Tak Tahu Tajuknya Apa.
"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."
Sekian lama tidak bermain dengan laman ini. Sekadar bermain dengan intuisi sahaja. Maklum sahaja, kekasih PSEUDONIM saya tidak mampu meladeni kehendak aku. Sampai hati...!
Berselang waktu yang entah mana khatimahnya, aku dapat merasakan perhitungan yang dicatur sendiri sedikit tersongsang. Apa tidaknya, hampir semua yang dirangka dan dirancang, punah. Mula-mula, kecewalah juga. Tapi, fikirkan semula, kecewa-kecewa dengan ketentuan Tuhan, macam orang tiada agama pula! Mohon dijauhkan!
Dunia dan waktu yang jitu - 2012. Segala-galanya berubah. Bermulanya dengan pembubaran JPP yang hampir setahun dipegang, sehinggalah PRK yang entah macam mana rencamnya untuk difahami, sampailah penerimaan marsum daripada seorang penulis - surat izin terbit. Punya ironi perjalanan kali ini.
Sungguh, kini bertimpa-timpa di pundak mengusung beban. Setiausaha menjadi pakaian baharu tahun ini. Pakaian yang dicanting baik dengan corak-corak kerja yang bertingkah rona-rona cabaran yang bercempera ke seluruh busana. Analogi yang senang untuk aku lontarkan. Pada mata orang, kelebihan pada diri aku. Ya, aku terima kerana semuanya kurniaan daripada ALLAH. Pada sisi lain, kiri kanan depan belakang atas dan bawah - semua aku bertanggungjawab. Silap di sini, di sana disoal. Kerja-kerja yang diberi, harus diselesai tanpa sebarang halangan, sentana aku akui banyak halangan. Orang lain kata, cabaran itu mematangkan. Ya, aku terima kerana semuanya datang kerana kehendak ALLAH. Benar, cabaran itu mematangkan kerana mengajar manusia perlu sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada dengan keputusan yang dibuat.
Marsum yang diterima - bagai beruk terima bunga. Tersengih dan tersenyum lebar sepanjang hari. Bukan niat untuk meninggi diri. Tapi, ini untuk dikongsi. Rezeki, kalau ALLAH nak beri, semuanya jadi. Yang Islam ataupun bukan, semuanya sama. Alhamdulillah, marsum itu pembuka selera dan pencetus semangat untuk terus kekal berkarya. Insya ALLAH, bakal dirasai semuanya kelak. Namun, di sebalik marsum itu, banyak persoalan yang sering kali dilontarkan oleh semua orang. Menulis kerana hadiah, menulis kerana hendak kaya dan sebagainya. AKU - semuanya ada pada diri aku. Satu perkara yang harus diberi perhatian, sesungguhnya semua yang ditulis adalah tanggungjawab kita di akhirat kelak. Akan ada yang menuntut atas tulisan yang dicipta. Kau ingat senang? Bukan sembarangan kerja tahu!
Tulislah dengan hemah. Janganlah tulis dengan serakah!
*Menyemai cinta di laman citra. Haram dan Halal - masih lagi dijaga batasnya!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan