Setelah Lama Ditinggalkan

Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dengan pena penanda."

Setelah menemui kebuntuan dalam penulisan, saya berhenti untuk dapatkan momentum yang sudah hilang. Ya, hendak menulisa bukannya boleh dipaksa-paksa dan semberono kerana setiap penulis mempunyai tanggungjawab terhadap karya penulisannya. Hendak memandaikan diri sendiri dan pembaca bukan suatu perkara yang mudah kerana kedua-duanya perlu seimbang dan saling berkaitan.

Dalam tempoh berhibernasi itu, saya mengambil keputusan untuk menyelak laman-laman maya yang boleh dijadikan santapan mata dan bahan bacaan. Terdetik untuk mengunjungi laman sesawang yang menghidangkan karya-karya kaligrafi Islam. Kecenderungan itu semakin membuak tatkala melihat hasil-hasil seni kaligrafi itu dipaparkan. Subhanallah!

Dahulu kala (dahulu lagi), saya memang menulis khat sewaktu di bangku sekolah. Sekian lama tidak menulis, serasanya kekok untuk menulis kembali. Jadi, kali ini mengambil keputusan untuk kembali kepada dunia keinginan yang membuak suatu ketika dahulu. Melihat tutorial yang dibuat oleh seseorang, saya mencuba sedaya upaya untuk menghasilkan sebuah karya kufi murabba yang belum pernah saya hasilkan sebelum ini.

Sewaktu proses penghasilan menggunakan perisian Adobe Photoshop CS5

Sebelum dipindahkan menjadi grafik, terlebih dahulu dilakar di atas permukaan kertas graf - barangkali itulah proses mentah yang dilakukan khattat (ahli mahir khat). Saya masih amatur... hehe.

Prosesnya cukup rumit buat pertama kalinya menggunakan perisian Adobe Photoshop ini. Sebelum ini, saya hanya menggunakan perisian Microsoft Powerpoint 2010, berhasil tetapi kurang memuaskan kerana perlu disunting menggunakan perisian CS5. Setelah terbaca tutorial penghasilannya di sebuah laman sesawang itu, saya mencuba untuk menghasilkannya. Satu persatu saya lakukan dengan melakar setiap batang aksara Jawinya. 

Hasil akhir

"Bismillahirrahmanirrahim"

Masih banyak lagi yang harus diperbaiki untuk menghasilkan yang terbaik. Lupakan watermark yang tertera di kaki foto. Sekadar perkongsian yang tidak seberapa yang boleh diberikan kepada kalian yang membaca (jika ada yang membaca) catatan kecil ini.



p/s: Berhelai-helai lakaran yang belum dipindahkan kepada bentuk grafik



2 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Wah, ada bakat terpendam nampak. Cantik dan menarik.

Unknown berkata...

Terima kasih Abang Helmi. Sekadar percubaan sahaja...