Proses Penghasilan Cerpen

Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Pada entri yang lalu, aku ada menyentuh berkenaan MENULIS. Mungkin ada beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan (walau hanya pendapat sendiri). Untuk kali ini, aku ingin berkongsi berkenaan proses penghasilan cerpen.

Aku sempat mencatat satu pesanan daripada SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan pada majlis pelancaran naskhah Elegan dan GKLN di Rumah PENA baru-baru ini, berkenaan proses penghasilan cerpen yang baik. Beliau ada mengatakan, rata-rata penulis muda hari ini menulis sebuah cerpen dengan proses yang biasa, iaitu:

Kebanyakannya, menulis hanya pada latar manusia, pengalaman dan cerita. Memang ketiga-tiga ini mampu menghasilkan sebuah cerpen yang saling melengkapi. Namun, ianya dikatakan tampak biasa dan kurang memberikan impak. Sebuah cerpen yang hanya mendasari kepada manusia, pengalaman dan cerita sahaja tidak cukup untuk memberikan kepuasan kepada pembaca. Begitu juga dalam penulisan novel. Manusia itu merupakan watak yang diberikan oleh penulis. Manusia - pada jagat penulisan mampu berkata-kata, ada perasaan, boleh menaakul dan ditaakul dan sebagainya. Sekiranya sebuah watak itu haiwan atau tumbuhan, yang diberikan nama, kemampuan berkata-kata, ada perasaan dan sebagainya, ia juga dikira 'manusia' (personifikasi). Pengalaman boleh dikira daripada penulis atau gaapan pengalaman orang lain. Cerita ialah penceritaan yang dibawakan oleh penulis. Semua orang ada cerita yang hendak disampaikan. Cerita hanya sekadar cerita. 

Dr. Anwar ada menyarankan sebuah proses yang dikatakan boleh menghasilkan sebuah karya cerpen yang luar biasa apabila para pembaca meneliti kronologi plot yang dicipta oleh penulis.



Adunan manusia, pengalaman dan idea yang dibawakan mampu memberikan kesan kepada karya yang digarap. Dalam hal ini, penulis memberikan penekanan kepada IDEA kerana daripada elemen ini, pembaca dapat mengesan gagasan yang ingin disampaikan oleh penulis. Idea suatu perkara yang abstrak. Tidak tahu bilakah akan datang, bilakah akan pergi, apakah yang hendak ditulis dan sebagainya. Idea manusia sama, cuma garapan sahaja yang berbeza. Bagaimana penulis itu menukang karyanya, apakah persepektif yang digunakan, sudut pandangan dan psikologi pada manusia yang diceritakan. Tiada istilah memplagiat idea keran idea itu hadirnya daripada Allah, cuma etika penulisan seseorang penulis itu sahaj yang menentukan sama ada dia menciplak atau tidak.

Faisal Tehrani
Antara penulis muda yang sering menghadirkan karya yang di luar pemikiran aku. Idea, garapan dan ilmu bantu yang sangat menarik. Manikam Kalbu, Bedar Sukma Bisu, Tunggu Teduh Dulu, Ketupat Cinta antara karyanya yang aku gemari






Prof. Emiretus Dato' Shahnon Ahmad
Penulis yang sangat aku gemari. Karya-karya yang sarat dengan pengajaran. Adunan manusia, pengalaman dan idea yang seiring menjadikan karyanya malar segar!








Justeru, bagi aku, semuanya bergantung kepada penulis itu sendiri. Aku juga masih mempunyai kekurangan kerana masih baru lagi dalam dunia ini dan banyak yang harus dipelajari. Sepanjang aku menulis, aku lebih cenderung kepada manusia, pengalaman dan cerita. Walaupun demikian, tidak salah juga untuk beralih kepada suatu perkara yang baru. Perkongsian ini adalah daripada pengalaman aku menulis sejak 2009 yang hanya suka-suka. Akhirnya menjadi serius selepas MPR 2011 dan penerbitan karya yang pertama di Tunas Cipta Januari 2011. Tambahan dengan penerbitan antologi bersama-sama penulis lain.


*Nantikan proses kreatif beberapa buah cerpen yang pernah diterbitkan di media.

2 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Fathul, suatu perkongsian yang menarik dan berilmu.

Saya setuju, walaupun idea yang berulang, kadangkala dianggap klise tetapi gaya pengolahan dan langgam penceritaan yang berbeza menjadi kelainan pada hasil karya.

Fathul Khair berkata...

Abang Helmi, terima kasih kerana mengunjung.

Saya setuju. Dengan pengolahan yang menarik, idea yang dikatakan klise itu akan menjadi segar dan menarik