Iklan Raya Petronas 2012

Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan penanda."

Awal pagi semalam, terbaca satu tulisan rakan di laman Facebook berkenaan iklan raya yang dikeluarkan oleh Petronas. Ya, memang Petronas!

Sedia maklum, pasti ramai yang menyetujui apa-apa yang ingin saya coretkan. Bahawa sesungguhnya iklan Petronas terutamanya iklan Hari Raya memang tidak mengecewakan dan sangat memberikan pengajaran serta nilai murni kepada para penonton. Sungguh!



Mengisahkan Erman - seorang jurutera Petronas yang ditugaskan ke negara Uzbekistan. Sepanjang keberadaannya di sana, dia sempat mengenali seorang budak lelaki yang dikenali sebagai Jeyhun yang baginya seorang kanak-kanak yang unik.

Jeyhun boleh dikatakan seorang kanak-kanak Uzbek yang mencintai ilmu dan gigih menuntut ilmu walau susah sekalipun. Berkisar latar tempat daripada iklan ini, memang nyata pola sosial dan ekonomi rakyat Uzbek rata-ratanya serba sederhana. Namun, kemasyarakatannya cukup utuh dan mesra antara satu sama lain.

Berjiwa Kependidikan.

Aku katakan ya untuk iklan ini. Kenapa? Sebab Erman hadir sebagai pembuka lembaran baru kepada anak-anak di kawasan itu terhadap pendidikan. Dengan kata lain, dialah menjadi ikon kepada kanak-kanak dan masyarakat di sana. Pada babak pembinaan model dapur solar, Erman sungguh membantu perkembangan kognitif Jeyhun yang sangat berminat kepada projek yang direkanya (akibat permainan kanta pembesar di dalam kelas + di rumah). Bukan Jeyhun sahaja, malahan kanak-kanak lain turut terkesan dengan keadaan itu, Mereka sama-sama sepakat untuk menghasilkan sebuah dapur solar yang boleh membantu masyarakat sekitar itu. Dalam kisah ini, elemen kependidikannya sungguh diangkat oleh pengarah (tidak salah juga jika penulis skripnya menyusun cerita ini). Ya, benar!

Sebagai seorang bakal guru, aku berasakan iklan ini sangat memberikan kesan kepada diriku dan rakan-rakan yang bergelar guru dan bakal guru. Untuk mendidik masyarakat, bukan hanya menggunakan kekerasan atau ketegasan. Daripada perwatakan dan peribadi guru itu juga mampu mendidik manusia.

Muzik Latar

Aku cukup menyenangi muzik latarnya, terutama pada babak Jeyhun berlari ke rumah gurunya dan ketika Jeyhun dan rakan-rakan mendapatkan barang-barang untuk menghasilkan dapur solar! Kukira itu sebagai pelengkap kepada daya penarik iklan ini.

Natijahnya, siapa kata iklan Petronas tidak menarik setelah pemergiannya pengarah prolifik, Allahyarham Yasmin Ahmad yang saban waktu menghadirkan karya yang cukup memberikan mesej dan makna yang tersirat. Namun demikian, aku cukup terkilan tatkala membaca komentar di YouTube yang menunjukkan kedangkalan pemikiran masyarakat Malaysia. Perkara-perkara yang baik sedemikian sangatlah ditujah dengan nistaan dan cacian. Oh, betapa mundurnya mentaliti masyarakatku! Kemajuan hendak dikejar, tetapi lapisan pemikiran masih pada takah yang sama.

Okey!



p/s: Aku tetap mencoret walaupun KKP sudah menghampiri detik akhir!

4 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Belum sempat menonton iklan itu lagi.

Saya sudah membaca Kelongsong Ketupat. Tahniah. Teruskan menulis tentang budaya Melayu.

Unknown berkata...

Terima kasih Abang Helmi

athirah berkata...

Saya dah tengok.

Setuju denganpendapat fathul.

Tapi malangya,masih ramai yang mengkritik seolah-olah iklan ni tiada satu kebaikan ataupun nilai-nilai yang baik.

Unknown berkata...

Terima kasih Athirah dan setuju juga dengan anda