Berdayung di Sungai Linguistik dan Membaca Catatan Kembara

Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Alhamdulillah, selesai sudah dua kertas yang serasanya bagai mencengkam tangkai jantung! Sudah cukup sudah untuk diimbau lagi perkara lalu. Beri peluang untuk kertas-kertas akan datang.

Esok - hari yang sungguh mendebarkan. Pengantar Linguistik bakal mengambil tempat untuk diuji. Oh, melihatkan kodnya sahaja, meremang segala bulu di seluruh badan. Satu demi satu harus diteliti. Sejarah, struktur, tokoh dan sebagainya. Ya, menjadi kewajipan untuk menyelak satu persatu kajang-kajang nota dan beberapa kitab rujukan demi mencari kunci kepada persoalan yang bakal timbul. Entahkan kena ataupun tidak, tunggu sahaja dan moga bermanfaat pada hari muka.

Ferdinand de Saussure

Seorang lagi umat manusia yang menjadi igauan sepanjang pembelajaran semester ini, Ferdinand de Saussure. Namanya tidak lekang disebut dalam banyak buku linguistik. Maklum sahaja, perannya sebagai Bapa Pemodenan Ilmu Linguistik tidak disangkal lagi. Berubah aliran daripada aliran deskriptif kepada struktural setelah melihat beberap kepincangan inti pati perbincangan ahli linguistik berkenaan bahasa. Alangkah geniusnya beliau sehingga boleh menggubah persepsi masyarakat linguistik ketika itu (bukan menyanjung) yang menyatakan bahasa itu harus ditafsir dari segi semua aspek bukan sahaja melibatkan proses sinkronik dan diakronik sahaja (sudah, apa itu?). Pemikiran beliau menyebabkan berlakunya pembaharuan atau pemodenan ilmu kajian linguistik di Barat waktu itu. Banyak gagasan yang dibawa oleh beliau dalam aliran struktural. Antara yang menjadi perhatian, skop signifier dan signified (penanda dan petanda), rumus sintagmatik dan paradigmatik (nahu dan wibawa dalam berbahasa) dan lague dan parole (hubungan bahasa dan sosial serta masyarakat yang menuturkan bahasa). Hendak diperikan di sini, mahu disalin seluruh isi projek yang dikarang! Kemudianlah.

Bukan sahaja Ferdinand, malah Leonard Bloomfield, Edward Sapir, Panini, Avram Noam Chomsky dan segala konco-konco linguistik yang memberi pengaruh dalam perkembangan ilmu nahu di dunia, lebih-lebih lagi  bahasa Melayu. Hasil daripada refleksi pemikiran yang dilakukan bersama-sama rakan sepanjang tempoh kajian kerja projek lalu, betapa besar sumbangan mereka dalam perkembangan ilmu linguistik di dunia. Walaupun sudah berkembang sejak zaman Yunani, kemudian masuk ke era Romawi, merentasi Tanah Arab dan India sehinggalah kembali ke Barat yang kononnya yang menyumbang kepada transformasi keilmuan dunia. Tiba-tiba teringat akan ceramah Ustaz Don Daniyal awal tahun ini. Beliau katakan, pemilik HP, Hawlett Parkett mengatakan, "Barat akan sentiasa berhutang  dengan dunia Islam." Oh, bagai ditempelak rasanya waktu itu. Ya, memang dunia Islam yang menyumbang kepada perkembangan keilmuan dunia, tetapi dek kealpaan dan kelalain kita, mereka dengan wewenangnya menciplak, memplagiat dan sebagainya yang berkaitan dengan peniruan dan curi ilmu-ilmu yang diteroka oleh ilmuan-ilmuan Islam suatu masa dahulu. Iktibar yang tidak boleh ditangisi kerana sejarah tidak boleh dikembalikan, melainkan sejarah itu mengembalikan. Apa bezanya? Ada. Fikir-fikirkan. Manusia diciptakan untuk berfikir dan bukan untuk belaku kikir!

Merujuk kepada Pengantar Linguistik, aku simbolkannya dengan sungai kerana seakan-akan menarik aku untuk menelesuri mengikut arusnya. Ada yang katakan susah dan sukar untuk difahami, masakan ada benda  di muka bumi ini semudah membaca ABC. Mahu membaca Alif Ba Ta pun, kukira perlu mengambil masa juga. Oh, hakikat belajar dan menuntut ilmu! Yang susah itulah dikaji dan dipelajari, dan yang senang itulah yang diperhalusi dan diteliti. Tiada yang senang, jika datangnya daripada hal-hal yang susah dan sukar bukan?

Kulit buku Kembara Sastera, karya Nisah Haron.

Sementelah aku menguliti kitab dan kajang-kajang nota Linguistik, terlintas untuk menarik sebuah naskhah kembara yang sudah dikhatami sejak Jun dahulu. Kali ini, aku ingin meneliti setiap rajah perjalanan yang dititipkan pada setiap helaian ini. Penulisnya tidak asing lagi pada aku. Jikalau dahulu, aku membaca dan mengkaji cerpen beliau, Annyss Sophilea yang termuat dalam Antologi Anak Laut, dan hari ini, alhamdulillah, Allah menunjukkan jalan dan lorongku untuk mengenali dan belajar sendiri dengan baliau, Nisah Haron. Ya, andai difikir semula, langsung tidak pernah sekali terlintas untuk menghadirkan diri dalam dunia penulisan ini. Percaturan daripada Allah itu Maha Indah. Siapa yang mampu menepis atau mengilas anugerah dan nikmat ini? Allahu Rabbi!

Berbalik kepada naskhah di atas, terdetik untuk aku ladeni dan teliti setiap catatan yang digarap. Daripada mula pengembaraan dan hinggalah tamat kembara, semuanya membantu. Sungguh, membaca kembara ini persis mendalami (lebih tepat membaca sebenarnya) Hikayat Abdullah yang dikarang sendiri oleh Abdullah Kadir Munsyi. Walaupun ada perbezaan antara kedua-duanya, tapi tetap ada persamaan - catatan perjalanan seorang penulis terhadap persepsi dan pandangan kepada dunia lain. Tamsilan pemikiran yang jitu dan menyeluruh menyedarkan aku betapa luasnya bumi Allah ini dan penuhnya ilmu yang terkandung di dalamnya! Maha Suci Allah yang menciptakan langit dan  bumi, yang menciptakan Adam dan Hawa, yang memberi indah pada hubungan Yusuf dan Zulaikha, yang memberi kebahagiaan pada Muhammad dan Khadijah!

Bilakah lagi?

Minggu lalu, Jumaat yang rimpuh! Kakakku berangkat ke Beijing, China untuk kerja projek sarjana yang sedang diduduki kini. Ya, berbunga kuntuman cemburu di situ! Tahun lepas, sahabat sekolah menengah, berjaya terbang ke Jepun, Jordan, Mesir, India dan sebagainya untuk menyambung pelajaran ke sana. Junior di sekolah juga berjaya ke Korea. Kawan sekolah rendah ada ke Australia, UK, Amerika, Ireland dan sebagainya. Yang paling dekat, abangku berjaya ke Mesir untuk menimba segenap ilmu syariah di Bumi Anbiya'. Allah! Memang membugar cemburu yang tak dapat dipempan lagi. Aku? Sabar... Tidak lama lagi! Jika ada peluang dan ruang, insya-Allah akan tiba jua!

Dan...

Moga dengan perancangan yang dibuat bermula hari ini dan hari seterusnya berhasil dan menjadi kenyataan. Insya-Allah.

p/s: Kembali telusuri sungai yang penuh dengan teori dan kebahasaan demi mencari erti dan hakikat ilmu itu sendiri.


4 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Wah, blog berwajah baru.

Unknown berkata...

Hehe..

Masih mencuba dan mencuba..
Jemput tinjau blog baru, Sebuah Wilayah Kata. Yang rasanya mahu meletakkan segala perkongsian, dan pemberatannya kepada hal-ehwal bahasa dan sastera. Insya-Allah

Tetamu Istimewa berkata...

Ok. Em, Fathul dah semak Tunas Cipta November? Ada karya tak?

Unknown berkata...

Rasanya, untuk November tiada karya saya tersiar. Tiga bulan lalu lebih fokus kepada tugasan projek yang menimbun.