Buku 2013

9
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Percutian hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi, mengkala tahun baharu bakal tiba. Jadi, berbondong-bondonglah semua manusia untuk menetapkan azam untuk tahun tersebut. Saya? Mustahil jika mengatakan tidak untuk menetapkan azam, tetapi azam itu bukanlah memberi beban kepada saya sendiri. Dalam hal ini, saya lebih gemar menggunakan kata 'misi' sebagai pengganti kepada 'azam'. Kenapa? Adalah jawapannya!

Misi yang dinyatakan tadi adalah lebih menjurus kepada hala tuju saya sebagai seorang bakal pendidik. Selain itu, saya juga berhasrat untuk menetapkan beberapa target untuk dicapai dalam dunia penulisan yang baharu setahun jagung usianya. Yang paling penting, 'mengejar' beberapa naskhah yang sudah dimasukkan dalam senarai menunggu 2013 yang semestinya sangat mengujakan bagi saya. Nah, saya hadirkan naskhah yang ada dalam senarai menunggu!

Picasa Collages

Sepanjang petang tadi, sebelum hujan mengguyur, sebelum guruh berdentuman dengan dahsyat, sempat saya menggelintar dalam maya untuk menjejak buku-buku sebagai rujukan akademik, penulisan dan sebagai bacaan peribadi. Sebenarnya, ada beberapa lagi yang tidak ditemukan kulitnya, memandangkan cuaca sedikit mengujakan hari ini. Antaranya:

Buku Kekasih, tulisan Shaharom TM Sulaiman
Apa Ada Dengan Buku. tulisan Shaharom TM Sulaiman
Salahuddin: Penakluk Jerusalem, tulisan Abdul Latip Talib
Memoir Seorang Guru, tulisan Azizi Haji Abdullah

Ketiga-tiga buku ini ditulis oleh penulis yang menjadi kekaguman saya. Membaca tulisan Shaharom TM Sulaiman buat kali pertama, iaitu menerusi judul Biblioholisme, menjadikan saya lebih gemar untuk mendalami dunia pencinta buku, walaupun saya rasakan diri ini bukan dalam golongan ini (meski ada yang cakap saya ialah ahlinya). Abdul Latip Talib semestinya menjadi ikon buat saya kerana nuansa kepengarannya amat berkesan dengan mengetengahkan sirah para sahabat dan pejuang penegak panji Islam.   Yang paling hendak dimiliki ialah, Memoir Seorang Guru. Setelah membaca 'review' daripada seorang pembaca di sebuah laman sesawang, keterujaan bertambah lagi. Selepas ini, saya tidak bekira-kira untuk melabur di mana-mana toko buku untuk mendapatkannya. Sekiranya tiada, enjin cariannya saya halakan kepada Ujana Ilmu.

Selain daripada judul-judul di atas, sebagai persediaan menghadapi semester baharu yang saya kira mencabar kerana harus menjalani sesi praktikum buat kali pertama. Tambahan dengan struktur program pada semester akan datang sedikit mencabar dan 'mendugakan'.

Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
Tatabahasa Pedagogi untuk Sekolah Menengah, terbitan PTS Professional Sdn. Bhd.
Kuasai Struktur Ayat Bahasa Melayu, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
Sintaksis, terbitan PTS Professional Sdn. Bhd.
Morfologi, terbitan PTS Professional Sdn. Bhd
Budaya dan Pembelajaran, terbitan Oxford Fajar

Senarai di atas ini, sebenarnya sudah dimiliki sejak awal semester persediaan. Senarai di atas ini juga bukan sekadar digunakan untuk tujuan akademik sahaja, malah saya tetap gunakan setiap kali hendak menulis apabila berasa sangsi atau was-was dengan struktur penulisan.

Setakat itu sahaja, terima kasih.



p/s: Pihak Dawama membuat jualan promosi besar-besaran di AU3. Mahu pergi, tetapi tiada tahu akan arahnya!

Kalam Pertama

2
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Tamat sudah Perhimpunan Alumni MPR Kali Ke-2 di Shah's Beach Resort, Melaka setelah kali pertama diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2009. Alhamdulillah, saya dapat bertemu dengan ramai rakan penulis yang lahir daripada 'rahim' program Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Banyak perkara yang diperoleh dan boleh dijadikan sebagai motivasi serta perangsang kepada kerja-kerja penulisan yang baharu sahaja bermula.

Kalam Pertama

Penganjuran program ini juga menjadi hari bersejarah buat saya dan juga rakan-rakan MPR 2011 yang sebaris dengan saya semasa menyertai program ini pada tahun lalu, di tempat yang sama. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan komited dengan penulisan karya sulung (di bawah kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka), antologi ini dapat dilahirkan. Puas sebenarnya dikejar oleh dua orang penyelenggara merangkap pembimbing semasa berbengkel, iaitu Dr. Shamsuddin Othman dan Salina Ibrahim. Yang paling memberi kesan ialah, usaha mengumpul semula karya-karya dan memaklumkan kepada semua ahli mantan untuk melicinkan lagi proses penerbitannya.

Dalam antologi ini, tiga buah puisi dan sebuah cerpen saya dimuatkan bersama-sama 19 orang penulis muda yang berpotensi dalam dunia kesusasteraan tempatan ini. Keterujaan itu tidak sesiapa boleh sangkalkan lagi apabila menerima khabar antologi akan dilancarkan oleh pencetus awal program Minggu Penulis Remaja (dahulu disebut sebagai Minggu Remaja) iaitu, Datuk Johan Jaafar, Pengerusi Media Prima Berhad. 

Bersama-sama dengan Datuk Johan Jaafar

Sebenarnya, banyak perkara yang harus diambil perhatian selepas penerbitan antologi ini. Saya harus memperbaiki dan meningkatkan mutu penulisan agar karya yang dihasilkan berkualiti dan bermanfaat kepada para pembaca.

Setinggi ucapan terima kasih diucapkan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, menerusi Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja atas kelangsungan antologi ini. Ucapan setinggi tahniah kepada para penyumbang karya kerana begitu komited dan optimis untuk menghasilkan karya yang baik dan bermutu. Diharapkan agar rakan-rakan seangkatan ini dapat terus menulis dan berusaha untuk meningkatkan mutu kepengarangan...


p/s: Kejar garis penamat!


Cerpen: Nyiur Payung di Tunas Cipta September 2012

2
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Boleh dikatakan lewat dan sangat lewat mengkala sudah menjangkau bulan Disember. Tidak mengapa. Alhamdulillah, rezeki 2012 masih menyebelahi diri ini, walaupun masih muda dalam dunia penulisan ini. Cerpen Nyiur Payung yang ditulis lewat Disember 2011, telah disiarkan di dalam majalah Tunas Cipta September 2012. Pada mulanya, cerpen ini saya mencuba-cuba untuk dihantar ke media-media main stream, tetapi dalam takah waktu yang panjang dan tidak mempunyai peluang untuk disiarkan, saya mengubah keputusan untuk dihantarkan kepada pihak Tunas Cipta.

Kulit Tunas Cipta September 2012


Nyiur Payung

Idea kepengarangan ini sebenarnya hadir secara spontan semasa waktu cuti tahun lalu, setelah berasa seperti kekosongan tanpa sebarang karya yang dihasilkan. Teras kepada cerpen ini ialah daripada kisah penjajahan Belanda ke atas Melaka. Tetapi, saya menjungkil semula peristiwa itu dengan memberikan kemenangan kepada pihak kerajaan Melayu-Islam-Nusantara, walaupun pada hakikatnya kemenangan itu sekadar angan-angan sahaja. Cerpen ini turut 'dibelasah' oleh beberapa orang rakan penulis untuk mengetahui bahagian-bahagian yang mempunyai kelemahan.

Terima kasih kepada editor, En. Abdul Ghani Abu kerana menyiarkan cerpen kecil ini. Tuan SM Zakir kerana mengulas cerpen ini sedalam-dalamnya. Hafiz Latif dan Sayidah Mu'izzah kerana membelasa cerpen ini sampai tak tahu nak betulkan lagi...



p/s: Seronok berjumpa dengan orang-orang hebat

Rak Buku Maya

2
COM
Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Tulisan pertama pada Disember. Hasrat untuk menulisnya terbantut tatkala ada perkara yang lebih penting perlu diselesaikan terlebih dahulu. Kini, dalam proses menghitung waktu untuk bertolak ke Melaka demi menemui sahabat-sahabat penulis dari seluruh negara, berhimpun untuk bertemu walau ada perbezaan generasi. Oh, itu bukan satu halangan mahupun penyebab jurang tercipta! Apa yang penting, saya harus berasa yakin dan percaya kepada kebolehan diri sendiri. Oleh sebab minat, saya harus optimis untuk mempelajari sesuatu daripada mereka yang sudah mapan di laluan mereka.

Goodreads - saya menemuinya setelah disyorkan oleh seorang kenalan untuk mengemas kini rekod pembacaan dan juga mencari buku-buku yang wajar dibaca sebagai seorang mahasiswa dan penulis (walaupun ada yang katakan saya ini hanya ala kadar sahaja). Oleh itu, saya tergerak untuk membuka satu akaun peribadi untuk tujuan mencari dan mengemas kini rekod pembacaan saya selama ini...






















Paparan Halaman Utama Goodreads

Menerusi Goodreads juga, para pengguna atau pengunjung boleh mengakses pelbagai buku untuk dimasukkan ke dalam rak buku maya ini. Selain itu, pengguna juga boleh menambah individu-individu tertentu yang mempunyai akaun Goodreads sebagai rakan dan fungsinya juga persis Facebook, Twitter, Myspace, Friendster dan sebagainya. Cuma, laman ini lebih cenderung kepada pencinta buku dan sewaktu dengannya.


Sebahagian daripada koleksi bacaan

Menariknya, laman ini juga boleh disambungkan dengan menggunakan akaun Facebook dan Google. Mudah bukan?

Sepanjang menggunakan laman ini, saya telah mengumpulkan hampir 64 buah buku yang ditemui dan banyak yang belum dijumpai. Masih diusahakan dan terus diusahakan. Seronok sebenarnya bercinta dengan buku sebab tidak ada rasa sakit hati, bosan dan sebagainya. Tidak kisah orang lain mahu katakan, asalkan tidak mengganggu hidup dan periuk nasi mereka!


p/s : Menamatkan pembacaan Ikan Fugu, Lukisan & Jimson. 'Red Sorghum' dan 'Totto-chan' menanti waktu. Ada kemungkinan dibawa ke kampus...