Sedang Berlaku: Tanda Yang Allah Mahu Kita Tahu.

8
COM

Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda sahaja."

Masih lagi dibungkus dingin. Sejak dua hari lepas, langit semacam sedih  sehingga mencurah air ke darat. Hari ini, kisah dan warta tentang banjir menjadi topik utama akhbar-akhbar tempatan, malahan di corong radio dan televisyen juga begitu.

Tahun ini, Pahang menjadi tumpuan para wartawan. Khabarnya, bah kali ini dilaporkan paling buruk pernah dicatatkan dalam sejarah. Paras air Sungai Pahang dan Sungai Tembeling sudah melepasi garis merah (ancaman bahaya).

Selain kisah bah yang melanda, dunia kini bertumpu kepada Taufan Haiyan yang menyerang bumi Filipina (Tacclooban kalau tak silap). Seluruh dunia berasa simpati akan keadaan yang dihadapi oleh rakyat Filipina.

Begitulah.

Lewat beberapa tahun belakangan ini, beberapa siri benana alam (molek juga disebut sebagai fenomena alam) berlaku di beberapa negara. Antara yang mendapat liputan meluas; tsunami di Jepun, letusan Gunung Merapi di Indonesia, banjir kilat di kawasan peranginan Tanah Tinggi Cameron (menyebut beberapa kejadian).

Teringat sewaktu belajar Tauhid ketika di bangku sekolah rendah (sekolah agama). Ustazah pernah beritahu, salah satu tanda kiamat yang paling hampir dan ketara ialah banyak berlakunya bencana alam di dunia. Satu persatu Allah zahirkan tanda-tanda itu. Sesungguhnya, Allah itu Maha Kuasa dan Maha Besar.

Sama-sama kita doakan keselamatan mangsa banjir dan anggota penyelamat yang bertugas, agar sentiasa dilindungi Allah...

Wallahualam....

*Mungkin ini tunai untuk kita yang sedang dilambung dosa-dosa...

Dalam Waktu Cuti

0
COM

Assalamualaikum.

'Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda sahaja.'

Ini entri pertama dalam bulan Disember dengan menggunakan aplikasi Blogspot dalam telefon. Suatu permulaan untuk aku terus menulis di sini.

Bulan ini, boleh katakan bulan yang padat dengan aktiviti-aktiviti. Minggu hadapan akan diadakan satu persidangan bahasa di DBP dan ekspo buku di PWTC. Seterusnya, konvensyen pendidikan di Menara TM. Kemudian, kembara antara negeri.

Teringat kata-kata mantan Timb. Pengarah, "kalau hendak berjaya, sibukkanlah diri dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah."

Aktiviti penulisan berjalan seperti biasa.

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil 2012

3
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda"

Jumaat malam. Malam penganugerahan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil 2012 telah diadakan dengan jayanya. Debaran penerima hadiah sastera ini akhirnya terjawab. Malam itu, alhamdulillah saya merupakan salah seorang penerima hadiah. 

Senarai Pemenang Kategori Cerpen Remaja. Saya di atas.

Saya antara sembilan orang penerima hadiah pada malam itu bagi kategori cerpen remaja. Dalam kategori ini, hampir kesemuanya ialah guru! Alhamdulillah!

Antologi Sejujur Manggis
(Kredit kepada FB Syuhada Salleh)

Antologi ini dijudulkan sebagai "Sejujur Manggis", cerpen Khalil Zaini yang sangat perlu dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Kisahnya, kenalah baca sendiri! (hehehe). Antologi ini juga boleh didapati di Ujana Ilmu atau mana-mana toko buku yang berdekatan.

Abaikan senyuman itu!

Khabar sebagai pemenang hadiah utama, hanya diketahui pada malam itu semasa mendaftarkan kehadiran di meja urus setia. Dalam keadaan yang masih tidak percaya, terlintas dalam benak. Ah, biar betul! Tak fasal-fasal kena penapak dengan pengiring. Nak tahu siapa, sila klik di sini. Semasa melihat senarai pemenang, saya seperti tidak percaya kerana berada bersama dengan penulis yang sudah lama menempa nama. Ya Allah! Rezeki yang Kaulimpahkan, amat bermakna padaku. Alhamdulillah!

Sejurus tamat acara.
Bergambar dengan Kak Eja, tulang belakang Legasi Oakheart.
(kredit gambar FB Sayidah Mui'izzah)

Malam itu, tidak sempat untuk bergambar bersama-sama penulis yang lain. Agak terkilan, tetapi disebabkan tuntutan tugas, saya perlu bergegas ke Nilai pada malam itu juga. 

Naskhah-naskhah pemenang HSKU 2012.

Walau apa-apa pun, ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para pemenang. Semoga dengan kemenangan ini, dapat memacu lagi sastera tempatan ke mercu yang lebih tinggi. 


Barisan pemenang.
(kredit foto laman sesawang Utusan)


Nota: Meneruskan perjalanan sebelum mencapai noktah. Oh, bersisa sebulan lagi!






Karya Cerpen di Tunas Cipta Oktober 2013

2
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Sebuah karya cerpen telah disiarkan di Tunas Cipta Oktober 2013. Karya yang ditulis empat tahun lalu, akhirnya disiarkan selepas diperam di dalam komputer riba.

Sebahagian sahaja

Boleh dapatkan di pasaran.

Mahu Hadiri Acara Ini!

4
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Kredit foto daripada laman Facebook Singapore Writers Festival

Singapore Writers Festival kembali lagi. Acara sastera ini baru sahaja saya ikuti perkembangannya tahun lalu. Dikhabarkan, ramai penulis dari seluruh dunia akan berkampung di sini untuk bertemu sahabat penulis dan para pembaca. Meski saya bukanlah seorang pembaca karya luar negara secara kerap, namun acara sebegini secara tidak langsung boleh mendedahkan saya kepada dunia penulisan itu sendiri. Dalam hati, rasanya mahu sahaja pergi ke sana. Kebetulan pula, tarikhnya bertindih dengan peperiksaan akhir yang bakal bermula pada 7 November ini. 

Jadi, bagaimana?

p/s: Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan sudah bermula. 


Sudah Lama dan Catatan Sebuah Impian

8
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Sudah lama tidak berkunjung di laman ini. Hanya ini yang mampu kutitipkan, menggantikan bicara dan tulisan.


Waktu malam membaca kajian lepas-lepas.

Membaca kajian-kajian lepas oleh para pengkaji bahasa bagiku adalah satu proses penerimaan pengetahuan. Sudah lama sebenarnya aku melakukan kerja-kerja begini. Tempoh hari, sewaktu menggelintar ke alam maya, terpanggil untuk membuka laman sesawang pusat pengajian pascasiswazah IPT yang ada di Malaysia. Mengintai-intai peluang dan ruang untuk menyambung pelajaran sekiranya diizinkan oleh Allah. Niat memang sudah lama terpahat di dalam hati, cuma tindakan sahaja yang dinantikan.

Membuka laman sesawang tersebut, terdetik di dalam hati, mampukah aku membawanya nanti? Bolehkah aku? Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih sebenarnya. Sudah ditanyakan keluarga dan pensyarah, katanya juga sama - sambung kalau ada peluang. Andai beroleh kejayaan untuk sarjana muda, mahu pula aku merandai jalan-jalan untuk sarjana pula. Amin! 

Insya-Allah ada rezekinya, di sinilah tapaknya.


p/s: Sudah siap dicetak, untuk dihantar ke rumah penerbitan. Tunggu proses perolehan daripada mereka sahaja.

#Fragmen: Dalam Mandala Julai

2
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Dengan langkau masa yang tidak lama, baru pagi ini mampu kurenggang-renggangkan seluruh temulang jariku untuk menaip sesuatu. Baik di muka kertas, mahupun di ruang ini. 

Dalam Julai ini, hari kelmarin (Jumaat), berakhirlah episod cinta dua insan fiksyen yang direka hayatnya menerusi senaskhah novel apabila diadaptasi menjadi tontonan rakyat Malaysia. Ya, sudah menjadi fenomena hari ini - pengadaptasian karya novel ke layar perak mahupun di kaca televisyen. Aku juga tidak terlepas daripada menonton kisah ini yang sentiasa dinanti-nanti oleh ramai orang. Setiap kali sedutan episod akan datang ditayangkan, maka termuatlah segala pertanyaan dan persoalan dalam kalangan penonton setianya. Apakah yang berlaku kali ini? Sesudah sahaja tiba waktunya, maka bersusunlah mata-mata untuk menontonnya di hadapan kaca televisyen. Aku juga menontonnya. Usai sahaja ditayangkan, pasti akan menunggu sejam atau dua jam daripada waktu siarannya untuk memuat turun videonya disebabkan mahu dijadikan koleksi ataupun memenuhi permintaan insan yang belum berkesempatan untuk menontonnya secara langsung. Tinggallah dalam kenangan para pencinta dan penonton setia drama cinta yang dianggap klise dan 'basi' ceritanya. Biarlah, tanggapan orang.

Fenomena cinta daripada manusia fiksyen - Firash Arshad dan Syafa Aqira
*Kredit daripada Google Images

Dalam mandala Julai ini juga, banyak perkara yang menjadi penantianku. Penantian maha setia ialah ketibaan Ramadan - penghulu segala bulan. Bulan yang dilimpahi seluruh rahmat dan pahala. Tertutupnya pintu neraka dan terbukalah pintu syurga seluas-luasnya. Segala kerja dan amal ibadat yang dilakukan, dilipatgandakan ganjarannya. Maha Pemurah Allah yang satu. Semoga kehadiran Ramadan pada tahun ini, menjadi batu loncatan untuk aku dan mukminin serta mukminat mengerjakan ibadat semaksimum mungkin. Moga aku sempat mengecapi nikmat kehadiran bulan yang penuh keberkatan ini.

Menuju Ramadan Mubarak - medan perjuangan dan penuaian amal.
*Kredit daripada Google Images

Dalam mandala Julai ini juga, tuntutan tugas juga menjadi cabaran. Bertimpa dan bertimbunan tidak mengenal waktu dan ruang. Jika ada peluang dan ruang senggang, tibalah ia dari segenap penjuru yang menumpu diri. Baik langsung mahupun tidak langsung. Tambahan pula, kini sedang berada dalam zon persediaan sebelum menjalani tempoh praktikum kedua selama 4 minggu. Ya, satu cabaran kerana perlu bermain dan beraksi di padang dalam bulan Ramadan. Tetapi, itu bukan satu halangan, malah menjadi satu medan latihan pengukuhan jiwa dan rohani khususnya. Pemupukan erti kesabaran, ujian menduga, memacu tenaga dan sebagainya. Syukur, kawasan yang ditempatkan tidak sejauh praktikum yang lepas.

Kerja dan kerja - tiada penghabisan dan pengakhiran
*Kredit daripada Google Images.

*Menulis dan terus menulis.

Kehilangan, Abang Kedidi dan Buah Nyonya.

2
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Sejurus hari semalam menerusi entri yang lalu, semangat pula hendak mengimbau dan mencoret segala kenangan bersama-sama kawan baharu. Maklum sajalah, hanya sesingkat waktu bertemu, perpisahannya pula beribu batu.

Bertemakan 'Ilmu' sebagai panduan persembahan, aku dan pasangan iaitu Saiful dari IPG Kampus Raja Melewar, N. Sembilan diberikan masa selama 10 minit untuk berbual dan berbalas pantun di atas pentas utama Dewan Za'ba. Sebenarnya, pertandingan ini berlangsung di Dewan Hamzah Fansuri (dewan syarahan), tetapi disebabkan pertandingan dondang sayang sudah tamat dengan lebih awal, pertandingan pantun diubah di dewan ini. Soal kehilangan yang dimaksudkan ialah sewaktu giliran aku untuk membuat persembahan. Sedang ralit menonton persembahan sambil membuat persediaan, Saiful datang di sebelah dengan mengingatkan aku bahawa selepas ini giliran kami. Wah, waktu itu rasa dunia sedang gelap!

Sebelum naik ke pentas. A 19.10 dan A 20.10 sedang bersedia.
(Entah apa yang diketawakan mereka waktu ini?)
*Terima kasih Aiza Mira Maya untuk rakaman fotonya.

Saat nombor giliran peserta dipanggil, aku jadi serba gugup. Melangkah pun jadi serba tidak teratur. Berjalanlah dan kedengaran juga tepukan daripada para penonton. Lagi bertambah sukar untuk mengawal kegugupan yang semakin memuncak. Tangga pentas aku naiki. Ketika itulah, segala rangkap pantun yang dikarang dan diingat satu persatu hilang daripada simpanan memori. Oh, Saiful sudah berada jauh di hadapan! Bertawakal sahajalah. Mikrofon sudah berada dalam genggaman. Dalam perancangan, aku akan memulakan persembahan.Sudah, pantun perkenalan diri pun aku terlupa. Lalu, sengaja aku lengah-lengahkan. Loceng hanya dibunyikan sekiranya pantun pertama dilafazkan oleh peserta. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan aku waktu itu!

Sewaktu membuat persembahan di pentas utama bersama-sama Saiful dari IPG Kampus Raja Melewar.
*Terima kasih urus setia pertandingan untuk gambarnya.

Perasaan berada di atas pentas tidak sama perasaan menanti giliran membuat persembahan. Jika di bawah, akan ada orang yang akan tenangkan, tetapi bagaimana pula di atas? Mengharapkan pasangan, mereka juga sama. Saiful mempunyai bantuan catatan pantun di atas kepingan kertas kecil yang dipotong-potong. Aku hanya berbekalkan air liur dan modal untuk mengarang pantun secara spontan. Ekoran kehilangan, boleh aku katakan semua kosa kata yang tersimpan, hilang seketika waktu itu. Allah! Maka, aku merapu dan berpantun dengan entah apa-apa benda aku sendiri pun tak tahu. Sehinggakan ada beberapa bahagian, aku terpaksa mengulang binaan pantun itu, dan para penonton boleh ketawa! Ah, itu jenaka tak sengaja! Disebabkan binaan rima yang hendak sama, terpaksa menokok kata-kata yang boleh dipadankan. Apabila menonton semula rakaman, terasa seperti 'membogelkan' diri sendiri pun ada. Tak mengapalah, itulah dinamakan pengalaman. Aku juga sempat 'membahan' orang yang ada di dewan itu bagi menutup segala KEHILANGAN yang beraja. Nasiblah!

Ainun Nasibah [IPSAH] dan Wan Mohd Hadidi [IPIS]
(Hadidi yang menjadi bahan dalam persembahan aku)
*Terima kasih kepada urus setia untuk gambarnya.

Selepas giliran aku, dua orang di atas ini pula mengambil giliran. Kedua-duanya sudah mahu tamat pengajian. Datangnya dari dua kawasan geografi yang berbeza. Namun, temasya ini menemukan mereka. Seronok melihat persembahan mereka. Mencuit hati. Hendak dijadikan ceritanya, si Ainun Nasibah mahu menyebut 'Hadidi', tetapi boleh tersasul menjadi 'Abang Kedidi'. Disebabkan peristiwa itu, seluruh dewan ketawa dan dalam kalangan peserta pantun yang terapat, tidak habis-habis mengulangi panggilan Abang Kedidi itu. Hadidi, terimalah hakikat! Mengenali Hadidi dan Nasibah ini tidak merugikan. Ada sahaja cerita yang hendak disampaikan. Lebih-lebih lagi Hadidi atau Abang Kedidi. Waktu hari pertama perkenalan, berborak sakan sehingga jam 4.00 pagi, seperti sudah kenal lama. Celoteh dan bahan membahan usahlah cakap. Tak tahan perut nak gelak.

Affan [IP Tuanku Bainun] dan Farhan [IPDRI]
(Kisah yang tidak akan dilupakan)
*Terima kasih urus setia untuk gambarnya.

Mereka di atas pasangan persembahan sebelum aku. Geng berborak sampai tengah malam. Affan sudah kenal sebab beliau juga JPP seperti aku juga. Pernah jumpa di IPG Kampus Tuanku Bainun tahun lalu ketika lawatan penanda aras JPP ke IPG Zon Utara. Farhan hanya kenal di tempat penginapan, itupun ketika bersembang-sembang di ruang legar asrama.

Buah Nyonya?

Pernah dengar? Semuanya gara-gara Affan tersasul mahu menyebut 'NONA' tetapi menjadi 'NYONYA'. Apa lagi, ketawalah hadirin dan hakimnya sekali. Apabila gugup dan gubra, semuanya boleh jadi. Mereka berborak dalam situasi 'PENDIDIKAN', antara guru dan murid yang sudah lama tidak berjumpa. Paling pelik, Farhan boleh bertanya, "Manis ya buah nyonya tu, cikgu?". Oh, sangat tak boleh diterima! Tetapi, mereka tetap memberikan persembahan yang terbaik. Dari kaca mata aku yang menonton, mereka sudah mencuba sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik untuk semua , lebih-lebih lagi untuk IPG mereka. Tabiklah Affan dan Farhan! Meskipun kali pertama, namun kalian tetap terbaik!

Benarlah kata orang, apabila sudah gugup, semuanya boleh terjadi tanpa dijangka. Semua yang yang dirancang pada awalnya, akhirnya tidak menjadi seperti yang dijangka. Yang dirancang entah ke mana, yang tidak merancang apatah lagi. Akulah terutamanya. Setiap kali menyertai pertandingan, tidak kiralah secara individu atau berkumpulan, pasti yang diungkap akan lain daripada yang dirancang! 

Kemungkinan, gila-gila menjadi hal utamanya... selepas ini.

*Teringat ungkapan aku sewaktu persembahan, "Mereka ini (penonton) memang suka lihat kita di atas pentas. Boleh tepuk-tepuk tangan, gelak-gelak. Mereka tak tahu macam mana perasaan di atas ini."

Temasya Pantun dan Dondang Sayang 2013: Permulaan Segala Permulaan

4
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Sekian kalinya, hari ini baru berkesempatan untuk mengemas kini laman blog ini setelah menyepi tidak tahu pucuk pangkalnya. Namun, tetap setia menatap laman ini. Alhamdulillah.

Baru-baru ini, aku berpeluang menyertai sebuah pertandingan yang diperikan sebagai Temasya Pantun dan Dondang Sayang 2013 IPG/IPT yang bertempat di IPG Kampus Bahasa Melayu. Buat julung kalinya pertandingan ini diadakan, maka akulah peserta pertama dari kampus menyertainya sebagai menimba pengalaman untuk bekalan pada hari kemudian. Menghadirkan diri sebagai peserta secara tidak langsung menjadi platform untuk mengenal rakan-rakan dari kampus seluruh Malaysia serta dari IPT yang menyertai seterusnya mampu bertukar-tukar pendapat dan cerita pengalaman masing-masing. Ternyata, semuanya berlaku pada tempoh yang sangat singkat itu.

Aku berpeluang mengenali diri beberapa orang peserta yang aku boleh katakan sebagai sekepala gilanya. Mereka bukan caamg-calang. Ada yang pernah menjuarai teater muzikal IPG, pemantun kebangsaan, pelakon monodrama KAGUM 2012 IPG dan sebagainya. Rata-ratanya tidak mampu diungkap dengan tulisan, tetapi perlu merasainya sendiri. Aku sertakan beberapa keping foto yang sempat dirakamkan bersama-sama mereka ketika di sana.

Bersama-sama delegasi IPG Kampus Ipoh, selepas taklimat pertandingan di Dewan Za'ba
(Amira, Hamizah, Aku, Nabil, Puan Norehan dan Puan Normah)
*Saat jerebu sedang berkuasa di Lembah Pantai.

Di Dubu Dubu Korean Food, Mid Valley Megamall. Selepas daftar masuk asrama.
(Nabil, Faizah [IPGKBM], Amira dan Hamizah)
*Amira makan tak habis!

Terasa seperti orang penting apabila menaiki kenderaan rasmi IPG.
(Nabil, Amira dan Hamizah)
*Baru aku kenal perangai masing-masing!

Tersergam indah menara IPGKBM

Dua orang pemantun hebat dan verstail.
(Hadidi [IPIS] dan Ainul Fikri [IPTAA])
*Sangat santun bahasa mereka!

Seusai Majlis Pelancaran di Dewan Utama IPGKBM
(Hamizah, Amira, Puan Norehan, Puan Normah, Nabil dan Aku)
*Terima kasih kepada Affan kerana menjadi jurugambarnya.

Di ruang legar pameran PSV.
*Bergambar bersama-sama pensyarah dari IPG lain.

Coretan ini menggantikan bicara yang infiniti gatranya untuk diungkapkan. Coretan ini juga masih ada sambungannya untuk isu seterusnya. Bagaimana boleh menjadi mesra seperti sudah berkenalan begitu lama? Boleh berkongsi itu dan ini serta banyak lagi.



*Ada yang sudi hendak belajar menulis cerpen dengan aku. Sangatlah kerdil pengalaman yang ada.







Menghitung Hari

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena  penanda".

Tidak lama lagi, dalam tempoh seminggu sahaja, sebuah naskhah baharu daripada Legasi Oakheart bakal dilancarkan di Auditorium DBP, Kuala Lumpur. Bersama-sama dengan majlis itu, turut dilancarkan tiga buah naskhah daripada penulis lain, iaitu:


Saya dikhabarkan, ramai tetamu jemputan akan hadir pada majlis ini. Kadang-kala berasa teruja pula untuk menemui orang-orang hebat dalam dunia penulisan ini.

Buah Tangan Baharu Legasi Oakheart

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Sewaktu catatan ini ditulis, saya sedang mendengar alunan lagu daripada kumpulan SIGMA dari Indonesia yang berjudul Istikharah Cinta, selepas melihat perkongsian video daripada seorang rakan di laman FB. Entah, tiba-tiba mahu mendengar lagu sedemikian. (layan perasaan? - ehehehe)

Bukan itu hal yang hendak difokuskan. Fokus utamanya ialah untuk mempromosikan buah tangan baharu Legasi Oakheart (LO) yang menjadi naungan saya selama saya bergelar penulis, walaupun baharu setahun jagung.

Logo rasmi Legasi Oakheart

Kali ini, LO hadir dengan dua siri - buku dan DVD. Buku tersebut ialah sebuah antologi cerpen daripada 18 orang penulis yang menyumbang karyanya. Kemudia, DVD tersebut terkandung 5 buah filem pendek yang diadaptasi daripada cerpen-cerpen yang terpilih. Pihak LO telah menyediakan tiga jenis pakej pembelian yang boleh dilihat menerusi poster di bawah:

Poster pembelian

Untuk keterangan lanjut, bolehlah hubungi saya menerusi:

Emel : fakhaimd@gmail.com

atau terus layari laman maya LO, iaitu

Jaringan perhubungan dan maklumat terkini LO

Dapatkan maklumat-maklumat terbaharu daripada LO dengan melayari laman maya yang tertera di poster di atas.




p/s: Pelupuk mata tidak dapat mengatup...


Kejohanan Balapan dan Padang IPGKI

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Lama rasanya tidak mencoret di sini. Disebabkan beberapa kekangan, saya tangguhkan dahulu untuk mencoret di sini.

Semalam, IPGK Ipoh telah selamat menjalani Kejohanan Balapan dan Padang Kali Ke-28, anjuran Unit Kokurikulum dan PISMP Ambilan Januari 2011 Unit J. Masing-masing bertungkus-lumus untuk menjayakannya semenjak mesyuarat yang pertama lagi, sehinggalah semalam, hari peristiwanya. Selaku mantan Setiausaha JPP, saya tidak terlepas untuk memenuhi kerusi jawatan itu dan saya menerimanya dengan rasa syukur kerana saya sangat seronok bekerja sebagai SETIAUSAHA! Seronok sebenarnya bekerja dengan kawan-kawan yang sama-sama komited dan bersemangat untuk menjayakan kejohanan ini.

Hasil tuaian tahun ini.

Saya menganggotai sayap Bayan, yang mewakili warna biru - warna kegemaran saya. Entah, tidak tahu kenapa warna biru yang digemari, tetapi tidak pula menyukai tampuk barisan yang menaungi jumantara negara ini. Lupakan benda itu.

Pada tahun ini, saya tetap menyertai acara, walaupun sebagai pegawai. Tetapi, itu tidak menghalang saya untuk menyumbang mata dan tenaga kepada sayap sukan saya. Seperti biasa, acara yang disertai ialah 400m dan 4x400m. Tetapi, tahun ini, ketua sayap sukan saya telah meletakkan nama saya dalam acara lompat tinggi dan 4x100m. Mula-mula, terkejut juga sebab sudah lama tidak berlari dan melompat setinggi palang yang melintang. Namun begitu, saya sahut cabaran ketua saya untuk menyertainya. Berkenaan dengan acara yang disertai, tahun lalu saya berjaya merangkul emas untuk acara 4x400m untuk kali kedua selepas kali pertama memenanginya pada 2011. Pada mulanya, saya hanya menguruskan pasukan. Tetapi, selepas diminta oleh rakan, saya menerimanya selaku pelari pertama. Namun demikian, tahun ini sekadar menduduki tempat kedua, tewas kepada sayap Helang. Benar kata-kata seorang rakan kelas; 

Kau menumpang kekuatan orang lain, walaupun kau menang. Tetapi, menumpang pun menyumbang kemenangan.

Bersama-sama jurulatih kokurikulum, Encik Amir dan rakan seperjuangan
Ammar Ahmed dan Muhammad Azharie

Hampir sebulan, pengurusan sukan dijalankan. Sebermulanya daripada mesyuarat pertama untuk pemilihan jawatankuasa sehinggalah hari peristiwa - masa yang memang diperuntukkan selama 24 jam seperti tidak mencukupi, tambahan dengan musim kerja kursus yang semakin mencengkam. Mujur juga, ada tenaga-tenaga yang sudi menghulurkan bantuan untuk memudahkan kerja yang dilakukan.

Kerja-kerja menggelek garisan
(Azahari, Ammar, Zulfahmi, Syed, Adam)

Latihan menyorak untuk pemenang
(Fahmi, Adam, Anwar)

Bersama-sama pasukan kompang sementara menunggu ketibaan VIP

Pada hari kejohanan, saya berkesempatan menyertai pasukan kompang untuk mengiringi para VIP. Meskipun inilah kali pertama bermain kompang, namun semangat itu tetap berkobar. Bersama-sama dengan rakan kumpulan yang 'gila-gila' dan kelakar, saya tidak rasa sedikit pun ketegangan semasa sesi latihan. Berkongsi ketawa, ilmu dan 'cerita-cerita hangat' - itu selingan semasa rehat....

Peserta 100m akhir wanita sedang bersedia untuk dilepaskan
(Garuda - hijau menjuarainya dan Bayan - biru ketiga)

Selepas acara 400m akhir lelaki
(Saya berbaju biru yang sedang berdiri. Baharu tiba di tempat ke-6)

Persaingan sengit antara empat sayap
(Garuda - Nuri - Helang - Bayan)

Pelari 4x100m - Faiq, Saya, Nuing, Fadhil
(Tempat keempat - saya pelari kedua.)

Sebenarnya, terlalu banyak yang hendak dikisahkan di sini. Tetapi, mengalami keterbatasan kata. Mungkin akan dicoret pada entri yang akan datang. Walau bagaimanapun, ucapan tahniah kepada sayap Helang kerana berjaya mempertahankan kejuaraan sebagai juara keseluruhan buat kali kedua berturut-turut. Mengekori di tempat kedua ialah Garuda, ketiga Bayan dan keempat Nuri.

Ucapan tahniah juga kepada semua PISMP Ambilan Januari 2011 Unit J kerana berjaya menganjurkan Kejohanan Balapan dan Padang Kali Ke-28 ini bersama-sama dengan Unit Kokurikulum IPG Kampus Ipoh. Ketetapan kursus WAJ 3111 ini mungkin dapat membantu para mahasiswa guru untuk menguruskan kejohanan sukan ketika di sekolah kelak. Diharapkan juga agar segala ilmu yang ditimba ini dapat dimanfaatkan nanti.


Merealitikan Mimpi

2
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena  penanda."

Bakal menjengah Februari yang kali ini dihitung cuma 28 hari sahaja. Dalam Februari juga, ada perkara yang menarik bakal berlaku sekiranya diizinkan oleh Allah akan kelancarannya.

Cantuman Mimpi


Benar. Mimpi boleh dikatakan sebagai dua hal, sama ada mainan syaitan atau ketentuan ilham untuk seseorang. Namun demikian, terpulang kepada insan itu untuk menafsirinya. Mencantum mimpi untuk membentuk lingkungan realiti yang pasti. Daripada mimpi, wujudlah sesuatu yang mampu memberi manfaat kepada dunia manusiawi.

Pada Januari, mimpi ini bersemi. Pada Februari, mimpi ini menemui realitinya. Nantikan kemunculan Cantuman Mimpi, buah tangan baharu daripada Legasi Oakheart pada Februari ini. Antara yang bakal menemui anda:





p/s: Meneruskan kerja-kerja tertangguh.

Hasil Karya

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Hafizie Husairi

Sayed Ahmad Zulhafiz

Ain Azira

Abdul Azim


Hanya sebilangan sahaja. Masih ada lagi yang belum disiapkan. Cadangnya hendak dipamerkan pada suatu majlis Februari nanti. Dan ada tiga buah yang bakal dipamerkan pada pameran di IPG nanti.




Saya Pernah Mati!

0
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Baharu pulang daripada kursus di Kuala Lumpur. Kantuk dan keletihan tidak dapat dibendung sehingga tewas di jaluran mimpi. Pada mulanya, keberatan mahu berpisah dengan teman sekursus, namun apakan daya. Aturan Allah lebih indah dan Dia lagi Maha Mengetahui. Sudah memasuki 12 Rabiulawal yang dinanti-nantikan.

Entri kali ini, berkait rapat dengan sebuah catatan daripada seorang teman sekelas. Beliau juga menulis benda yang sama, jadi idea penulisan ini tercetus daripada pembacaan blog beliau juga. Semua manusia pernah mati dan akan mati. Pernah mati dalam konteks ini ialah tidur kerana itu ialah mati sebentar. Namun demikian, catatan ini bukanlah menyentuh hal-hal kematian tersebut, tetap lebih menjurus kepada semangat atau minat yang di dalam diri.


MATI I

Jika  mahu diimbau saat pertemuan dengan rakan-rakan sekelas yang semuanya mampu dan mahir dengan mainan pensel, warna air dan sebagainya, saya dapat katakan, saya ialah insan yang begitu kerdil, meskipun rupa fizikal saya lebih besar berbanding mereka. Dengan tiada bekalan bakat dan juga asas dalam bidang Pendidikan Seni, saya hadir mendaftar dengan bekas yang kosong - sifar persediaan dan ilmu awal. Saya pasrah waktu itu. Hal 'kematian' yang hendak diungkap ialah ketika dimarahi dan disindir oleh pensyarah kerana kelayakan saya untuk memasuki kelas Pendidikan Seni sedangkan saya sendiri tiada asasnya. Bagaimana? Terima sahaja sebagai cabaran. Setiap kali menghadiri kelas Pendidikan Seni, jiwa saya kacau dan tidak menentu. Apakala memikirkan karya lukisan yang tidak seberapa jika hendak dibandingkan dengan rakan yang lain, yang sudah pasti menepati piawaian sebagai 'orang seni'. Jangkaan awal bahawasanya bakal dimarahai itu akhirnya menjadi kenyataan apabila proses semakan dilakukan. Saya menerima tempias yang bukan tempias selayaknya. Permulaannya begitu mendebarkan dan sangat menduga. Begitu juga jalan pertengahan yang sungguh mencabar. Saya rasa saya sudah 'mati'. Minat yang cuba ditanam 'mati' dengan cabaran yang disiram. Walaupun demikian, saya tetap mencuba, meskipun hasilnya tidak seberapa.

Saya pernah 'mati' dengan Pendidikan Seni. Hanya kerana dibebani komentar dan ulasan yang tajam, saya sekonyong-konyong menjerumuskan diri ke dalam jurang ketewasan tanpa memikirkan sisi positifnya. Selepas melalui proses 'hibernasi' dengan membuat beberapa lakaran, ditambah juga merujuk dengan pensyarah lain, timbul semangat baharu untuk meneruskannya.

Namun kini, insan yang begitu banyak menyumbang kepada cabaran itu, bakal meninggalkan saya dan rakan-rakan sekelas. Jika dahulu saya begitu gerun dengan tampang jasadnya, kini saya bakal merindui kelibat beliau. Tanggal 8 Februari bakal menyaksikan perpisahan antara kami sekelas dengan beliau. Kini, saya jangkakan beliau sedang bercuti rehat ekoran faktor kesihatan yang tidak mengizinkan. Selamat bersara ayahanda Khairul Anuar Amran...



Menuju Legasi Seni

1
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Terasa begitu lama tidak mencoret di sini, memandangkan sedang menghadapi beberapa siri kekangan kerja yang perlu diutamakan. Dalam sedar tidak sedar, Januari sudah masuk minggu ketiga dan dalam minggu ini juga, Hari Keputeraan Rasulullah bakal disambut oleh seluruh umat Islam di dunia. Tanggal 12 Rabiulawal menjadi titik permulaan syiar kehebatan Islam bermula di Semenanjung Tanah Arab, meski tika kelahiran junjungan besar Muhammad S.A.W sudah menampakkan tanda yang sungguh tidak dijangka.

Melingkungi Januari juga, saya perlu melalui perjalanan yang sangat padat dengan pelbagai tugasan dan tuntutan kerja yang tidak menentu. Tika coretan ini dibuat, saya sedang menanti waktu untuk bertolak ke Kuala Lumpur bagi menghadiri kursus anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia. Dalam tempoh yang sama juga, kelas saya bakal menganjurkan sebuah pameran Pendidikan Seni Visual yang dijadualkan pada 30 Januari hingga 1 Februari ini. Kami diperuntukkan untuk menyediakan tiga buah karya seni sendiri untuk dipamerkan pada pameran tersebut. Ekoran daripada kurang berkemahiran dan sedang mengasahnya, saya tetap menghasilkan tiga buah karya sedaya mampu saya. Bukan catan dan lukisan, tetapi garapan kesenian yang mencerminkan nilai-nilai keislaman.

Poster Pameran
Hasil karya Nur Sakinah Abd. Rauf.

Mengetengahkan tema "Legasi Seni", yang menginterpretasikan perjalanan yang dilalui oleh kami sepanjang bergelar pelajar jurusan Pendidikan Seni Visual selama 4 tahun sejak 2009. Ya, saya akui banyak lagi perkara yang perlu saya perbaiki kerana saya bakal bergelar guru PSV kelak. Dan di sinilah saya jadikannya sebagai platform untuk menajaminya.


Mereka dalam Legasi Seni.


p/s: Meneruskan penukangan.

Rindu Seorang Rafik

3
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Sudah menjangkau jam satu pagi. Namun, kantuk belum lagi bertandang yang pinginkan pelupuk mata ini berehat. Memandangkan petang semalam (5 Januari) sudah dikerjakan seluruh tenaga bermain badminton bersama-sama dengan rakan kelas, kesannya dirasai sekarang. Penat tetapi tidak mampu melelapkan mata.

Kini, saya sedang mengulang baca sebuah kumpulan cerpen yang berjudul "Rindu Seorang Rafik" hasil tulisan Nisah Haron, antara penulis yang saya minati karyanya. Sebenarnya, saya sudah hadami kumpulan cerpen ini pada 2011 yang lalu, tetapi setelah kemarau buku baharu, saya mengambil keputusan untuk mengulang baca mana-mana buku yang menjadi pilihan. Kumpulan cerpen ini memuatkan 16 buah cerpen yang menyingkap pelbagai latar tema. Sekarang, saya sudah berada pada cerpen yang kelima (tebakan sahaja), iaitu pada cerpen yang menjuduli kumpulan ini, Rindu Seorang Rafik.

Kulit Buku

Pembacaan kali ini, saya lebih kepada mengkaji struktur karya dan maksud tersurat yang terdapat pada karya. Hal ini bertujuan untuk memantapkan lagi penulisan dan cara menghasilkan karya dengan baik. Sehingga kini (buat masa ini), cerpen yang memberi kesan kepada saya ialah "Sayap-sayap Kecil Di Grahara Jentayu", dan "Impian Tsu-Ryi I dan II".


p/s: Menuju perjalanan terakhir sebelum noktah.