Mengajarnya Pokok Itu

Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Semalam, semenjak petangnya hadir ke muka hari, seluruhnya hinggakan malam menemui rumahnya, hujan melebat membasahi bumi. Orang kata, hujan-hujan begini ada rahmat yang hadir. Ada juga yang katakan, boleh rimpuh segala kerja. Itulah persepsi yang dihadirkan kerana hujan yang turun. Suka untuk saya memetik bait lirik Allahyarham Sudirman, "hujan yang turun bagaikan mutiara". Ya, bagaikan mutiara. Sangat indah dan menyamankan.

Namun, bukan hujan yang hendak saya fokuskan pada penulisan kali ini. Akan tetapi, sebatang pokok yang sangat mengakrabi peribadi manusia. Dan manusia perlu mempelajari hakikat hidup daripada sebatang pokok yang merendang dahannya, lebat buah dan daunnya, dan akar yang kukur memasak ke dalam bumi untuk memastikan kehadirannya bukan semata-mata pokok, tetapi ada manfaat kepada setiap makhluk di muka bumi ini.

Pokok Oak

Dengan setiap incinya penuh keunikan, pokok ini tumbuh dengan cantik. Kitarannya cukup indah. Daripada sebiji benih, disiram atau dibasahi air, lalu tumbuhlah akarnya ke bawah dan pucuk yang menjulang ke langit. Cukup matang seminggu dua, keluarlah beberapa helai daun yang kehijauan. Maka, berlalulah fasa perkembangan yang menjanjikan kehidupan. Pokok itu membesar dan terus membesar dengan batangnya yang sasa, dahan yang rendang dan rimbun. Daun-daun yang cukup lebat dan ada musimnya, berhasillah buah-buahan yang masak ranum - manis dan memikat. Untuk memastikan pkok itu terus berdiri, akarnya bekerja keras untuk mencengkam dasar tanah untuk mencari asas yang terbaik.

Begitulah.

Manusia dengan pokok, bukan entiti yang berbeza. Adalah juga perbezaannya, manusia boleh berjalan, bercakap, menari dan sebagainya. Tetapi, manusia tidak boleh lakukan apa-apa yang dapat dilakukan oleh pokok. Pokok boleh berdiri tegak meski angin menyerang, mengeluarkan buah, boleh gugurkan daun dan tumbuhkan daun dan sebagainya. Bukan untuk mempersoal kejadian dan ciptaan makhluk Allah, tetapi untuk kesedaran bagi sebarang manusia yang angkuh...

Daripada pokoklah dapat belajar erti pasrah dan menerima. Hendak melawan ada waktunya yang sesuai. Adakalanya, menerima hakikat itu perlu dan sangat diperlukan. Ya, kentalkan jiwa seperti akarnya pokok terus mencengkam dasar tanah untuk menampung batang dan dahan-dahan yang besar. Akar itulah mencerminkan akal budi dan peribadi seseorang manusia. Baik akarnya, baiklah budinya. Rosak akarnya, rosaklah seluruh jasadnya.

Begitulah.

Apabila rendangnya dahan, semua boleh memanfaatkannya. Berteduh, berehat dan menemui ilham untuk sesiapa yang dihurung kebuntuan. Ya, itulah manfaatnya! 

Oh, indahnya! 
Subhanallah!

...dan sudah tidak tahu untuk mengungkapkannya lagi. Apa yang perlu, saya harus taakul, anda juga harus taakul. Taakul untuk tujuan hidup, meneruskan perjalanan yang serba-serbi mencabar. 

Waalhualam.



p/s: Sebuah Wilayah Kata akan dikemas kini dengan maklumat-maklumat yang boleh dirujuk. Tamatnya permainan sebut-menyebut, menguji bundar-hampar, depan-belakang, atas-bawah, lembut-keras, letup-letus, geser-getar dan sebagainya. Tinggal untuk lakar, apresiasi, kraf dan sebagainya!


Tiada ulasan: