Saya Pernah Mati!

Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Baharu pulang daripada kursus di Kuala Lumpur. Kantuk dan keletihan tidak dapat dibendung sehingga tewas di jaluran mimpi. Pada mulanya, keberatan mahu berpisah dengan teman sekursus, namun apakan daya. Aturan Allah lebih indah dan Dia lagi Maha Mengetahui. Sudah memasuki 12 Rabiulawal yang dinanti-nantikan.

Entri kali ini, berkait rapat dengan sebuah catatan daripada seorang teman sekelas. Beliau juga menulis benda yang sama, jadi idea penulisan ini tercetus daripada pembacaan blog beliau juga. Semua manusia pernah mati dan akan mati. Pernah mati dalam konteks ini ialah tidur kerana itu ialah mati sebentar. Namun demikian, catatan ini bukanlah menyentuh hal-hal kematian tersebut, tetap lebih menjurus kepada semangat atau minat yang di dalam diri.


MATI I

Jika  mahu diimbau saat pertemuan dengan rakan-rakan sekelas yang semuanya mampu dan mahir dengan mainan pensel, warna air dan sebagainya, saya dapat katakan, saya ialah insan yang begitu kerdil, meskipun rupa fizikal saya lebih besar berbanding mereka. Dengan tiada bekalan bakat dan juga asas dalam bidang Pendidikan Seni, saya hadir mendaftar dengan bekas yang kosong - sifar persediaan dan ilmu awal. Saya pasrah waktu itu. Hal 'kematian' yang hendak diungkap ialah ketika dimarahi dan disindir oleh pensyarah kerana kelayakan saya untuk memasuki kelas Pendidikan Seni sedangkan saya sendiri tiada asasnya. Bagaimana? Terima sahaja sebagai cabaran. Setiap kali menghadiri kelas Pendidikan Seni, jiwa saya kacau dan tidak menentu. Apakala memikirkan karya lukisan yang tidak seberapa jika hendak dibandingkan dengan rakan yang lain, yang sudah pasti menepati piawaian sebagai 'orang seni'. Jangkaan awal bahawasanya bakal dimarahai itu akhirnya menjadi kenyataan apabila proses semakan dilakukan. Saya menerima tempias yang bukan tempias selayaknya. Permulaannya begitu mendebarkan dan sangat menduga. Begitu juga jalan pertengahan yang sungguh mencabar. Saya rasa saya sudah 'mati'. Minat yang cuba ditanam 'mati' dengan cabaran yang disiram. Walaupun demikian, saya tetap mencuba, meskipun hasilnya tidak seberapa.

Saya pernah 'mati' dengan Pendidikan Seni. Hanya kerana dibebani komentar dan ulasan yang tajam, saya sekonyong-konyong menjerumuskan diri ke dalam jurang ketewasan tanpa memikirkan sisi positifnya. Selepas melalui proses 'hibernasi' dengan membuat beberapa lakaran, ditambah juga merujuk dengan pensyarah lain, timbul semangat baharu untuk meneruskannya.

Namun kini, insan yang begitu banyak menyumbang kepada cabaran itu, bakal meninggalkan saya dan rakan-rakan sekelas. Jika dahulu saya begitu gerun dengan tampang jasadnya, kini saya bakal merindui kelibat beliau. Tanggal 8 Februari bakal menyaksikan perpisahan antara kami sekelas dengan beliau. Kini, saya jangkakan beliau sedang bercuti rehat ekoran faktor kesihatan yang tidak mengizinkan. Selamat bersara ayahanda Khairul Anuar Amran...



Tiada ulasan: