#Fragmen: Dalam Mandala Julai

Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Dengan langkau masa yang tidak lama, baru pagi ini mampu kurenggang-renggangkan seluruh temulang jariku untuk menaip sesuatu. Baik di muka kertas, mahupun di ruang ini. 

Dalam Julai ini, hari kelmarin (Jumaat), berakhirlah episod cinta dua insan fiksyen yang direka hayatnya menerusi senaskhah novel apabila diadaptasi menjadi tontonan rakyat Malaysia. Ya, sudah menjadi fenomena hari ini - pengadaptasian karya novel ke layar perak mahupun di kaca televisyen. Aku juga tidak terlepas daripada menonton kisah ini yang sentiasa dinanti-nanti oleh ramai orang. Setiap kali sedutan episod akan datang ditayangkan, maka termuatlah segala pertanyaan dan persoalan dalam kalangan penonton setianya. Apakah yang berlaku kali ini? Sesudah sahaja tiba waktunya, maka bersusunlah mata-mata untuk menontonnya di hadapan kaca televisyen. Aku juga menontonnya. Usai sahaja ditayangkan, pasti akan menunggu sejam atau dua jam daripada waktu siarannya untuk memuat turun videonya disebabkan mahu dijadikan koleksi ataupun memenuhi permintaan insan yang belum berkesempatan untuk menontonnya secara langsung. Tinggallah dalam kenangan para pencinta dan penonton setia drama cinta yang dianggap klise dan 'basi' ceritanya. Biarlah, tanggapan orang.

Fenomena cinta daripada manusia fiksyen - Firash Arshad dan Syafa Aqira
*Kredit daripada Google Images

Dalam mandala Julai ini juga, banyak perkara yang menjadi penantianku. Penantian maha setia ialah ketibaan Ramadan - penghulu segala bulan. Bulan yang dilimpahi seluruh rahmat dan pahala. Tertutupnya pintu neraka dan terbukalah pintu syurga seluas-luasnya. Segala kerja dan amal ibadat yang dilakukan, dilipatgandakan ganjarannya. Maha Pemurah Allah yang satu. Semoga kehadiran Ramadan pada tahun ini, menjadi batu loncatan untuk aku dan mukminin serta mukminat mengerjakan ibadat semaksimum mungkin. Moga aku sempat mengecapi nikmat kehadiran bulan yang penuh keberkatan ini.

Menuju Ramadan Mubarak - medan perjuangan dan penuaian amal.
*Kredit daripada Google Images

Dalam mandala Julai ini juga, tuntutan tugas juga menjadi cabaran. Bertimpa dan bertimbunan tidak mengenal waktu dan ruang. Jika ada peluang dan ruang senggang, tibalah ia dari segenap penjuru yang menumpu diri. Baik langsung mahupun tidak langsung. Tambahan pula, kini sedang berada dalam zon persediaan sebelum menjalani tempoh praktikum kedua selama 4 minggu. Ya, satu cabaran kerana perlu bermain dan beraksi di padang dalam bulan Ramadan. Tetapi, itu bukan satu halangan, malah menjadi satu medan latihan pengukuhan jiwa dan rohani khususnya. Pemupukan erti kesabaran, ujian menduga, memacu tenaga dan sebagainya. Syukur, kawasan yang ditempatkan tidak sejauh praktikum yang lepas.

Kerja dan kerja - tiada penghabisan dan pengakhiran
*Kredit daripada Google Images.

*Menulis dan terus menulis.

2 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Assalamualaikum, Fathul terima kasih daripada saya:

http://mieadham86.blogspot.com/2013/07/setia-bersama.html

Unknown berkata...

Waalaikumussalam.

Sama-sama. Terima kasih juga kerana sudi berkongsi-kongsi idea dan pendapat dengan saya yang baru menceburi bidang ini. :)