Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011

Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena  penanda."

Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk menulis di laman ini. Setelah memberi laluan kepada urusan yang lebih penting, akhirnya kutemui juga waktu untuk entri kali ini. Sewaktu aku menulis entri ini, aku sedang berada di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur untuk menghadiri satu bengkel penulisan anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama PENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama 3 hari 2 malam. Bersendikan minat dan kegilaan dalam dunia ini, aku dengan segala hormatnya mengambil keputusan untuk mengangkat kaki dengan lebih awal pulang ke rumah Khamis lalu. Oh, berilah aku peluang untuk lakukannya! Apa yang pasti, program yang dijalankan ini menampilkan tenaga pengajar dan penceramah yang pakar dan luas pengalaman dalam bidang penulisan ini. Antara yang menjadi penceramahnya ialah, SN Dato' Anwar Ridhwan, Prof. Madya Lim Swee Tim, Zaen Kasturi dan SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh.

Rentetan bengkel ini, malam ini juga akan diadakan malam kemuncak Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2011 yang akan diadakan di Seri Pacific Hotel, bersebelahan dengan tempat penginapan aku sekarang. Selepas selesai sesi taklimat bersama Presiden PENA dan Ketua Jabatan Penerbitan DBP, aku telah berjaya menerima jemputan/kad undangan ke majlis itu.

Kad undangan HKSU 2011

Malam ini juga, debaran yang dinanti-nantikan oleh pengkarya sastera tempatan bakal terjawab. Keputusan yang bakal diumumkan pada malam ini, barangkali menjadi polemik penggiat sastera tanah air. Ada pro dan kontra yang akan diketahui oleh khalayak sastera. Apakah hal itu? Nantikan ulasannya!

Bagi aku, kategori yang menjadi tumpuan ialah kategori novel remaja dan cerpen. Sebabnya, aku lebih cenderung kepada dua genre ini berbanding puisi (walaupun aku juga boleh berpuisi, namun daya ciptanya masih tumpul dan perlu diasah dengan jayanya). Sama ada Sri Rahayu Mohd Yusop beroleh kejayaan yang sama dengan mengekalkan kejuaraan enam tahun berturut-turut atau bakal dirampas oleh penulis lain, jawapannya malam ini dan akan aku kemas kini dari semasa ke semasa. Berkesempatan berbual dan berdiskusi dengan pemenang HSKU 2011 malam ini (nama dirahsiakan), bau-bau pemenang masih tidak daat dihidu kerana masing-masing merahsiakan keputusannya. 

Ada juga yang bertanyakan pada aku, menang atau tidak. Aku sekadar menjawab, baru pertama kali tembus media Utusan tahun ini, walaupun usaha sudah digembleng bertubi-tubi tahun lalu. Tidak kurang juga yang mendoakan usaha para penulis muda seperti aku untuk hadiah sastera yang berprestij ini. Bagi aku, jika ada rezeki, alhamdulillah. Jika tiada, tahun depan cuba lagi.

Akhir sekali, apa yang pasti, malam ini hendak aku dapatkan kompilasi buku karya pemenang HSKU untuk tahun 2011. Amaunnya, jangan dikira! Sebab aku antara golongan yang boleh diklasifikasikan sebagai BIBLIOHOLISME. Nak tahu apa dia, bacalah buku karya Shaharom TM Sulaiman, berjudul BIBLIOHOLISME. 

Okey, wassalam.

p/s: Malam ini cuba untuk tangani skrip teater sempena Karnival Sebarkan Bahagia 2012 yang akan dipentaskan Ahad depan serta menaakuli tema dan usul forum kebangsaan yang akan dijalankan pada minggu dan Hari Kokurikulum 2012 peringkat IPG Kampus Ipoh. Usaha perdana dan paling penting, menovelkan karya teater itu. Allahu Rabbi...  

Tiada ulasan: