Kalam Pertama

Assalamualaikum.

"Guru bukan sekadar dengan buku dan pena penanda."

Tamat sudah Perhimpunan Alumni MPR Kali Ke-2 di Shah's Beach Resort, Melaka setelah kali pertama diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2009. Alhamdulillah, saya dapat bertemu dengan ramai rakan penulis yang lahir daripada 'rahim' program Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Banyak perkara yang diperoleh dan boleh dijadikan sebagai motivasi serta perangsang kepada kerja-kerja penulisan yang baharu sahaja bermula.

Kalam Pertama

Penganjuran program ini juga menjadi hari bersejarah buat saya dan juga rakan-rakan MPR 2011 yang sebaris dengan saya semasa menyertai program ini pada tahun lalu, di tempat yang sama. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan komited dengan penulisan karya sulung (di bawah kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka), antologi ini dapat dilahirkan. Puas sebenarnya dikejar oleh dua orang penyelenggara merangkap pembimbing semasa berbengkel, iaitu Dr. Shamsuddin Othman dan Salina Ibrahim. Yang paling memberi kesan ialah, usaha mengumpul semula karya-karya dan memaklumkan kepada semua ahli mantan untuk melicinkan lagi proses penerbitannya.

Dalam antologi ini, tiga buah puisi dan sebuah cerpen saya dimuatkan bersama-sama 19 orang penulis muda yang berpotensi dalam dunia kesusasteraan tempatan ini. Keterujaan itu tidak sesiapa boleh sangkalkan lagi apabila menerima khabar antologi akan dilancarkan oleh pencetus awal program Minggu Penulis Remaja (dahulu disebut sebagai Minggu Remaja) iaitu, Datuk Johan Jaafar, Pengerusi Media Prima Berhad. 

Bersama-sama dengan Datuk Johan Jaafar

Sebenarnya, banyak perkara yang harus diambil perhatian selepas penerbitan antologi ini. Saya harus memperbaiki dan meningkatkan mutu penulisan agar karya yang dihasilkan berkualiti dan bermanfaat kepada para pembaca.

Setinggi ucapan terima kasih diucapkan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, menerusi Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja atas kelangsungan antologi ini. Ucapan setinggi tahniah kepada para penyumbang karya kerana begitu komited dan optimis untuk menghasilkan karya yang baik dan bermutu. Diharapkan agar rakan-rakan seangkatan ini dapat terus menulis dan berusaha untuk meningkatkan mutu kepengarangan...


p/s: Kejar garis penamat!


2 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Cantik dan menarik.

Seronoknya dah ada buku, walaupun antologi bersama.

Unknown berkata...

Terima kasih.

Satu keterujaan sebenarnya dan menjadi motivasi untuk terus menulis