidak. Aku sekadar menjawab, baru pertama kali tembus media Utusan tahun ini, walaupun usaha sudah digembleng bertubi-tubi tahun lalu. Tidak kurang juga yang mendoakan usaha para penulis muda seperti aku untuk hadiah sastera yang berprestij ini. Bagi aku, jika ada rezeki, alhamdulillah. Jika tiada, tahun depan cuba lagi.

Akhir sekali, apa yang pasti, malam ini hendak aku dapatkan kompilasi buku karya pemenang HSKU untuk tahun 2011. Amaunnya, jangan dikira! Sebab aku antara golongan yang boleh diklasifikasikan sebagai BIBLIOHOLISME. Nak tahu apa dia, bacalah buku karya Shaharom TM Sulaiman, berjudul BIBLIOHOLISME. 

Okey, wassalam.

p/s: Malam ini cuba untuk tangani skrip teater sempena Karnival Sebarkan Bahagia 2012 yang akan dipentaskan Ahad depan serta menaakuli tema dan usul forum kebangsaan yang akan dijalankan pada minggu dan Hari Kokurikulum 2012 peringkat IPG Kampus Ipoh. Usaha perdana dan paling penting, menovelkan karya teater itu. Allahu Rabbi...