2012: Memberi Kesan Kepada Diri

Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Hanya dipisahkan satu hari sahaja, 2012 bakal melabuhkan tirainya, sebelum tibanya 2013 yang senantiasa dinanti-nantikan oleh semua masyarakat bumi. Ketika entri ini dinukil, saya sudah pun berada di kampus dan sedang bersendirian hampir dua hari sambil menanti kepulangan rakan-rakan seperjuangan yang bakal meneruskan pengajian semester baharu. Sekarang juga, rakan-rakan yang berada di IPT-IPT seluruh negara, sedang berjuang untuk menghadapi peperiksaan akhir semester. Buat seorang yang teristimewa ini, selamat menjawab peperiksaan dengan jayanya dan insya-Allah mampu memperoleh keputusan yang cemerlang. 

Bagi saya, 2012 merupakan tahun yang saya dapat katakan sebagai 'tahun rezeki' buat saya. Hal ini bermula pada awal tahun lagi. Pada Januari yang lalu, karya pertama saya berjaya tersiar di majalah Tunas Cipta. Karya cerpen yang berjudul 'Sungai Piandang' ini saya tukangi pada tahun 2009 dan diperam hampir setahun setengah. Setelah berasa yakin dan puas memeram, saya mencuba untuk menghantar di media. Alhamdulillah, cerpen ini diterima oleh editor yang menangani majalah Tunas Cipta. Kepuasan bagi seorang penulis (lebih-lebih lagi muda remaja seperti saya ini) ialah apabila karya yang dihantar disiarkan oleh editor. Alhamdulillah juga, karya ini menerima ulasan positif daripada Tuan S.M Zakir selaku pengulas karya cerpen di Tunas Cipta. 

Seterusnya, pada Februari yang lepas, saya telah dimaklumkan oleh Editor Dewan Siswa bahawa karya 'Sfera Bersegi Lima, Sebutir Maruah' telah diterima dan disiarkan untuk keluaran April. Waktu itu, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika dimaklumkan sendiri oleh editor tersebut. Cerpen 'Sfera Bersegi Lima, Sebutir Maruah' ini saya nukilkan pada akhir bulan Disember 2011 selepas pulangnya dari Sabah. Kebetulan, rombongan kami bertemu dengan barisan pemain Malaysia yang berjaya merangkul pingat emas pada temasya Sukan SEA di Indonesia. Cerpen ini juga diulas oleh Dr. Mawar Safei yang banyak menceritakan mengenai aspek penulisan dan juga gaya penulisan. Biarpun ada yang mengatakan cerpen ini sebagai karya bermusim, saya menganggap dakwaan tersebut sebagai cabaran dan pembakar semangat untuk saya terus untuk menulis.

Detik yang paling memberikan kesan kepada saya sepanjang tahun 2012 ini ialah apabila cerpen 'Marga Ranah Rusuhan' yang saya tulis pada Mei 2012 berjaya menembusi tembok akhbar Mingguan Malaysia untuk edisi 8 Julai 2012. Berita penyiaran ini saya terima daripada abang sulung saya yang banyak memberikan dorongan dan semangat untuk saya terus menulis. Kesahihannya bertambah utuh apabila menerima pesanan khidmat pesanan ringkas daripada pensyarah dan beberapa orang rakan penulis. Cerpen 'Marga Ranah Rusuhan' ini telah saya hantar kepada pihak editor sastera akhbar ini pada 15 Jun 2012 dan berselang hampis sebulan, akhirnya diterima dan disiarkan oleh pihak editor. Saya begitu teruja apabila berjaya menembusi media arus perdana yang masing-masing tahu betapa sukarnya untuk melepasi standard untuk akhbar Mingguan Malaysia ini.

Julai 2012 memperlihatkan karya 'Kelongsong Ketupat' berjaya menempatkan 'dirinya' di majalah Dewan Budaya. Cerpen yang mengangkat ketupat sebagai latar penceritaan ini telah saya garapi selepas pulang daripada MPR 2011. Penghasilan cerpen ini dibantu oleh seorang penulis yang prolifik untuk memberikan pandangan dan cadangan untuk proses penambahbaikan. Alhamdulillah!

Pada September 2012 merupakan bulan terakhir karya saya disiarkan. Kali ini, dua buah karya berjaya disiarkan di Tunas Cipta menerusi cerpen 'Nyiur Payung' dan puisi 'Bendang Juang'. Alhamdulillah, puisi tersebut kali pertama disiarkan kerana saya begitu sukar untuk menulis puisi dengan baik walaupun sudah banyak membaca dan berguru dengan pandai puisi.

2012 amat memberikan kesan kepada saya sepanjang 21 tahun saya menetap di bumi Allah ini. Moga dapat diteruskan dengan jayanya pada tahun akan datang.


Wassalam.


p/s: Mengadaptasi dan merangka gerak kerja untuk '13 pula.

2 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Tahniah, Fathul. Sebenarnya ini sudah kali kedua, abang meninggalkan komen untuk entri ini. Entah kenapa komen sebelum ini hilang.

Sebagai seorang penulis baru, ternyata Fathul berjaya menempatkan diri dan tidak goyah dan berputus asa. Teruskan. Suburkan pohon penulisan, biar berbunga dan terus berbuah. Jangan mati sekerat jalan.

Fathul Khair berkata...

Terima kasih, Abang Helmi. Mungkin sebab capaian talian yang tidak mengizinkan.

Alhamdulillah, untuk 2012 ini, rezekinya sangat murah. Pernah juga sesekali rasa 'jatuh' motivasi diri sebab karya kena tolak oleh editor. Ada hikmah juga berlaku semuanya. Insya-Allah, saya akan teruskan usaha ini.