MENULIS
"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."
Kali ini, aku mahu kongsikan suatu perkara yang aku sendiri rasakan penting kepada diri dan orang lain - MENULIS.
Daripada Google Images
Menulis ialah suatu kemahiran berbahasa yang sangat penting kepada setiap manusia. Tujuannya adalah untuk menyampaikan maklumat secara bertulis dan boleh dibaca oleh pembaca. Titik tolaknya, menulis itu juga memerlukan kecekapan dan ketelitian semasa menyampaikan sebarang maklumat agar difahami dan jelas. Dalam konteks blog ini, menulis yang hendak ditekankan ialah menulis dalam bidang kreatif (bukan bermaksud menulis dalam bidang akademik atau bukan kreatif ini tidak ditekankan).
Sesetengah penulis atau pengkritik sastera berpendapat, menulis merupakan suatu aktiviti seni yang memerlukan daya imaginasi yang tinggi, kemahiran menggarap bahasa yang cantik serta indah, mampu menyampaikan sesebuah idea dengan mantap dan matang dan sebagainya. Dalam penulisan kreatif (cabang: cerpen, puisi, novel, skrip, esei kritikan dll.), ia lebih menjurus kepada penggarapan sesuatu idea atau isu yang hendak dibangkitkan kepada umum.
Semua orang boleh menulis, tetapi tidak semua boleh menulis dalam bentuk kreatif. Bukan hendak katakan aku ini orang yang mahir dalam bab penulisan kreatif, tetapi aku lebih cenderung kepada bidang penulisan kreatif kerana kegemaran menggunakan bahasa dan penggarapan ayat-ayat yang entah dari mana asalnya, telah sebati dalam jiwaku semenjak sekolah rendah lagi. Aku juga ada menulis dalam bentuk bukan kreatif, cuma kekerapannya tidaklah seperti kreatif.
Ada orang, menulis kerana hobi, suka-suka, keperluan untuk menyimpan ilmu, untuk menyampaikan sesuatu dan merekodkan sesuatu perkara yang penting. Dan ada juga (nauzubillah), menjadikan aktiviti menulis untuk menyebarkan cerita buruk seseorang, memfitnah, bergosip dan memutarbelitkan cerita (benar dipusing, yang pusing dipusingkan berganda-ganda). Namun, itu semua bergantung kepada seseorang itu untuk memilih haluan penulisan yang hendak diceburi. Walau bagaimanapun, biarlah menulis perkara-perkara yang baik dan ada manfaatnya kepada orang lain. Tidak rugi dan pahalanya berganda dan mengalir, sekiranya hasil penulisan kita itu ada ilmu dan pengajaran, telah diamalkan oleh orang lain. Saham di dunia dapat, di akhirat apatah lagi.
Penulisan yang baik memberikan manfaat kepada orang yang membacanya.
Akhir kata, hasil penulisan kita itu mencerminkan keperibadian diri kita sendiri. Setiap bait kata yang digarap, mentamsilkan sisi lain pada diri kita. Baik penulisannya, insya-Allah baik peribadinya. Adakalanya juga, penulisan kita itu kadang-kadang memberi kesan kepada pembaca (sama ada kesan yang baik, kurang baik atau sebaliknya). Sebagai penulis, kita harus berhati-hati dengan corak penceritaan dan pemilihan bahasa dalam karya yang ingin dihasilkan. Sensitiviti agama dan kaum juga harus diambil cakna agar tidak mencetuskan perbalahan yang boleh menjatuhkan institusi sesebuah negara itu.
"Mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang"
*Nantikan entri seterusnya mengenai proses penghasilan cerpen.
MAKLUMAN
Entri ini merupakan pendapat penulis dan perkongsian daripada beberapa rakan penulis yang lain. Sebarang kekurangan atau kesilapan, mohon diperbetulkan agar dapat dikongsi bersama-sama.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
kata editor di Galeri Ilmu, "menulis itu amanah yang akan disoal."
Menulis itu mudah merealiti itu payah.
Kak Jamilah,
Terima kasih atas perkongsian.
Ya, memang tugas yang akan disoal kelak.
Catat Ulasan