Kenapa Saya Membaca Karya Beliau?

Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Kenal Mohd. Faizal bin Musa? Ini dia:


Tidak menjadi satu kesalahan kalau anda tidak mengenali nama tersebut, kerana hampir semua rakyat Malaysia (barangkali) mengenali beliau dengan nama penanya, Faisal Tehrani. Jika hendak mengenali dengan lebih lanjut, sila klik di sini. Kenapa saya tulis mengenai beliau? Sebab karya sastera yang pertama dibaca ialah cerpen beliau, iaitu 'Bulan dan Wira' yang menerima Hadiah Utama Kategori Cerpen Remaja untuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 1999. Untuk membaca karya cerpen ini, boleh didapati Kumpulan Cerpen Tiga Kali Seminggu, Antologi Cerpen Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 1999 Cinta Sekerdip Embun. Jujur saya katakan, mulai saat itu, saya 'jatuh cinta' dengan karya-karya sastera tempatan dan juga karya-karya Faisal Tehrani. Beliau disifatkan sebagai penulis generasi muda yang menzahirkan sisi kematangan yang luar biasa menerusi karya yang dihasilkan. Kebanyakan karya beliau mengangkat isu semasa dan juga isu yang tidak dijangkakan oleh pembaca. Karya novel pertama beliau yang saya hadami ialah Manikam Kalbu dan orang kata itu terlalu lambat untuk mengenali karya novel beliau. Tidak menjadi masalah besar sebenarnya.

Antara yang ada dalam simpanan rak buku

FT juga pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan untuk tiga tahun berturut-turut, bemula daripada tahun 2002 hinggalah 2004. 

HSKU 2002 :  1515
HSKU 2003 : 1511 [Kombat]
HSKU 2004 : Advencer Si Peniup Ney dan Detektif Indigo

KENAPA SAYA BACA KARYA BELIAU?

Ada yang bertanya kepada saya apakah sebabnya. Saya katakan, menerusi karya beliau, saya mula kenal karya-karya sastera yang lain, kenal sayembara sastera yang ada, nama-nama besar dalam arena kesusasteraan. Biarpun ada yang melabelnya sebagai penulis pembugar ideologi Syiah, saya tetap akan membaca karya beliau untuk melihat gaya penulisan, penyebaran idea dan bahasa-bahasa yang digunakan. Mengenai Syiah, Wahabi dan sewaktu dengannya, saya masih berkira juga, tetapi bukan sampai tahap eksterimis. Kerana nama saya masih muda dan setahun jagung dalam mandala ini, saya mengambil langkah untuk membacanya juga untuk tujuan kepengarangan saya.

Lagi satu hal, isu yang dibawa. Kadang-kadang (bukan kadang-kadang juga), banyak yang tidak saya ketahui mengenai isu sebelum ini. Sejarah Melayu, isu murtad, hedonisme yang melampau, Melaka, pertanian dan sebagainya saya boleh dapati menerusi karya beliau walaupun saya boleh mengambil inisiatif lain untuk mendalami isu-isu ini. Tetapi, saya menjadikan karya beliau sebagai permulaan langkah pertama untuk mencari dan mengkaji isu-isu tersebut. Dan banyak sebab sebenarnya untuk diturunkan di sini. Jika mahu tahu, anda bacalah sendiri karyanya.

Okey?



p/s: Tersangkut pada halaman kedua. Panthera masih bercakaran dengan Felis Leo. Hari ini, isu kiasan menjadi bualan. Siapa punca? Baca di sumber yang boleh dipercayai...

1 ulasan:

Sanisha Bogaraja berkata...

Yeah, saya betul! :D ~~~ :P