Marga Ranah Rusuhan - Fragmen Terpilih

Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."


Sekian lama tidak kuketik papan kekunci ini. Dan baharu sahaja tiba dari lawatan seluruh IPG Zon Utara bawah kendalian Exco Perhubungan Luar dan Pengantarabangsaan, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar.

Dan...
Kurasakan hari ini merupakan hari yang terindah dalam hidupku kerana cerpen 'Marga Ranah Rusuhan' yang kutulis lewat Mei lalu, terpilih dalam ruangan cerpen Mingguan Malaysia edisi 8 Julai 2012. Aku dimaklumkan oleh abang sulungku pagi tadi ketika berada di IPG Kampus Darulaman, Kedah.

Cerpen ini merupakan cerpen pertamaku yang keluar di ruangan ini. Sebenarnya, sudah beberapa kali aku mencuba untuk memecahkan tembok akhbar ini, dan percatuan Allah itu maha indah. Alhamdulillah. Aku sertakan sedikit bahagian cerpen ini:


(kredit foto kepada Najib Ibnu Hassan dan Azrul Effendi)

:: "Genaplah tahun keempat puluh tiga rusuhan kaum yang menjadi sejarah hitam negara. Aku masih lagi di sini. Selepas pemergian ayah dan ibu sepuluh tahun yang lalu, aku bahagia di samping keluarga Melayu di pekan yang menemukan aku dan Pak Zam serta suasana harmoni lapisan bangsa. Pak Zam sudah lama menemui Tuhan ekoran penyakit lemah jantung yang dihadapi. Aku begitu selesa dengan kehidupan bersama-sama bangsa yang lain. Perhubungan itu menjadi lebih erat apabila pertemuan itu disusuli kemesraan, tambahan perkahwinanku dengan anak Pak Zam menjadi pelengkapnya. Itulah nikmat yang dikatakan Pak Zam ketika lewat perbualan mendiang ayah dengannya.

Khabar Embun tidak lagi aku ketahui sehingga kini. Kali terakhir aku berutus surat dengannya, sewaktu aku berada di menara gading. Embun juga berjaya melanjutkan pelajarannya di universiti terkemuka. Aku tidak mahu meratap perpisahan yang melangkaui persahabatan antara aku dengan Embun. Keeratannya terlerai dek hasutan dakyah siasah yang berbeza dan kerisauan yang menaungi seluruh marga kampung itu. Tetapi, aku akan lebih bersedih sekiranya kesepaduan antara masyarakat terisi dengan anasir hitam yang dicipta oleh anggotanya sendiri. Haluan yang bersimpang-perenang menyebabkan pergolakan demi pergolakan akan timbul. Biarlah rusuhan kaum yang berlaku dahulu menjadi pedoman kepada sang penguasa yang berkuasa dan rakyat yang mempunyai suara." ::


Ucapan terima kasih juga kepada rakan-rakan penulis dan rakan-rakan sepengajian.


p/s: Tanggungjawab semakin berat!

6 ulasan:

Planet Aiza Mira berkata...

Tahniah sekali lagi. Aku tahu pun, Kak Dura beritahu tadi. Bila karya seterusnya hendak menyusul agaknya? hu..hu

Fathul Khair berkata...

terima kasih.

karya seterusnya? wallahualam dan nantikan.

Tetamu Istimewa berkata...

Salam, tahniah saudara. Akhirnya berjaya juga untuk menembusi MM.

Berapa lama sudah menghantar cerpen ni?

Fathul Khair berkata...

Waalaikumussalam.

terima kasih, tuan. Saya hantar cerpen ini pada 15 June 2012. Lebih kurang sebulan.

Muftabar Hasanah berkata...

saya ada terjumpa ini. Hehe..

http://utusan.com.my/utusan/Sastera/20120708/sa_01/Marga-ranah-rusuhan

Fakhai Md berkata...

Muftabar Hasanah,

Terima kasih kerana berkunjung di sini.